Apa Kesan Yang Malaysia Dapat Jika TMJ Ambil Alih Valencia?

tmj valencia

Dalam masa 24 jam, berita niat Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang mahu mengambilalih Valencia telah menguasai kandungan berita sukan di Malaysia dan Sepanyol.

Sebelum ini, mungkin Los Ches tidak mengenali langsung siapa TMJ. Tetapi selepas pemilik JDT itu mendedahkan hasrat tersebut melalui akaun Instagram peribadinya, nama ‘Johor’ muncul dalam 42 artikel dari pelbagai agensi media Sepanyol dalam masa 24 jam.

Sekarang satu bandar Valencia kenal TMJ dan Johor. Dan perlu diingat – Valencia bukan bandar kecil; ia bandar ketiga terbesar di Sepanyol selepas Madrid dan Barcelona.

Mana-mana agensi pemasaran dan penjenamaan sanggup berhabis jutaan ringgit untuk mendapat impak sebegini di media – terutamanya media luar negara. Tetapi TMJ berjaya melakukannya dengan hanya beberapa Instagram Story.

Fenomena ini membuka sedikit tingkap impak yang bakal berlaku jika hasrat TMJ bertukar menjadi usaha yang konkrit.

Apa lagi kesan yang bakal berlaku – secara langsung dan tidak langsung – jika TMJ mengambilalih Valencia, terutamanya kepada Malaysia?

Ada empat kesan yang kami jangka bakal berlaku.

1. Saiz imej dan stereotaip tentang Malaysia akan berubah di Sepanyol

Embed from Getty Images

Jika anda tanya penduduk Sepanyol mengenai Singapura, mereka akan mengaitkan Singapura dengan kemajuan ekonomi. Mengenai Thailand pula, mereka akan mengaitkannya dengan makanan dan lokasi pelancongan popular.

Tetapi jika anda tanya penduduk Sepanyol mengenai Malaysia, majoriti mereka akan berkata ‘nada’ .

Dalam erti kata lain, saiz imej Malaysia sangat kecil di Sepanyol (dan Eropah secara amnya) sehinggakan mereka tiada stereotaip untuk dikaitkan dengan negara kita.

Kita tak boleh menyalahkan mereka langsung. Kita tidak terkenal sebagai negara powerhouse dalam arena bola sepak global. Walaupun sejarah bola sepak negara kita telah bermula lebih 100 tahun lepas, tiada seorang pun pemain kita berjaya menempa nama di Sepanyol – apatah lagi Eropah.

Mungkin sebahagian kecil peminat bola sepak Sepanyol yang mengikuti perkembangan karier Pablo Aimar dan Dani Guiza pernah terdengar nama Malaysia. Tetapi selain daripada itu, nada.

Tetapi semua itu boleh berubah jika TMJ mengambilalih Valencia. Dengan hampir 75% populasi di Sepanyol memilih bola sepak sebagai sukan nombor satu, Malaysia ada potensi besar untuk meningkatkan saiz imej di Sepanyol.

Potensi ini boleh dimaksimumkan jika pengambilalihan TMJ itu disusuli pula oleh kejayaan Valencia di peringkat domestik dan Eropah.

Lihat saja apa yang berlaku kepada imej negara Thailand selepas Leicester City menjadi juara Premier League pada musim 2015/2016. Lihat saja berapa ramai penyokong Leicester yang datang memberi penghormatan kepada mendiang pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha pada tahun 2018.

2. Platform terbaik rangsang semula industri pelancongan Malaysia

Embed from Getty Images

Antara tahun 2006 hingga 2014, pertumbuhan tahun-ke-tahun kedatangan pelancong United Kingdom (UK) ke Thailand adalah sekitar 2-3%.

Tetapi selepas Leicester City dimahkotakan sebagai juara Premier League pada musim panas 2016, Thailand mencatatkan rekod kedatangan lebih 1 juta pelancong UK – paling tinggi dalam sejarah. Selepas Leicester menjadi juara, pertumbuhan tahun-ke-tahun kedatangan pelancong United Kingdom (UK) ke Thailand melonjak lebih 5%!

Pada tahun 2011 – setahun selepas Vichai Srivaddhanaprabha mengambil alih Leicester City – pertumbuhan tahun-ke-tahun kedatangan pelancong United Kingdom (UK) ke Thailand mencatat peningkatan 4%.

Ada banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong UK ke Thailand. Tetapi tak dapat dinafikan pelaburan Vichai di Leicester banyak menyumbang kepada trend peningkatan pelancong UK ke Thailand.

Sekarang bayangkan jika TMJ mengambilalih Valencia.

Pada tahun 2019, lebih 50,000 pelancong Sepanyol telah melawat Malaysia. Jumlah kecil ini menunjukkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk menarik lebih ramai orang Sepanyol untuk datang melancong.

Potensi ini perlu dipenuhi supaya kita dapat merangsang semula industri pelancongan yang paling terjejas teruk lantaran pandemik COVID-19. Sebagai industri ketiga terbesar sumbangannya kepada KDNK, pelancongan berpotensi menyumbang lebih RM80 bilion jika statistik tahun 2019 menjadi sandaran.

Thailand sudah memulakan kerja ini melalui kempen ‘Thailand, Smiles With You’ bersama Leicester City. Kempen ini merupakan inisiatif anak mendiang Vichai, Aiyawatt Srivaddhanaprabha yang menyahut permintaan Perdana Menteri Thailand.

3. Hab pemain muda Malaysia di Eropah

Embed from Getty Images

Jika benar pengambilalihan ini berjaya direalisasikan, pemain-pemain muda Malaysia yang berpotensi tinggi bakal mempunyai akses ke Eropah paling luas dalam sejarah.

Hubungan Malaysia dan Sepanyol sudah bermula di landasan betul dengan penyertaan Aniq Asri Nasharudin, Allee Putra Azril, M Devekumaran dan Mubashshir Azizi ke akademi FC Malaga City.

Tetapi jika TMJ mengambil alih Valencia, ia bakal mengubah segala-galanya. Menghantar pemain muda ke Eropah adalah satu perkara. Tetapi menghantar pemain muda ke akademi berkelas dunia seperti VCF Academy adalah satu perkara yang lain.

Kompleks akademi berkeluasan 180,000 meter persegi dan terletak 10km dari Stadium Mestalla ini tersenarai sebagai akademi ke-5 paling produktif di dunia.

Sebanyak 24 graduannya sedang bermain dalam lima liga terbesar di dunia (Premier League, La Liga, Serie A, Ligue 1 dan Bundesliga). Metodologi dan slogan ‘Educamos personas, formamos futbolistas’ (mendidik insan, melatih pemain) telah melahirkan pemain-pemain berkualiti seperti David Silva, Jordi Alba, Isco, Ruben Baraja, Paco Alcacer, Raul Albiol dan Nolito.

Generasi terbaru graduan mereka juga berkualiti. Antaranya adalah Carlos Soler, Lee Kang-in, Yunus Musah dan Ferran Torres.

4. Minat peminat Malaysia terhadap La Liga akan meningkat

Embed from Getty Images

Antara orang yang bakal menjadi individu paling gembira jika benar TMJ akan mengambilalih Valencia adalah Eksekutif Delegasi La Liga di Malaysia, Giorgio Rossi.

Sejak berhijrah dari Madrid ke Kuala Lumpur pada tahun 2017, Rossi aktif mempromosikan jenama dan produk La Liga di Malaysia. Tugas mempromosi La Liga dalam budaya negara kita yang sudah fanatik terhadap bola sepak Inggeris sejak era 1070-an adalah tugas sukar.

Tetapi tugas ini mungkin akan menjadi lebih mudah jika TMJ mengambilalih Valencia. Masih ingat fenomena yang dicipta Luqman Hakim dan Safawi Rasid ketika berkelana ke luar negara?

Secara tak langsung minat peminat bola sepak Malaysia terhadap La Liga dijangka akan meningkat. Kita akan lebih mengenali La Liga lebih dari sekadar Real Madrid dan Barcelona. Derbi de la Comunitat akan menjadi tumpuan kita selain El Clasico.

Apatah lagi jika ada pemain negara kita bermain untuk Valencia pada satu hari nanti…

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN