Apa Cerita Disebalik Warna Hijau Yang Jadi Punca Selangor & Terengganu Berlumba Memilihnya?

Terengganu Selangor jersi away hijau

Selangor FC dan Terengganu FC telah memperkenalkan jersi ‘away’ dengan persamaan dalam pemilihan warna iaitu hijau menjadi pilihan mereka.

Kenapa agaknya kedua-dua pasukan itu seakan-akan seirama memilih warna hijau? Untuk Selangor, ini musim kedua ia menjadi warna utama jersi ‘away’ mereka, sementara Terengganu, ini kali pertama warna hijau dipilih.

Ada jenaka yang timbul disebalik pemilihan warna hijau kuning sebagai jersi ‘away’ Terengganu. Ia dikatakan bagi mengubati rindu penyokong kepada bekas pengendali, Nafuzi Zain yang kini berada di Kedah Darul Aman FC.

Benarkah ia adalah ‘tibute’ khas? Bagaimana Terengganu boleh pilih hijau?

Kenapa warna dan corak jersi ‘home’ biasa-biasa

Untuk jersi ‘away’, tiada masalah untuk pasukan memilih warna yang tidak melambangkan pasukan. Hanya jersi ‘home’ mungkin sedikit sukar untuk bermain warna atas sebab warna rasmi pasukan perlu diutamakan.

Pernahkah kita melihat jersi utama Arsenal ‘fancy’ dan warna selain merah putih atau jersi utama Manchester United selain warna merah terang?

Jersi ‘home’ melambangkan identiti pasukan, jadi jika Terengganu, hitam putih adalah identiti mereka dan Selangor seharusnya merah kuning.

Paling menarik, Penang FC yang kembali kepada identiti mereka bersama pengeluar jersi tempatan musim ini, Kaki Jersi, iaitu warna biru laut.

Corak juga selalu minimal atau tidak terlalu ‘fancy’ – baca identiti pasukan.

Seperti mana Johor Darul Ta’zim (JDT), kita akan melihat warna bendera Johor diutamakan untuk jersi utama. Ia akan sedikit janggal jika mereka memperkenalkan warna lain sebagai warna utama. JDT dijangka akan melancarkan jersi baharu bagi musim 2023 bermula 8.00 malam nanti.

Untuk Kedah, bukan warna bendera menjadi identiti mereka, tetapi ia kembali kepada sejarah yang tercatat pada 1987 di mana ia adalah kali pertama mereka memakai seragam hijau kuning saat berdepan Pahang dalam separuh akhir Piala Malaysia. Ia merupakan jersi khas dari Puma.

Jadi, akan nampak kekok jika identiti itu cuba diubah sebagaimana cubaan bekas Presiden Kedah FA, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir mengubah identiti pasukan kepada Helang Merah satu masa dahulu. Mujur mereka telah insaf.

Untuk musim 2023, Kedah juga bakal melancarkan jersi baharu, malam ini.

Jersi ‘away’ dan alternatif sebagai pilihan lain

Jadi, pada jersi ‘away’ mereka akan lebih menonjolkan permainan corak dan warna. Malah, ada juga pasukan yang turut mengeluarkan jersi altenatif.

Pasukan akan lebih mempamerkan sisi kreatif mereka untuknya. Warna juga selalunya kontras dengan warna jersi ‘home’. Malah, ia mestilah memiliki elemen warna lain bagi membezakan antara kedua-dua jersi.

Ini bagi memudahkan saat perlawanan akan dilangsungkan nanti jika warna utama kedua-dua pasukan sama. Saat inilah jersi ‘away’ atau alternatif akan memainkan peranannya iaitu bagi membezakan kedua-dua pasukan.

Tiada pun undang-undang dalam bola sepak yang mengatakan, jersi ‘away’ wajib dikenakan ketika bertandang ke gelanggang lawan. Pasukan boleh memakai jersi ‘home’ di laman lawan jika ia memiliki warna berbeza.

Kita boleh merujuk kepada perlawanan Champions League 2013 antara Napoli dan Arsenal yang menyaksikan Napoli mengenakan jersi alternatif, bukan ‘home’ waima bermain di laman sendiri kerana dikatakan ia warna bertuah mereka. Arsenal sebaliknya memakai jersi ‘home’ ketika itu.

Malah, untuk panggilan jersi ‘home’ dan ‘away’ pun sebenarnya adakalanya ia disebut sebagai ‘first’ dan ‘second’ jersi iaitu jersi pertama dan kedua.

Ia tidaklah melambangkan yang ‘home’ wajib dipakai di laman sendiri dan sebaliknya untuk ‘away’. Tiada undang-undang sebegitu dalam bola sepak.

Kenapa warna hijau pilihan Terengganu dan Selangor?

Untuk Terengganu, menurut pengeluar jersi, Al-Ikhsan, warna hijau menjadi pilihan untuk jersi ‘away’ disebabkan ia adalah warna tumbuhan, salah satu bahan dalam pembentukkan petroleum yang merupakan salah satu sumber ekonomi buat negeri. Terdapat juga simbol pelantar minyak di jersi.

Malah, minyak asli ini sinonim dengan Petronas – juga berwarna hijau.

Selangor pula telah menjelaskan yang warna hijau adalah merupakan warna rasmi DYTM Raja Muda Selangor yang merupakan presiden pasukan.

Selain itu, jika kita meneliti tren warna yang akan menyerlah pada tahun 2023, dikatakan warna hijau juga salah satu warna yang akan ‘trending’.

Dalam amalan Feng Shui pula, mereka mengatakan bahawa tahun ini yang merupakan tahun arnab, warna bertuah selain merah adalah biru dan hijau.

Oleh itu, bagi memasuki dan diterima baik oleh pasaran, pertimbangan itu mungkin diambil kira. Tahun ini mungkin tahun ‘trending’ untuk warna hijau.

Mungkin atas faktor-faktor itu, jersi kedua atau ‘away’ jadi medan pasukan berkreativiti menggunakan warna hijau. Bagaimana pendapat pembaca?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN