Apa Rahsia JDT Begitu Mudah Pancing “Jenama Dunia”?

Tahukah anda JDT bukan kelab bola sepak pertama yang menjalani kerjasama dengan Aston Martin? Tetapi tahukah juga anda bahawa Aston Martin bukan sebuah syarikat permotoran yang biasa menjalani kerjasama dengan mana-mana entiti bola sepak, melainkan jika mereka benar-benar yakin pelaburan itu mampu memberikan pulangan.

JDT Jadi Kelab Kedua Di Dunia Ditaja Aston Martin, Kelab Mana Yang Pertama?

Ketika tampil sebagai penaja 1860 Munich hampir 10 tahun lalu, Aston Martin mungkin melihat usahasama tersebut sebagai peluang unuk bersaing dengan jenama-jenama terkemuka di Jerman seperti Audi, Porsche atau pun Mercedez. Tetapi mereka tidak memerlukan persaingan sedemikian di pasaran automotif di Malaysia.

Hanya ada satu kesimpulan lain untuk itu. Pelaburan Aston Martin di JDT berkemungkinan besar adalah serampang dua mata untuk melebarkan sayap mereka di Asia – memecah dominasi kereta mewah seperti Ford, Porcshe, BMW, dan lain-lain yang menjadi pilihan pengguna di pasaran Asia selama ini – selain kerjasama strategik yang lain seperti pembinaan kereta berkonsepkan JDT.

Tetapi mengapa JDT yang menjadi pilihan Aston Martin? Apa pula rahsia JDT sehingga mampu menarik perhatian jenama terkenal dunia seperti Aston Martin?

Jawapannya sebenarnya agak straight forward, walaupun bagi segelintir yang cuba menidakkannya sebenarnya mahu terus hidup dalam penafian.

Berikut adalah antara sebab-sebab nyata bagaimana JDT menjadi magnet jenama-jenama antarabangsa seperti Aston Marin, Hublot, Nike, Unicef dan banya lagi.

Merupakan serial winner

JDT adalah contoh terbaik serial winner. Merupakan juara Liga Super Malaysia (MSL) tujuh kali berturut-turut, pada musim ini skuad Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora juga berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan ke-8. Kemenangan ke atas Selangor pada malam tadi melebarkan kelebihan di kedudukan teratas kepada enam mata berbanding pesaing terdekat – membuktikan betapa kompetitifnya pasukan ini.

Bukan sahaja di pertandingan liga, JDT juga turut akan tampil kompetitif dalam setiap pertandingan yang disertainya termasuk di AFC Champions League – kejohanan yang mengumpulkan kelab bola sepak terhebat Asia di bawah satu pertandingan.

Walaupun masih baharu dan boleh dianggap setahun jagung di dalam pertandingan tersebut, penampilan JDT di pertandingan ini sentiasa mencuri tumpuan kerana kemampuan mereka mengejutkan gergasi-gergasi Asia yang lain.

Tiada siapa yang tidak sukakan pemenang (serial winner) melainkan anda adalah lawan. Sekurang-kurangnya itu yang Aston Martin cari.

Profil pemain

Untuk melakukan pemasaran di dalam bola sepak, profil pemain turut menjadi salah satu aspek yang perlu diambil kira. Konsepnya sama seperti anda memilih seorang influencer untuk memasarkan produk anda.

Tidak sukar untuk memilih kelab bola sepak yang memiliki pemain dengan profil sehebat di JDT. Apatah lagi rata-rata pemain yang beraksi di JDT adalah pemain kebangsaan dan amat dikenali di negara ini.

Bergson da Silva dianggap sebagai salah seorang penyerang import terbaik di negara ini. Safawi Rasid pula dilihat sebagai antara permata bola sepak negara. Pemain-pemain ini mempunyai kumpulan pengikut mereka sendiri dan boleh memberikan pengaruh besar kepada nilai pasaran produk yang dipasarkan.

Ambil contoh video pengenalan Aston Martin yang disiarkan JDT semalam. Penampilan Syahrian Abimanyu bersama jentera Aston Martin mendapat liputan meluas oleh media di Indonesia. Ini secara tidak langsung, pemain telah membantu memperluaskan bidang pemasaran

Sustainability

JDT mulai berada di dalam peta bola sepak Malaysia pada 2013. Dan selepas hampir lapan tahun sejak DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memulakan revolusi bola sepak di Johor, JDT tidak menunjukkan diri mereka akan berundur atau melangkah ke belakang, sebaliknya terus berkembang dari tahun ke tahun untuk menjadi kuasa bola sepak terbesar di rantau ini.

Jika dahulu JDT terpaksa memburu pemain untuk beraksi dengan mereka, trend itu kemudiannya berubah apabila pemain yang memburu dan mahu beraksi di JDT. Pada hari ini, JDT juga boleh berbangga dengan produk akademi mereka sendiri seperti Ariff Aiman dan Ramadhan Saifullah.

Semua ini hanya membuktikan perancangan yang dilakukan oleh TMJ berada di landasan yang betul. Sebuah kelab bola sepak yang memiliki struktur yang betul bukan sahaja mampu bersaing secara kompetitif. Lebih dari itu, sebuah kelab bola sepak itu akan memiliki daya saing dan keupayaan untuk kekal secara dominan (sustainability). 

Hanya dengan cara itu timbul keyakinan untuk kejayaan lain datang satu persatu – termasuk untuk menarik kerjasama dan pelabur berprofil tinggi.

Brand awareness dimiliki JDT

Selain daripada kekuatan skuad Harimau Selatan yang beraksi di atas padang, JDT juga kini telah menjadi satu jenama dengan ‘brand awareness’ yang berada pada tahap berbeza berbanding yang lain. Dan semua itu bukannya dibina dalam satu hari, tetapi kerja keras berterusan yang diketuai sendiri oleh TMJ.

“Mentaliti saya dan sesetengah pihak dalam negara berbeza. Sebagai contoh, semua kelab boleh menandatangani pemain bola sepak tetapi bukan semua kelab mendapat pengiktirafan daripada jenama-jenama terkemuka antarabangsa,” ujar baginda dalam satu kenyataan pada tahun lalu.

“Kejayaan komersial, jenama dan aset kelab adalah yang pertama. Jikalau kelab tiada duit, kelab tidak dapat menandatangani pemain dan tanpa pemain yang bagus, pasukan tidak dapat mencapai kejayaan di dalam padang. ‘Brand awarenes’ juga bermaksud pengiktirafan bahawa peranan JDT adalah lebih besar daripada hanya sebuah kelab bola sepak.”

Hari ini JDT adalah salah sebuah kelab bola sepak yang menjalin kerjasama dengan Unicef selain Barcelona FC dan Flamengo yang memberi bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Dari satu sudut, ia adalah satu penghormatan dan pengiktirafan antarabangsa kepada JDT.

Hargai peranan media

Lain orang lain pengalaman. Tetapi bagi syarikat media digital seperti kami, adakala dan acap kali usaha kami untuk mendapatkan bahan berita dan penulisan dipandang enteng oleh beberapa kelab di dalam negara. Untuk itu, kami mahu memberikan penghargaan khusus kepada Tunku Ismail dan JDT di dalam aspek ini kerana di JDT semua media dipandang sama rata.

Mungkin ramai yang tidak menjangkakan di sebalik status dimiliki TMJ, baginda juga sebenarnya adalah seorang pemilik bola sepak yang menghargai peranan media dalam membina reputasi JDT. JDT sebagai sebuah kelab bola sepak pula amat profesional ketika mengendalikan mana-mana wakil media yang bertandang ke tempat mereka untuk melakukan liputan.

Satu perkara yang pasti, pihak JDT tidak akan lokek berkongsi artikel terbitan anda dengan penyokong mereka. Bagi sebuah syarikat media digital kecil seperti kami, ia sudah memadai sabagai tanda penghargaan. Semakin banyak artikel berkaitan JDT ditulis, maka lebih banyaklah pendedahan dan publisiti diberikan kepada JDT.

Engagement mantap dengan penyokong

JDT juga merupakan salah sebuah kelab bola sepak di negara ini yang memiliki hubungan paling baik dengan penyokong. Mana-mana kelab bola sepak boleh membuka keahlian kepada penyokong mereka. Tetapi tanpa sebarang pulangan atau penglibatan langsung dari penyokong ia hanya sekadar keahlian yang sia-sia.

Terbaru, JDT mewujudkan aset digital di dalam bentuk “digital collectables” untuk penyokong setia Harimau Selatan. Ia adalah salah inovasi baru di negara ini dan penyokong JDT harus berasa bangga kerana menjadi yang pertama mampu untuk memilikinya.

JDT Wujudkan “Digital Collectables” Untuk Penyokong Setia Harimau Selatan

JDT juga mengambil pendekatan inklusif dengan menjemput wakil penyokong untuk menyertai setiap mesyuarat lembaga pengurusan kelab. Ini demi memastikan perkara-perkara berkenaan operasi kelab dikongsikan kepada para penyokong secara keseluruhan. Usaha oleh JDT ini hanya akan menambahkan keyakinan penyokong untuk sentiasa berada di belakang kelab, sekaligus memberi indikasi positif yang diperlukan pelabur.

Penutup

Apa rahsia JDT begitu mudah memancing “jenama dunia”? Pada pandangan kami tiada rahsia khusus. JDT hanya melakukan apa yang sebuah kelab bola profesional perlu lakukan. Tidak ada perkara yang mudah. Kota Rom tidak dibina di dalam satu hari. Begitu juga dengan apa yang dimiliki oleh JDT pada hari ini yang bermula dari hasil kerja keras semua pihak di dalam JDT terutama DYAM Tunku Ismail sejak dari mulanya.

Ada satu perkara utama yang boleh kita pelajari dari JDT lewat semua ini. Untuk berjaya, JDT tidak sekadar memasang impian dan bermimpi. Di JDT impian disertakan dengan kerja keras. Ibarat madah Inggeris: “actions speak louder than words”.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN