Baru-baru ini dalam dua aksi terkini Sabah FC, pemain otai, Amri Yahyah tular dengan taktik liciknya dalam usaha memerangkap pemain lawan dalam kedudukan offside.
Di usia 40 tahun, mungkin ramai tak menjangkakan beliau masih cergas untuk beraksi, malah telah tampil dalam semua perlawanan The Rhinos – 17 penampilan dengan 1187 minit permainan. Dan beliau masih mencipta fenomenanya yang tersendiri.
Jika diamati ungkapan pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto ketika merekrut Amri Yahyah, jelas mereka memang mahu menagih kudrat dan pengalamannya.
Kurniawan Katakan Aksi Sabah Luar Biasa, Amri Yahyah Juga Ikut Luar Biasa! https://t.co/N4GhONyGyb
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 6, 2021
Jelasnya kepada MalaysiaGazette, “Jujur, ramai yang mengatakan kenapa saya pilih pemain lebih veteran seperti Amri dalam pasukan, dan untuk saya, apa yang penting bukan usia, tetapi kemampuan dia di atas padang selaku pemain berpengalaman.”
“Dia juga merupakan pemain yang boleh melakukan kawalan baik di bahagian tengah dan bagaimana dia memperlihatkan tahap keyakinan dirinya selaku pemain kepada pemain-pemain tempatan lain yang lebih muda darinya,” tambah Kurniawan lagi.
Dan, Amri Yahyah memberikan segalanya bersama Sabah sehingga kini. Untuk musim ini, beliau juga tular dengan aksi akrobatiknya serta jaringan voli yang ‘melanjut’.
50' | Percubaan "bicycle kick" Amri Yahyah terkena tiang gol!@SabahFCofficial 0-0 @OfficialPahang #LigaSuper2021 pic.twitter.com/Rx0QUVOCOm
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 28, 2021
47' Gol | Voli Amri Yahyah meletakkan Sabah tiga gol dihadapan!@SabahFCofficial 3-0 @MelakaUnitedFC #LigaSuper2021 pic.twitter.com/twrQZ5jMps
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 5, 2021
Amri Yahyah tidak pernah kekeringan idea untuk menarik perhatian pemerhati bola sepak tempatan. Beliau juga pernah memperdaya penjaga gol Manchester United, Edwin van der Sar sembilan tahun lalu menerusi jaringan jarak jauh yang memukau.
Gol yang dilabel sebagai ‘amazing goal’ oleh Bleacher Report itu dikatakan akan terus dikenang oleh pemain itu sepanjang hidupnya. Kelicikannya itu membantu Amri Yahyah meledak dua gol dalam aksi yang tetap dimenangi oleh lawan mereka itu.
Dalam aksi minggu ke-16 dan 17 Liga Super, pemain kelahiran Selangor ini melakukan lagi aksi liciknya. Tipu dayanya membuat perangkap offside ketika sepakan percuma dibuat boleh kita katakan licik dan sangat membantu Sabah dalam situasi tersebut.
Tindakan Amri Yahya ‘membawa’ pemain lawan ke kedudukan offside itu sangat bijak.
Pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco terpedaya apabila mengikut langkahnya ke penjaga gol Sabah, namun apabila sepakan percuma diambil, beliau segera naik ke atas. Mungkin mereka ingat beliau tersilap, tetapi mereka yang dimalukannya.
Dalam perlawanan tersebut, Sabah dan KL City terikat dengan keputusan 1-1 apabila tujuh minit selepas jaringan itu dibatalkan atas sebab offside di minit ke-59, The Rhinos berjaya memadam kelebihan satu jaringan lawan yang dijaringkan di minit ke-22.
Ketika berdepan Terengganu FC, sepakan percuma yang diperolehi di penghujung aksi telah dimanfaatkan oleh tuan rumah untuk meledak gol, namun telah dibatalkan apabila pemain sayap, Rahmat Makasuf berjaya ditipu dengan helah Amri Yahyah.
Satu-satunya jaringan yang jika ia tidak dibatalkan akan memberikan tiga mata buat Terengganu. Ia mengundang amarah daripada kem pasukan lawan, namun jika mereka melihat semula ulang tayang selepas ini, pastinya semua akan tersenyum sinis.
Apa lagi idea yang berada dalam koceknya? Berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi ke-18 pada Ahad, adakah Amri Yahyah akan buat lagi ‘scam’ sebegini ataupun ada lagi teknik-teknik lain yang berada di fikirannya selain daripada teknik sebegini?
Kelicikannya saat ini boleh kita iktiraf sebagai seorang ‘master’ dan beliau juga telah membantu Sabah untuk berada di kedudukan ke-7 liga dengan empat gol peribadinya.