Ura-ura mengenai aksi persahabatan antarabangsa membabitkan Indonesia dan Argentina semakin jelas kedengaran, selepas beberapa laporan media antarabangsa sudah pun menyatakannya dan mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak dunia.
Selaku juara Piala Dunia edisi lalu, Argentina menjadi negara yang sangat mencuri tumpuan selepas dibarisi pemain-pemain bintang termasuk Lionel Messi dengan momentum tersendiri.
(🌕) Argentina vs Indonesia on 19th June will be played in Jakarta, Indonesia. @gastonedul 🇦🇷🇮🇩 pic.twitter.com/dQWZvDZ1bY
— All About Argentina 🛎🇦🇷 (@AlbicelesteTalk) May 10, 2023
Walaupun belum disahkan sendiri oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) secara rasmi, beberapa persiapan sebenarnya sudah pun dibuat termasuk dengan pemilihan stadium untuk aksi persahabatan antarabangsa tidak lama lagi.
Terbaharu, dilaporkan Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) telah dipilih sebagai lokasi rasmi untuk aksi persahabatan membabitkan Indonesia menentang Argentina pada 19 Jun ini yang dianggap momen bersejarah buat Sang Garuda.
Perkara ini dinyatakan sendiri menerusi wartawan bola sepak terkenal Argentina iaitu Gaston Edul, selepas beliau berkata juara Piala Dunia itu bakal menghadapi Indonesia di ibu negara berkenaan.
“Argentina akan menentang Indonesia di ibu negara mereka pada 19 Jun ini,” jelas Gaston Edul menerusi petikan yang dibuat oleh Bola.com.
Sebelum itu laporan menyatakan lokasi perlawanan persahabatan kedua negara itu bakal berlangsung di Solo, Indonesia dengan Stadium Manahan telah dipilih sebagai lokasi rasmi negara tersebut.
Selain berdepan Argentina, Sang Garuda juga dilaporkan bakal menentang Palestin yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya.
🚨 BREAKING: Tim nasional Argentina akan bermain di Jakarta, Indonesia pada 19 Juni 2023. 🇦🇷
📝 @gastonedul pic.twitter.com/oBCemPRIKp
— Extra Time Indonesia (@idextratime) May 10, 2023
Ini bermakna, Indonesia bakal menghadapi dua perlawanan persahabatan pada aksi antarabansa menerusi kalendar rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pemilihan SUGBK sebagai lokasi rasmi bagi aksi membabitkan Indonesia dan Argentina dianggap sangat tepat, selepas fasiliti yang serba lengkap di sana serta mampu menampu ramai penyokong untuk hadir menyaksikan aksi tersebut.
Apapun, sehingga kini Indonesia dikatakan masih menanti pengesahan sebenar tentang aksi persahabatan tersebut dan Ketua Umum (Ketum) PSSI sendiri iaitu Erick Thohir mengakui enggan mengeluarkan sebarang kenyataan selagi masih belum dipastikan.
“Saya juga kini berusaha untuk membawa pasukan-pasukan hebat beraksi di Indonesia. Tetapi saya belum mahu mengulas tentang kehadiran Argentina kerana belum mempunyai bukti hitam putih lagi.
“Saya tak ingin menjadi pemimpin yang menjanjikan sesuatu sangat menarik tanpa membawa kepastiannya kepada para penyokong bola sepak Indonesia.
“Jadi, kalau segalanya sudah dapat disahkan secara rasmi dan proses sudah berlangsung baru saya sendiri akan umumkan. Sudah tentu saya tidak mahu menjadi sebahagian manusia yang mengecewakan penyokong Indonesia,” jelas Erick Thohir.