Quantcast

BERITA

Anugerah Pemain Terbaik Serie A Milik Cristiano Ronaldo

Seperti yang diketahui, Lionel Messi telah pun merangkul anugerah Ballon d’Or di Paris dan Cristiano Ronaldo yang tidak hadir dalam majlis anugerah itu berada di tempat ketiga di belakang Virgil Van Dijk.

Namun beberapa jam sebelum itu, Ronaldo telah pun dinamakan sebagai pemain terbaik Serie A musim lepas dalam majlis tahunan Gran Gala del Calcio yang berlangsung di Milan.

Ronaldo mengharungi setahun yang cemerlang bersama Juventus dengan menjaringkan 21 gol liga sepanjang musim 2019/19 untuk membantu skuad Bianconeri itu meraih kejuaraan Scudetto buat kali kelapan berturut-turut.

“Ini adalah saat yang sangat membanggakan untuk memenangi anugerah ini,” kata Ronaldo selepas diberikan anugerah berkenaan. Tahun lepas anugerah itu menjadi milik Mauro Icardi yang telah berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas lepas.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan di Juventus. Ia adalah musim pertama saya di Serie A, sebuah liga yang amat sukar dan sengit dan saya sangat gembira. Terima kasih juga kepada yang mengundi untuk saya.

“Sekarang saya akan usaha untuk mengulangi apa yang saya telah lakukan untuk anugerah tahun depan pula.”

Beberapa minggu kebelakangan ini, Ronaldo dibelenggu masalah kecederaan lutut yang mengganggu prestasinya. Malah apabila digantikan sewaktu perlawanan menentang Lokomotiv Moscow dan Milan pada bulan lepas, beliau memberikan reaksi marah kerana kecewa tidak dapat bermain penuh.

Timbul khabar angin mengatakan Ronaldo kini tidak berpuas hati dan sedang mencari jalan keluar dari kelab Old Lady itu. Bagaimanapun, Pengarah Sukan Juventus, Fabio Paratici menegaskan bahawa pemain antarabangsa Portugal itu akan kekal di Turin.

“Cakap-cakap ini membuatkan saya tersenyum kerana ada masalah lain yang lebih besar. Ronaldo adalah seorang pemain yang bercita-cita tinggi. Dia datang ke Juventus untuk membuktikan dia adalah yang terbaik di sini.”

“Kami merasakan dia layak untuk memenangi Ballon d’Or dan kekalahannya agak menghairankan dan menimbulkan persoalan,” ujar Paratici keapda Sky Sport Italia.

“Tanpa sebarang keraguan, dia tetap akan menjadi pemain Juventus untuk musim depan.

‘Kita perlu berterima kasih kepadanya yang sanggup bermain sekalipun keadaannya tidak begitu baik. Dia memang tidak dapat menjalani latihan seperti biasa buat masa sekarang. Ianya perkara normal apabila tidak berada pada prestasi terbaik.”

Anugerah Gran Gala del Calcio 2019 turut mengumumkan pemenang bagi beberapa anugerah lain. Berikut adalah senarai penuh pemenang:-

Pemain Terbaik: Cristiano Ronaldo (Juventus)

Jurulatih Terbaik: Gian Piero Gasperini (Atalanta)

Pengadil Terbaik: Gianluca Rocchi

Gol Terbaik: Fabio Quagliarella (Sampdoria vs Napoli)

Pasukan Terbaik: Atalanta

Kesebelasan Terbaik: Samir Handanovic (Inter); Aleksandar Kolarov (Roma), Giorgio Chiellini (Juventus), Kalidou Koulibaly (Napoli), Joao Cancelo (Juventus*); Miralem Pjanic (Juventus), Josip Ilicic (Atalanta), Nicolo Barella (Cagliari*); Fabio Quagliarella (Sampdoria), Cristiano Ronaldo (Juventus), Duvan Zapata (Atalanta)

Pemain Muda Terbaik Serie B: Sandro Tonali (Brescia)

Gol Terbaik Wanita: Thaisa (Milan vs Juventus)

Pemain Wanita Terbaik: Manuela Giugliano (Milan)

Kesebelasan Terbaik Wanita: Laura Giuliani (Milan); Alia Guagni (Fiorentina), Sara Gama (Juventus), Cecilia Salvai (Juventus), Elisa Bartoli (Roma); Aurora Galli (Juventus), Manuela Giugliano (Roma), Valentina Cernoia (Juventus); Valentina Giacinti (Milan), Ilaria Mauro (Fiorentina), Barbara Bonansea (Juventus)