Nampaknya telah sah khabar angin mengenai khidmat kapten, Lee Tuck yang tidak akan disambung oleh Terengganu FC untuk saingan musim hadapan.
Sebelum ini ada cakap-cakap yang Terengganu akan melepaskan semua pemain import mereka musim hadapan. Difahahamkan ia adalah bagi mengurangkan kos perbelanjaan pasukan dan pihak pengurusan mahu mencari pemain import yang memiliki pengalaman di peringkat Asia dengan tangga gaji yang mampu dimiliki.
Ianya sedikit mengejutkan kerana kejayaan Terengganu sehingga meraih tiket ke saingan Piala AFC 2021 bergantung sepenuhnya kepada kudrat pemain import. Ia dapat dilihat daripada 24 gol, 20 daripadanya disumbangkan oleh mereka.
Paling mengejutkan tentunya pemain yang telah berada di sana untuk tiga musim, Lee Tuck yang juga telah menjadi kapten pasukan sejak Kipre Tchetche melalui penurunan prestasi pada musim lalu. Impak pemain tengah ini tidak boleh dinafikan.
Menurut posting Lee Tuck di laman sosial peribadinya, “Mereka [Terengganu] mahu mencuba sesuatu yang baharu untuk pasukan bergerak ke depan yang bermaksud saya sudah tiada dalam perancangan mereka pada musim hadapan.”
“Saya menikmati masa yang telah saya lalui di sana dan saya ingin ucapkan selamat maju jaya untuk masa depan mereka. Sangat menyedihkan untuk mengatakan yang perjalanan saya bersama pasukan telah pun berakhir,” ujarnya lagi.
Pelbagai reaksi dapat dilihat selepas pemain yang sinonim dengan jersi nombor 7 itu memuat naik ucapan selamat tinggalnya. Di Twitter, para penyokong dan rakan-rakan di England Lee Tuck dilihat mengucapkan selamat maju jaya dan menzahirkan ucapan terima kasih atas khidmatnya kepada Terengganu untuk tiga musim sebelum ini.
Good luck with your next move Lee. Could it be playing for your home town club FC Halifax Town 👏
— Peter Whitford (@pewhitford) November 20, 2020
Malah, salah seorang pengguna Twitter, Graham Braithwaite ada bertanya status sebenar pemain kelahiran Halifax, England itu, “Adakah anda akan bersara, Lee?”. Bagi Peter Whitford pula, “Selamat maju jaya untuk langkah seterusnya Lee. Adakah ini bermaksud anda akan kembali bermain di kampung halaman, FC Halifax Town?”
Untuk penyokong, masing-masing meluahkan rasa sedih untuk melihat pemain yang mereka telah iktiraf sebagai lagenda pasukan itu untuk meninggalkan pasukan. Namun, mereka tetap dilihat mengucapkan selamat maju jaya buatnya.
Bagi rakan-rakan pemain di Liga Malaysia, antara ucapan menarik yang telah dititipkan di Instagramnya adalah daripada pemain JDT dan Malaysia, Matt Davies, “Sukar untuk mempercayainya! Pelik untuk melihat anda menyarung jersi lain musim hadapan tetapi ada banyak benda yang boleh anda berikan untuk pasukan lain. Lagenda pasukan!”
Dikhabarkan Lee Tuck masih akan berada di Pantai Timur untuk saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila semakin hampir untuk menyarung jersi Pahang.
KREDIT FEATURED IMAGE: FB LEE TUCK
Baca lagi artikel mengenai Lee Tuck dan Terengganu FC:
MSL 2020: Gol Minit Akhir Lee Tuck Bantu Terengganu Tumbangkan Pahang