Saingan Liga Malaysia musim ini mengalami satu pembaharuan apabila aplikasi mudah alih, Fanskick telah dilancarkan secara rasmi semalam oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia dan Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) tersebut akan mempunyai banyak maklumat, kredibiliti dan khidmat sokongan yang diperlukan untuk penyokong bola sepak tanah air.
Ia juga akan menjadi platform yang kuat untuk pasukan dan pemain Liga Malaysia.
Aplikasi tersebut boleh dimuat turun secara percuma melalui google playstore bagi pengguna android dan apple store bagi pengguna OS.
Apa yang menariknya ialah aplikasi ini mempunyai sistem pembelian tiket bola secara online, maklumat terkini statistik pemain dan jadual perlawanan Liga Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Fanskick Dot Com Sdn Bhd, Farouk Mustaffa, bercakap kepada Berita Harian, aplikasi itu menawarkan ruang interaksi dikenali Buddy System, permainan simulasi pengurusan bola sepak dikenali FK Manager dan siaran langsung perlawanan (Live Streaming).
Applikasi tersebut juga mengenakan caj bayaran pada Buddy System bagi caj tahunan dan FK Manager pula caj dikenakan untuk sebarang pembelian tambahan.
Sempena pelancaran aplikasi itu, pengguna dapat menikmati perkhidmatan Buddy System untuk satu tahun secara percuma.
Katanya, aplikasi itu menawarkan pelbagai kemudahan yang mampu dinikmati khas buat peminat, pemain bola sepak tempatan dan pihak pengurusan menerusi telefon mudah alih, selain pihaknya menyasarkan lebih sejuta pengguna yang akan memuat turun sehingga penghujung tahun ini.
“Sebagai seorang peminat bola sepak yang tegar, saya inginkan lebih lagi daripada segi kemudahan yang sedia ada di industri ini.
“Menyedari banyak kekangan untuk mendapat kandungan yang berkualiti, maka lahirlah aplikasi Fanskick kerana saya faham apa yang diinginkan oleh seorang peminat dari jenis perkhidmatan dan hiburan yang relevan kini.
“Berpandukan keinginan ini, kami memperkenalkan pelbagai ciri untuk menjadikan Fanskick satu aplikasi lengkap yang sesuai bagi lelaki dan wanita berusia 12 tahun ke atas,” katanya pada sidang media.
Farouk turut menjelaskan pihaknya ingin menawarkan sebuah ruang bagi menghubungkan peminat, pemain dan penggerak industri bola sepak tanah air seiring dengan visi Presiden FAM yang inginkan revolusi.
“Aplikasi Fanskick adalah pencetus kepada satu pembaharuan dalam industri sukan tanah air dan kami berbangga untuk menjadi yang pertama memperkenalkannya,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, para peminat bola sepak tanah air boleh mengikuti perkembangan mengenai aplikasi ini di laman web rasmi mereka, www.fanskick.com.