Apakah Yang Berlaku Setiap Kali Man Utd Berada Di Persada Liga Selepas 17 Perlawanan?

Selepas permulaan yang sukar di awal musim, Manchester United dipercayai telah berjaya menemui rentak dan kini sedang berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Manchester United tidak pernah berada dalam kedudukan sebaik ini untuk mencabar kejuaraan sejak era pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

Sebagai bekas pemain, Solksjaer turut pernah melalui dan belajar dari Sir Alex bagaimana untuk mengejar kejuaraan. Pada ketika era pengurus dari Scotland itu, amat jarang Man United melepaskan peluang selepas berada di hadapan.

Kali ini kita melihat kembali bagaimana Manchester United menamatkan musim selapas mendahului kedudukan liga setelah 17 perlawanan berlangsung – sama seperti pada hari ini.

EPL musim 2012-13

Musim ini Manchester United diperkuatkan dengan mesin gol, Robin van Persie yang ditandatangani dari Arsenal. Sejak awal musim Man United berlumba untuk bergelar pendahulu saingan.

Man United berhadapan beberapa kekalahan kepada Everton, Tottenham dan Norwich, namun 14 kemenangan dari 17 perlawanan dilalui memberikan mereka kelebihan enam mata ke atas juara bertahan Manchester City.

Skuad Red Devils kemudiannya berjaya mengekalkan rentak kemenangan pada separuh kedua musim sebelum memastikan kejuaraan di dalam tangan ketika saingan masih lagi berbaki empat perlawanan.

Ia adalah musim terakhir Man United bergelar juara, dan merupakan hadiah terindah untuk Sir Alex Ferguson yang mengumumkan persaraan selepas 26 tahun di Old Trafford.

EPL musim 2010-11

Selepas kemenangan rutin 2-0 ke atas Sunderland pada Boxing Day 2010 membenarkan skuad Sir Alex Ferguson menerajui kedudukan liga selepas 17 perlawanan.

Manchester City yang terkenal dengan pembelian pemain bintang pada ketika itu untuk mengejar cita-cita pemiliknya pula berada hanya dua mata di belakang, tetapi telah beraksi dua perlawanan lebih.

Juara bertahan Chelsea pula pada ketika itu dikendalikan oleh Carlo Ancelotti hilang konsistensi dan menduduki tempat keempat.

Manchester United mengekalkan rentak tanpa kalah sehingga Februari sebelum menamatkan saingan dengan kelebihan sembilan mata ke atas Chelsea dan City.

EPL musim 2006-07

Selepas dua tahun dengan garangnya mendominasi saingan Liga Perdana Inggeris, Chelsea bimbingan Jose Mourinho mulai hilang taringnya, dan turut menyaksikan pemain bintang yang didatangkan seperti Andriy Shevchenko bergelut untuk menampilkan impak di Stamford Bridge.

Michael Carrick menjadi satu-satunya pemain yang dibawa masuk oleh Sir Alex pada musim panas lalu, dan Man United melihat peluang untuk mengembalikan prestij mereka yang telah dirampas ke London.

Gandingan Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney juga memasuki fasa baharu selepas melupakan insiden panas yang berlaku di Piala Dunua.

Dan selepas memiliki lima mata ke atas skaud Mourinho setelah 17 perlawanan, Manchester United tidak lagi menoleh ke belakang untuk merangkul kejuaraan pada musim tersebut.

EPL musim 2003-04

Arsenal menamatkan musim ini dengan penuh bersejarah kerana tidak tewas sepanjang musim. Dan mungkin ada yang lupa Arsenal sebenarnya bermula dengan longlai pada separuh pertama musim.

Skuad Arsene Wenger pada ketika itu merekodkan enam seri dari 17 perlawanan pertama, dan berada satu mata di belakang United.

Namun demikian, pada pengakhirannya Arsenal dengan mudah muncul juara dengan kelebihan 11 mata ke atas Chelsea yang dibimbing Claudio Ranieri.

Skuad kendalian Sir Alex hanya menamatkan musim di kedudukan ke-3.

EPL musim 2000-01

Sebelum adanya Chelsea, Manchester City atau pun Liverpool pada hari ini, Arsenal terlebih dahulu tampil sebagai pencabar utama kepada Manchester United di era Liga Perdana Inggeris.

Selepas mengesahkan treble pada 1999, Skuad Sir Alex merekodkan kelebihan 18 mata ke atas The Gunners pada musim 1999-00, dan 10 mata pada musim 2000-01. Jumlah itu mungkin lebih banyak jika Man United tidak tewas tiga perlawanan terakhir mereka.

Memiliki kelebihan enam mata selepas 17 perlawanan, dan tidak memandang ke belakang selepas itu. Ia bukan kali pertama saingan separuh musim kedua menjadi amat penting buat Man United di bawah kendalian Ferguson.

Ia juga menjadi amat penting buat Ole Gunnar Solksjaer bersama pasukan bimbingannya kali ini selepas 20 tahun lalu.

Penutup

Mampukah Ole Gunnar Solksjaer mengulangi pencapaian lalu mereka?

Hanya masa akan menentukannya pada kali ini. Satu perkara yang pasti, kejuaraan akan menjadi milik pasukan paling konsisten.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN