Tuan rumah: Kanada
Juara bertahan: Jepun (2011)
Jumlah pasukan: 24 (pada 2011 hanya 16 pasukan bertanding)
Apa yang menarik?
1. Teknologi hawk-eye
Buat pertama kali, teknologi video hawk-eye akan digunakan sebagai goal-line technology. Hawk-eye selalu digunakan dalam kriket dan tenis.
2. Penggunaan padang rumput tiruan
Bagi pemain bola sepak wanita, ini adalah isu kesama-rataan jantina. Bagi mereka, FIFA pasti tidak akan membenarkan bola sepak lelaki dimainkan di atas padang rumput tiruan kerana pemain lelaki pasti akan menentang.
Tetapi apabila pemain wanita menentang, FIFA langsung tidak mempedulikan mereka.
Pemain Amerika Syarikat, Sydney Leroux adalah antara pemain yang paling vokal menentang penggunaan padang rumput tiruan di Twitter.
Gambar kaki beliau selepas bermain di padang rumput tiruan menaikkan kesedaran orang ramai tentang bahaya bermain di padang rumput tiruan – sehingga Kobe Bryant turut lantang menyokong beliau di Twitter.
This is @DrinkBODYARMOR athlete @sydneyleroux after playing on turf! #ProtectTheAthlete #USWNT http://t.co/e5NhMgwkCq pic.twitter.com/5jFpl12L8j
— Kobe Bryant (@kobebryant) August 13, 2014
84 pemain wanita dari 13 negara pernah memfailkan kes mahkamah terhadap FIFA pada 2013 untuk mendesak FIFA dan Persatuan Bola Sepak Kanada menggunakan padang rumput sebenar. Tetapi mereka terpaksa menggugurkan kes tersebut kerana dakwaan kes mengambil terlalu banyak masa.
Kumpulan A
1. Kanada (ranking ke-8 dunia)
Pada 2011, Kanada meninggalkan kempen Piala Dunia tanpa sebarang mata, bolos 7 gol dan hanya 1 gol. Majoriti pemain Kanada adalah pemain veteran. Tetapi kehadiran bekas ketua jurulatih skuad wanita New Zealand, John Herdman mampu mengubah sesuatu.
Pemain tumpuan: Christine Sinclair, 31 (Portland Thorn FC).
Pemain bola sepak wanita paling popular di Kanada ini memanggil John Herman sebagai ‘jurulatih terbaik pernah saya jumpa’. Di bawah bimbingan Herdman, Sinclair dan rakan sepasukannya mampu memperbaiki rekod 2011.
2. Belanda (ranking ke-12 dunia)
Ini adalah kali pertama skuad wanita Belanda layak ke Piala Dunia.
Pemain tumpuan: Vivianne Miedema, 18 (Bayern Munich)
Baru berusia 18 tahun, Miedema menjaringkan 16 gol dalam 14 perlawanan kelayakan Piala Dunia. Beliau digelar ‘Arjen Robben’ dalam bola sepak wanita.
3. China (ranking ke-16 dunia)
Antara muka tetap dalam Piala Dunia Wanita sejak 1991, kegagalan China layak ke edisi 2011 agak mengejutkan. Mereka tampil sebagai pasukan paling muda dalam edisi kali ini. Pemain paling tua mereka dilahirkan pada 1989.
Pemain tumpuan: Gu Yasha, 24
China bergelut untuk menggantikan ikon bola sepak wanita, Sun Wen. Tetapi mereka mempunyai Gu Yasha – pemain tengah berusia 24 tahun yang sudah mengumpul 87 caps antarabangsa.
4. New Zealand (ranking ke-17 dunia)
Skuad wanita New Zealand hanya membawa 1 mata dalam edisi 2011 ketika mereka dibimbing John Herdman, jurulatih skuad wanita Kanada ketika ini. Jawatan Herdman diisi oleh bekas pembantunya, Tony Readings.
Pemain tumpuan: Amber Hearn, 30 (USV Jena)
Kumpulan B
1. Jerman (ranking ke-1 dunia)
Dalam edisi 2011, Jerman mudah mendominasi 3 perlawanan kumpulan sebelum tewas kepada juara, Jepun. Dalam pusingan kelayakan edisi 2015, Jerman menang semua 10 perlawanan, menjaringkan 62 gol dan hanya bolos 4 gol.
Mereka juga baru sahaja membelasah Brazil 4-0 dalam perlawanan persahabatan April lepas.
Pemain tumpuan: Nadine Angerer, 36 (Portland Thorns FC)
Rekod 540 minit tanpa bolos di Piala Dunia miliknya masih belum dapat dipecahkan oleh mana-mana penjaga gol.
2. Norway (ranking ke-11 dunia)
Norway hanya mencatat satu kemenangan dalam edisi 2011, 1-0 ke atas pendatang baru Equatorial Guinea. Tetapi melihat prestasi mereka semasa pusingan kelayakan, mereka tampil lebih kuat. Norway hanya kalah sekali – kepada Belanda.
Pemain tumpuan: Solveig Gulbrandsen, 34 (Stabæk)
3. Thailand (ranking ke-29 dunia)
Thailand menewaskan Vietnam 2-1 dalam play-off untuk layak edisi kali ini. Kejayaan skuad wanita mereka mendominasi akhbar dan TV Thailand. Inbox Facebook pemain tengah, Kanjana Sung-Ngoen penuh dengan mesej remaja wanita Thailand yang mendapat inspirasi untuk bermain bola sepak kerana 2 gol jaringannya ketika menewaskan Vietnam.
Pemain tumpuan: Taneekarn Dangda, 22 (Östersunds DFF)
Adik penyerang sensasi Thailand, Teerasil Dangda ini baru berusia 22 tahun dan bermain di kelab Sweden. Seperti abangnya, Taneekarn adalah penyerang laju.
4. Ivory Coast (ranking ke-67 dunia)
Skuad wanita Ivory Coast tiada hak berlagak kepada skuad lelaki. Tetapi kejayaan mereka melangkah ke Piala Dunia buat kali pertama adalah permulaan yang baik untuk bola sepak wanita Ivory Coast.
Pemain tumpuan: Ines Nrehy, 21 (WFC Rossiyanka)
Kumpulan C
1. Jepun (ranking ke-4 dunia)
Jepun adalah pasukan Asia pertama memenangi Piala Dunia selepas melakukannya pada 2011. Dalam final menentang Amerika Syarikat, mereka ketinggalan 2 kali sebelum kembali menyamakan kedudukan. Apabila mereka menang penentuan penalti, seluruh Jepun meletup dengan kegembiraan.
Pemain tumpuan: Homare Sawa, 36 (INAC Kobe Leonessa)
Pernah dinamakan sebagai 2011 FIFA Women’s World Player of the Year, Sawa kini sudah pun berusia 36 tahun. Baru pulih dari kecederaan panjang 8 bulan, Sawa tetap menjadi pilihan ketua jurulatih, Norio Sasaki seperti yang diberitahu beliau:
Dengan kehadiran Sawa, pasukan kami lebih mantap
2. Switzerland (ranking ke-19 dunia)
Edisi 2015 adalah penampilan pertama Switzerland.
Pemain tumpuan: Lara Dickenmann (Olympique Lyon)
3. Ecuador (ranking ke-48 dunia)
Edisi 2015 adalah penampilan pertama Ecuador.
Pemain tumpuan: Tidak diketahui
4. Cameroon (ranking ke-53 dunia)
Skuad wanita Cameroon pernah layak ke Piala Dunia Wanita pada 1995 tetapi terpaksa menarik diri kerana konflik politik. Edisi 2015 ini merupakan penampilan pertama skuad wanita mereka.
Pemain tumpuan: Madeleine Ngono Mani, 31 (En Avant Guingamp)
Kumpulan D
1. Amerika Syarikat (ranking ke-2 dunia)
Sejak edisi pertama Piala Dunia Wanita pada 1991, skuad wanita Amerika Syarikat tidak pernah gagal melepasi peringkat separuh akhir. Pada final edisi 2011, mereka mendahului Jepun 2 kali dan mensia-siakannya sebelum kalah penentuan penalti.
Pemain tumpuan: Sydney Leroux, 25 (Western New York Flash)
Lupakan Hope Solo. Kami berbelah bahagi antara Abby Wambach, Alex Morgan atau Sydney Leroux, dan akhirnya memilih Leroux kerana beliau asalnya rakyat Kanada. Rakyat Kanada pasti akan memenuhi perlawanan hanya untuk menghamburkan ‘boo’ kepada Leroux.
2. Sweden (ranking ke-5 dunia)
Ketua jurulatih Sweden, Pia Sundhage merupakan bekas jurulatih Amerika Syarikat. Pia Sundhage terkenal kerana beliau sentiasa dijemput menyanyi dalam temu ramah dan majlis gala FIFA. Pada edisi 2011, Sweden menduduki tempat ke-3.
Pemain tumpuan: Lotta Schelin, 31 (Olympique Lyonnais)
Ketinggian, kekuatan dan teknik serangan beliau menyebabkan beliau digelar ‘Zlatan Ibrahimovic’ dalam bola sepak wanita.
3. Australia (ranking ke-10 dunia)
Edisi 2011 menyaksikan Australia tersingkir selepas tewas 1-3 kepada Sweden di suku akhir. Kali ini, Australia berpeluang membalas dendam lebih awal apabila diundi dengan Sweden dalam kumpulan sama. Cuma satu masalah – Australia tidak pernah menewaskan Sweden dalam sejarah mereka.
Pemain tumpuan: Lisa de Vanna, 30 (Melbourne Victory)
4. Nigeria (ranking ke-33 dunia)
Nigeria adalah muka tetap Piala Dunia Wanita sejak edisi sulung. Dalam edisi 2011, mereka tersingkir dalam peringkat kumpulan. Dan rekod itu nampak tidak akan berubah dalam edisi kali ini kerana Nigeria diundi dalam kumpulan maut – Amerika Syarikat, Sweden dan Australia semuanya berada di ranking 10 teratas dunia.
Pemain tumpuan: Asisat Oshoala, 20 (Liverpool)
Oshoala merupakan pemenang anugerah 2015 BBC Women’s Footballer of the Year. Baru menyertai Liverpool, Oshoala dipanggil ‘salah satu pemain muda terbaik di dunia’ oleh pengurus Liverpool Ladies. Beliau mempunyai nama timangan ‘Seedorf’ kerana fleksibiliti beliau yang boleh bermain di mana-mana posisi – seperti Clarence Seedorf.
Kumpulan E
1. Brazil (ranking ke-7 dunia)
Berbanding skuad lelaki mereka, skuad wanita Brazil belum pernah menjadi juara Piala Dunia walaupun mempunyai pemenang FIFA World Player of the Year 5 kali, Marta dalam pasukan mereka. Dalam edisi 2011, mereka tewas penentuan penalti menentang Amerika Syarikat di suku akhir.
Pemain tumpuan: Marta, 29 (FC Rosengård)
Baru menyertai juara Sweden pada tahun lepas, karier Marta penuh dengan trofi dan anugerah pemain terbaik kecuali satu – trofi Piala Dunia. Marta adalah penyerang prolifik – berkongsi rekod penjaring terbanyak Piala Dunia dengan lagenda Jerman, Birgit Prinz.
2. Sepanyol (ranking ke-14 dunia)
Tidak seperti skuad lelaki, skuad wanita Sepanyol tidaklah sehebat negara Eropah lain. Edisi 2015 ini adalah penampilan pertama mereka dalam Piala Dunia. Majoriti pemain Sepanyol terdiri daripada pemain Barcelona dan Athletic Bilbao.
Pemain tumpuan: Natalia Pablos, 29 (Arsenal)
Aktivis feminis mungkin akan marah tetapi Pablos juga tidak terkecuali daripada perbandingan dengan pemain lelaki. Bekas pengurus beliau di Bristol City memanggilnya ‘Michu’ versi perempuan kerana stail permainan mereka yang sama. Pablos menyertai Arsenal Ladies pada awal tahun 2015.
3. Korea Selatan (ranking ke-18 dunia)
Edisi 2015 adalah penampilan ke-2 Korea Selatan selepas edisi 2003 (dimana mereka kalah semua perlawanan). Kemunculan semula Korea Selatan di Piala Dunia ada kaitannya dengan pemain tumpuan mereka yang dipanggil ‘Messi’.
Pemain tumpuan: Ji So-Yun, 24 (Chelsea)
“Satu dunia akan tahu betapa bagusnya beliau,” menurut kata pengurus Chelsea Ladies, Emma Hayes mengenai pemain Korea Selatan ini.
“Satu saat, satu gol, dan itulah yang dilakukan pemain berkualiti,” kata Hayes. “Beliau perlu lebih banyak menyumbang dari segi pertahanan untuk menjdai pemain lengkap, tetapi beliau cepat belajar.”
4. Costa Rica (ranking ke-37 dunia)
Edisi 2015 adalah penampilan pertama Costa Rica.
Pemain tumpuan: Shirley Cruz Traña, 29 (Paris Saint-Germain)
Kumpulan F
1. Perancis (ranking ke-3 dunia)
Dalam edisi 2011, Perancis menduduki tempat ke-4 selepas tewas perlawanan penentuan tempat 3/4 menentang Sweden. Ketua jurulatih mereka, Philip Bergeroo merupakan staf jurulatih skuad lelaki yang memenangi Piala Dunia 1998. Majoriti pemain mereka bermain di Olympique Lyon dan Paris Saint-Germain. Perancis adalah pilihan utama kejohanan.
Pemain tumpuan: Wendie Renard, 24 (Olympique Lyon)
Baru berusia 24 tahun dan sudah memegang jawatan kapten pasukan pilihan utama Piala Dunia? Renard adalah superstar dalam bola sepak wanita. Mempunyai ketinggian 1.87 meter dan kemahiran teknikal yang tinggi, Renard adalah pertahanan tengah impian semua jurulatih bola sepak wanita – dan tidak mustahil, lelaki juga.
2. England (ranking ke-6 dunia)
Jika kryptonite pasukan lelaki England adalah Jerman, kryptonite pasukan wanita England adalah Perancis. Dalam edisi 2011, mereka tersingkir selepas tewas penentuan penalti di suku akhir menentang Perancis.
Pemain tumpuan: Fara Williams, 31 (Liverpool)
Fara Williams adalah pemain paling banyak caps untuk England. Seorang pakar set-piece, Williams merupakan juga merupakan jurulatih berdaftar untuk England FA. Beliau pernah tidak mempunyai rumah selama 6 tahun di awal kariernya bola sepaknya.
3. Mexico (ranking ke-25 dunia)
Dalam edisi 2011, Mexico tersingkir daripada peringkat kumpulan selepas hanya mampu menduduki tangga ke-3 kumpulan. Mexico perlu berterima kasih kepada sistem kejurulatihan Amerika Syarikat yang banyak menghasilkan pemain bagus daripada keturunan imigran Mexico yang menetap di sana.
Pemain tumpuan: Charlyn Corral, 23
Pada usianya baru 13 tahun, Corral sudah bermain untuk pasukan bawah-21 Mexico. Beliau sengaja tidak mahu menandatangani kontrak baru dengan kelabnya untuk bersiap sedia dalam edisi Piala Dunia kali ini.
4. Colombia (ranking ke-28 dunia)
Selepas kali pertama layak dalam edisi 2011, Colombia layak sekali lagi. Dalam edisi 2011 mereka gagal menjaringkan walau 1 gol termasuklah ketika seri 0-0 dengan Korea Utara. Seperti China, skuad mereka dipenuhi pemain muda.
Pemain tumpuan: Tidak diketahui
Sumber: FIFA, The Guardian, BBC, Getty Images
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter