Apa Yang Dilakukan Barisan Pemain Terbaik Skuad Leeds United 2000/01 Sekarang?

Leeds United

Andai berbicara tentang Leeds United, sudah pasti kemaraan The Whites ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2000/01 menjadi topik utama peminat bola sepak mengenai pasukan ini.

David O’Leary yang membimbing skuad tersebut pada ketika itu memiliki sebuah skuad yang mantap di setiap posisi serta  mengamalkan corak permainan lasak.

Dibawah kendalian O’Leary sejak 1997 hingga 2001, Leeds United pasti akan menamatkan saingan di tempat enam pasukan teratas.

Namun, dek kerana krisis kewangan yang meruncing akibat beberapa masalah yang dihadapi, kehebatan Leeds United kian lenyap dari kancah bola sepak Inggeris.

Barisan pemain yang membarisi skuad 2000/01 bukanlah calang-calang nama. Antaranya adalah Rio Ferdinand, Ian Harte, Harry Kewell, Nigel Martyn, Mark Viduka dan ramai lagi.

Kehebatan mereka hanya tinggal kenangan dan selepas hampir dua dekad, kemana hala tujuan mereka?

Mari kita tinjau perkembangan terkini barisan ‘pasukan impian’ ini:

1) Nigel Martyn

Bekas penjaga gol yang membuat 23 penampilan bersama skuad kebangsaan England ini meninggalkan Leeds untuk menyertai Everton pada pertengahan tahun 2003 selepas tidak sebulu dengan pengendali ketika itu, Terry Venables.

Beliau yang menjangkau usia 52 tahun pernah menjadi jurulatih penjaga gol di Bradford City dan kini dikhabarkan aktif bermain kriket di Utara Leeds.

2) Danny Mills

Kecederaan yang dialami Gary Neville memberikan peluang buat Mills bagi mengisi kekosongan di posisi pertahanan kanan dalam kempen Piala Dunia 2002.

Beliau beraksi dalam kelima-lima perlawanan England yang layak sehingga ke peringkat suku akhir sebelum ditundukkan Brazil.

Danny Mills masih terlibat dalam bola sepak sehingga kini, namun bukan sebagai jurulatih tetapi bertindak selaku pundit di Sky Sports.

3) Ian Harte

Pemain pertahanan yang berkeupayaan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik ini meninggalkan Elland Road bagi menyertai Levante selepas Leeds tersingkir ke Liga Championship pada 2004.

Beliau menamatkan karier dengan positif apabila berjaya membantu Bournemouth mencipta sejarah layak buat pertama kali ke Liga Perdana Inggeris pada tahun 2015.

Kini, Harte yang berusia 41 tahun meneruskan rasa sayangnya dalam bola sepak apabila menjadi ejen pemain dan juga mempunyai kerjasama perniagaan dengan sebuah syarikat nutrisi.

4) Dominic Matteo

Pemain pertahanan kelahiran Scotland ini meninggalkan Leeds bagi menyertai Blackburn Rovers pada 2004.

Ketika di Blackburn, beliau mula terjebak dengan perjudian sehingga menyebabkan ketagihan dan mengalami kerugian hampir  £1 juta akibat perbuatan tersebut.

Beliau juga diisytiharkan bankrap pada 2015 dan pernah menjadi pundit bagi stesen televisyen, Setanta Sports.

5) Rio Ferdinand

Bek kental ini menjadi pemain pertahanan termahal ketika penghijrahannya ke Manchester United dengan nilai £30 juta pada musim panas 2002.

Keinginannya untuk berkecimpung dalam sukan tinju profesional terhalang selepas permohonan lesennya tidak diterima.

Ferdinand kini merupakan pundit di BT Sport selepas menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun pada Ogos lalu.

6) Lee Bowyer

Pemain tengah yang sering dibelenggu kontroversi termasuklah bergaduh sesama rakan sepasukan ketika beraksi merupakan pemain yang menjadi nadi buat Leeds United ketika itu.

Beliau berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 2000/01 dan kini Bowyer membimbing Charlton Athletic yang sedang bersaing dalam EFL League One.

7) Harry Kewell

Bekas bintang antarabangsa Australia ini disifatkan oleh Danny Mills sebagai ‘Gareth Bale di zamannya’.

Media di sana juga melabelkan Kewell sebagai salah seorang ‘playmaker’ berbahaya dalam EPL pada ketika itu.

Pada usia 40 tahun, Kewell diikat Notts County bagi membimbing kelab EFL League Two itu.

8) Olivier Dacourt

Sering disamakan dengan Patrick Vieira, Dacourt turut memainkan peranan penting buat Leeds United pada ketika itu.

Pada musim 2000/01, Dacourt telah membuat 48 penampilan bersama The Whites.

Beliau kini merupakan konsultan dan pundit di Perancis bersama Canal+.

9) David Batty

Kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti pada aksi pusingan kedua Piala Dunia 1998 memang tidak dapat dilupakan.

Merupakan seorang pemain tengah yang kental membuatkan beliau lebih gah dipandang berbanding Lee Bowyer.

Beliau sering mendapat jemputan bagi menyertai perlawanan amal sejak bersara pada 2004.

10) Mark Viduka

Viduka hadir ke Elland Road dengan yuran perpindahan bernilai £6 juta. David O’Leary yang bertanggungjawab membawa masuk bekas penyerang antarabangsa Australia ini dari Celtic.

Beliau berjaya mencipta 22 jaringan pada musim 2000/01.

Menurut sumber The Telegraph, Viduka ini melatih skuad remaja di Melbourne Knight.

11) Alan Smith

Dilihat sebagai seorang pemain yang panas baran namun mempunyai kualiti sebagai penyerang muda yang cukup baik.

Smith dikatakan pernah bersumpah untuk tidak menyertai Manchester United tetapi akhirnya berhijrah ke Old Trafford pada 2004.

Musim lalu, Alan Smith beraksi untuk Notts County dan turut menjadi pembantu kepada pengurus pasukan, Kevin Nolan.

 

Leave a Reply