Apa Yang Ahli Politik Di Malaysia Boleh Belajar Daripada Ucapan Persaraan Gerard Pique?

Pique Ahli Politik

Gerard Pique beraksi buat kali terakhir di Nou Camp sebagai pemain Barcelona pada Sabtu lalu menentang Almeria selepas mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional.

Sewaktu pemain pertahanan berusia 35 tahun itu digantikan pada penghujung permainan, tepukan gemuruh dan sambutan di seluruh pelusuk stadium membuktikan betapa beliau adalah pemain yang cukup istimewa di hati penyokong kelab Catalan tersebut.

“Yang pertamanya, terima kasih kepada semua rakan sepasukan, staf, mereka di dalam gimnasium, kepada semua yang membantu kami setiap hari menjadikan semuanya mudah,” ujar Pique dalam ucapannya di stadium selepas perlawanan.

“Terima kasih kepada lembaga pengarah untuk tahun-tahun ini. Dalam kehidupan, apabila kamu semakin berusia, kamu perlu sedar bahawa ada masanya untuk menyayangi adalah dengan melepaskan.

“Hubungan yang penuh dengan cinta, sarat dengan jiwa, saya rasa ini adalah masa untuk berikan saya ruang, beri saya bernafas dan saya yakin pada masa akan datang saya akan berada di sini semula.

“Jadi ini bukanlah perpisahan, saya pernah pergi beberapa tahun lalu dan kemudian saya kembali semula ke sini. Saya dilahirkan di sini dan saya akan mati di sini.”

Pique pastinya akan diangkat sebagai legenda kelab. Bekas pertahanan Sepanyol itu telah mengumpul 30 trofi kejuaraan sepanjang khidmatnya di Barca dan telah memenangi hampir semua kejuaraan utama.

Piala Dunia, Euro, Pial Kelab Dunia, FIFA, Liga Juara-Juara Eropah, Piala Super UEFA, La Liga, Copa de Rey dan Liga Perdana Inggeris, semuanya telah pun berada di dalam koleksinya.

Tanpa berselindung, Pique pernah berkongsi impiannya untuk menjadi presiden kelab satu hari nanti. Maka tidak hairanlah sekiranya beliau ditawarkan untuk menjawat posisi penting di kelab tersebut pada masa akan datang.

Politik haru biru

Perkembangan politik di Malaysia mutakhir ini menyaksikan terdapat beberapa ahli politik yang tidak berpuas hati apabila tidak lagi dicalonkan oleh parti politik masing-masing untuk bertanding di kerusi parlimen tertentu.

Lalu mereka bertindak ‘mengkhianati’ parti dan terus bertanding sama ada menggunakan logo parti seteru politik atau menjadi calon bebas.

Apa yang menariknya, ia berlaku hampir kepada semua blok politik tidak kira daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Antaranya adalah Che Abdullah Mt Nawi (PN – BN), Khairuddin Aman Razali (PN – BN), Shahidan Kassim (BN – PN), Ismail Abd Muttalib (BN – PN), Zahidi Zainul Abidin (BN – Bebas), Tian Chua (PH – Bebas) dan Wong Tack (PH – Bebas).

Jadi apakah yang para politikus ini boleh belajar daripada kenyataan Pique?

“Dalam kehidupan, apabila kamu semakin berusia, kamu perlu sedar bahawa ada masanya untuk menyayangi adalah dengan melepaskan” – Gerard Pique

https://twitter.com/goal/status/1589022312015482880?s=20&t=7LToDLbHgcCKE35Hnap-vQ

Jika mengambil kira faktor umur, kecuali Khairuddin (48), kebanyakan mereka sudah pun memasuki atau menghampiri usia persaraan. Che Abdullah (62), Shahidan Kassim (71), Ismail (67), Zahidi (61), Tian Chua (58) dan Wong Tack (63).

Hakikatnya selepas tidak terpilih, mereka semua berpeluang untuk diiktiraf sebagai ‘legenda’ bagi parti masing-masing dengan berundur secara terhormat.

Selepas segala yang dicurahkan selama berpuluh tahun bergelumang dalam dunia politik yang penuh cabaran dan dugaan, tidak sedikit penghargaan dan rasa terima kasih para penyokong di atas keringat dan sumbangan mereka.

Namun mereka telah memilih jalan sebaliknya. Sukar untuk difahami apakah yang bermain di benak fikiran mereka. Masing-masing juga sudah pasti akan menerima pencen sebagai wakil rakyat seperti yang tertakluk dalam syarat perkhidmatan.

Adakah memberi sumbangan itu hanyalah dengan menjadi wakil rakyat sahaja? Sedangkan masih banyak peranan lain yang boleh dilakukan di luar kerangka tersebut.

Itulah apa yang dimaksudkan dengan Pique bahawa beliau tetap akan ‘kembali’ bersama kelab walaupun bukan sebagai pemain. Mungkin selepas ini akan diberikan peranan sebagai barisan kejurulatihan, pegawai teknikal, duta, pengarah sukan dan sebagainya.

Patah tumbuh hilang berganti. Negara ini realitinya tidak ketandusan muka-muka baharu yang tidak kurang hebatnya untuk diberi peluang untuk ditampilkan sebagai pemimpin masa depan.

https://twitter.com/NazrinOmar5/status/1586770933540614144?s=20&t=7LToDLbHgcCKE35Hnap-vQ

Setidak-tidaknya, golongan muda ini mempunyai idea yang lebih segar dan mampu untuk membawa naratif baharu di persada politik tanah air.

Apatah lagi pindaan umur bagi warganegara yang layak mengundi telah diubah dari 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi juga telah dilaksanakan secara automatik yang menjadikan peratusan besar dalam kalangan pengundi muda.

Sesungguhnya perubahan adalah lumrah dalam sesebuah organisasi. Tiada pemain yang lebih besar daripada kelab. Tiada juga ahli yang lebih besar dari parti politik.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN