Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil dengan kenyataan positif buat perkembangan bola sepak kebangsaan, apabila kerajaan bakal memberi peruntukan bernilai jutaan ringgit khas kepada Harimau Malaya
Menerusi laporan dikeluarkan oleh Sinar Harian, RM10 juta merupakan peruntukan khas buat Harimau Malaya, sementara RM5 juta pula bakal diberikan kepada syarikat swasta atas komitmen mereka pada bola sepak.
“Kerajaan mengumumkan peruntukan RM10 juta khusus untuk memperkukuh pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya.
“Berucap di Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan (MoF), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM5 juta turut diberikan oleh syarikat swasta sebagai komitmen mereka terhadap sukan tersebut,” jelas kenyataan tersebut.
Jelas Anwar, peruntukan tersebut merangkumi kepada pelbagai perkara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu gergasi di Asia kini.
“Hari ini mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutamanya orang muda minat bola sepak.
“RM15 juta ini khusus untuk kebajikan, latihan dan makan minum pasukan, jurulatih serta pengurusan supaya kita dapat mengangkat nama Harimau Malaya sebagai gergasi asia,” kata Anwar.
Pada masa sama, pihak beliau juga dikatakan sedia untuk mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaik sahaja Anwar pulang dari Rusia pada Jumaat ini mengenai hala tuju skuad kebangsaan.
“Kalau kita dapat jurulatih yang betul-betul menunjukkan komitmen mereka, tidak kisah dari luar pun, saya yakin kita akan dapat capai.
“Saya akan maklumkan hal ini kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yoeh supaya dapat selaras dan mungkin saya akan minta salah seorang pegawai kanan MoF untuk memantau pengurusan kewangan agar teratur,” jelas beliau akhir sekali.
Jelas suntikan dana tersebut dianggap sebagai perkara sangat positif kini buat perjalanan Harimau Malaya untuk kembali menjadi salah satu gergasi Asia digeruni seperti suatu ketika.
Malah, jumlah wang diterima bakal diterima oleh FAM mampu untuk mereka mendapatkan kepakaran jurulatih lebih baik selepas ia ditinggalkan oleh Kim Pan-gon sebelum itu.
Kami di Semuanya BOLA sentiasa berharap supaya pembangunan bola sepak serta kemajuan skuad utama kini terus dipertingkatkan supaya nama Malaysia terus mendapat perhatian ramai.