Berbanding edisi-edisi lepas, Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK17) kali ini jauh lebih diberikan perhatian oleh peminat bola sepak tempatan.
Isu paling hangat yang diperbincangkan adalah ketiadaan pemain-pemain JDT – pasukan terbaik di Malaysia yang menjuarai Liga Super 2017 dan Piala Malaysia 2017 – dalam semua kategori utama ABK17.
Apakah kriteria pemilihan calon-calon ABK17? Apakah mekanisme pengundian ABK17? Mengapa tiada pemain JDT tersenarai? Teruskan membaca.
Kriteria pemilihan calon-calon ABK17
Pada 10 Oktober 2017, FMLLP melakukan satu mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa Saringan Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017) di pejabat Football Malaysia LLP.
Mesyuarat ini diadakan bertujuan untuk membuat senarai pendek pemilihan 10 orang calon pemain bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Ahli Jawatankuasa Saringan terdiri daripada wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM), Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Media Prima, wakil media online; Semuanya BOLA, dan seorang wakil dari penyokong.
Dalam mesyuarat ini, FMLLP menyenaraikan senarai pemain-pemain yang menepati syarat minimum senarai awal pencalonan untuk 7 kategori iaitu:
1. Penjaga Gol Terbaik
2. Pemain Pertahanan Terbaik
3. Pemain Tengah Terbaik
4. Penyerang Terbaik
5. Jurulatih Terbaik
6. Pemain Import Terbaik
7. Pemain Muda Harapan
Menurut syarat yang ditetapkan oleh FMLLP, pemain-pemain yang tersenarai pendek untuk 7 kategori di atas (kecuali Pemain Muda Harapan) mesti mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus penampilan dari keseluruhan jumlah perlawanan domestik (Liga Super, 100PLUS Liga Premier, Piala FA dan TM Piala Malaysia) untuk pasukan yang diwakilinya pada tahun ini.
Manakala untuk anugerah Pemain Muda Harapan, calon-calon mesti:
1. Mempunyai 30 peratus penampilan dari keseluruhan jumlah perlawanan domestik (Liga Super, 100PLUS Liga Premier, Piala FA dan TM Piala Malaysia) untuk pasukan yang diwakilinya pada tahun ini.
2. Berumur 21 tahun dan ke bawah (lahir pada tahun 1996 atau selepas) pada tahun 2017.
Bagi pemain-pemain (tempatan dan import) yang berpindah pasukan semasa tempoh pendaftaran kedua, penampilan hanya akan dikira semasa pemain bermain dengan pasukan baru sahaja.
Data dan statistik setiap calon hanya diambil kira sehingga perlawanan ke-21 Liga Super dan suku akhir TM Piala Malaysia bagi musim 2017. Ini adalah untuk memberi ruang dan masa cukup bagi proses pencalonan pemain, undian, pengiraan keputusan dan penghantaran surat jemputan kepada pemain yang disenarai pendek.
Apakah mekanisme pengundian ABK17?
Sebelum pengundian dibuat oleh ketua jurulatih, ketua pasukan dan media, kami perlu menerangkan dahulu bagaimana senarai calon disenarai pendek.
FMLLP senarai pemain yang layak kriteria minimum pemilihan -> Ahli Jawatankuasa Saringan pilih 10 calon terbaik -> 3 calon terbaik yang disaring akan diundi oleh ketua jurulatih, ketua pasukan dan media
Senarai anugerah yang diadili melalui proses undian adalah:
1. Penjaga Gol Terbaik
2. Pemain Pertahanan Terbaik
3. Pemain Tengah Terbaik
4. Penyerang Terbaik
5. Jurulatih Terbaik
6. Pemain Import Terbaik
7. Pemain Muda Harapan
8. Pemain Paling Bernilai
Kelayakan mengundi 8 kategori di atas hanya diberi kepada:
1. Ketua jurulatih pasukan Liga Super dan 100PLUS Liga Premier musim 2017
2. Ketua pasukan Liga Super dan 100PLUS Liga Premier musim 2017
3. Wakil media
Ketua jurulatih dan ketua pasukan tidak dibenarkan mengundi pemain daripada pasukan yang diwakili oleh mereka. Sebagai contoh, ketua jurulatih Perak FA tidak boleh mengundi pemain Perak FA.
Setiap pemain yang terpilih akan diberi markah kumulatif (pilihan pertama 5 markah, pilihan kedua 3 markah dan pilihan ketiga 1 markah) untuk menentukan anugerah utama – Pemain Paling Bernilai. Jika terdapat kiraan markah seri, tie-breaker akan diputuskan oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan semasa.
Sebagai ahli Jawatankuasa Saringan ABK17, siapa yang Semuanya BOLA pilih?
Seperti mengikut tradisi pengundian Ballon d’Or yang telus, kami merasakan perlunya kami mendedahkan siapa calon yang kami pilih daripada senarai pemain-pemain yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17 yang dikeluarkan oleh FMLLP.
Penjaga Gol Terbaik
Daripada senarai 23 penjaga gol tempatan yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17, kami memilih Suffian Abdul Rahman (Terengganu) sebagai penjaga gol terbaik Malaysia bagi musim 2017. Izham Tarmizi (JDT) menjadi pilihan kedua kami. Manakala Ifwat Akmal (Kedah) di tempat ketiga.
Meskipun Izham Tarmizi mempunyai rekod bolos paling rendah (bolos 0.75 gol setiap perlawanan), rekod beliau mungkin dibantu oleh 4 pertahanan beliau yang cemerlang.
Suffian pula (bolos 1.07 gol setiap perlawanan) lain ceritanya. Dengan Terengganu yang gemar menyerang pada musim ini, ditambah pula dengan barisan pertahanan yang goyah, Suffian seringkali menyelamatkan Terengganu dengan aksi-aksi menyelamat yang memukau.
Sebagai contoh ketika menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Selayang, Suffian melakukan sekurang-kurangnya 5 tindakan refleks cemerlang untuk menafikan Guilherme de Paula dan Paulo Josue.
Pemain Pertahanan Terbaik
Daripada senarai 90 pemain pertahanan tempatan yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17, kami memilih Fadhli Shas (JDT) sebagai pertahanan terbaik Malaysia bagi musim 2017. Rizal Ghazali (Kedah) masih merupakan bek kanan terbaik negara pada pengamatan kami selain G. Puaneswaran (Melaka United) di tempat ketiga.
Kebangkitan Fadhli Shas yang dibelenggu kecederaan pada awal musim sehingga menjadi nama wajib pertahanan terbaik Liga Super 2017 wajar diberikan pujian. Kami memilih Fadhli berbanding Kunanlan kerana beliau juga bertanggungjawab menyumbang 5 gol untuk JDT. Tambahan pula bukan mudah untuk menyingkirkan Aidil Zafuan ke bangku simpanan.
G. Puaneswaran juga menarik perhatian kami pada musim ini melalui bantuan-bantuan gol yang dilakukan oleh beliau di sebelah kanan sepanjang musim – terutamanya pada bulan September 2017.
Pemain Tengah Terbaik
Daripada senarai 118 pemain tengah tempatan yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17, kami tetap berpendapat Safiq Rahim (JDT) adalah pemain tengah terbaik di negara. Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon (Kedah) melengkapkan senarai 3 pemain tengah terbaik kami bagi musim 2017.
Pemilihan Safiq dan Baddrol mungkin tidak mengejutkan jika kita melihat sumbangan gol (11 bagi Safiq dan 12 bagi Baddrol) dan bantuan gol yang mereka lakukan sepanjang musim 2017.
Syazwan Zainon mengatasi Ahmad Syamim (Pahang) di nombor ketiga kerana sumbangan beliau di sayap kiri Kedah. Mana-mana peminat bola sepak tempatan pasti akan menyebut nama Syazwan jika bercakap tentang ‘pemain sayap kiri tempatan terbaik negara’ bagi musim 2017.
Penyerang Terbaik
Daripada senarai 31 penyerang tempatan yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17, kami merasakan Shahrel Fikri (PKNP) dan Abdul Malik Mat Ariff (Kuantan) adalah calon paling jelas.
Tugas penyerang adalah menjaringkan gol. Dan dua penyerang ini melakukan tugas mereka dengan cukup cemerlang sekali pada musim 2017.
Untuk tempat ketiga, kami menghadapi dilema antara Fauzi Roslan (Melaka United) dan Ahmad Hazwan (JDT). Kami akhirnya memilih Fauzi Roslan hasil sumbangannya di sayap kiri Melaka United, terutamanya pada separuh kedua Liga Super 2017 hingga membolehkannya menjaringkan 7 gol – ketiga terbanyak selepas Shahrel dan Hazwan.
Jurulatih Terbaik
Daripada senarai 24 ketua jurulatih yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17, kami memilih Abu Bakar Fadzim (PKNP) sebagai jurulatih terbaik musim 2017.
Daripada segi peratusan kemenangan, Ulisses Morais (68.75% untuk JDT) atau Fabio da Silva (68.42% untuk Kuala Lumpur) mungkin lebih layak. Peratusan kemenangan Abu Bakar Fadzim juga tidak kurang hebatnya iaitu 57.58% – ke-6 tertinggi daripada kalangan 24 ketua jurulatih lain.
Tetapi sumbangan beliau untuk menaikkan profil PKNP FC yang dibarisi pemain-pemain muda sehingga menduduki tangga ke-3 100PLUS Liga Premier dan layak ke Piala Malaysia perlu diberi penghargaan.
Manakala sumbangan B. Sathianathan (rekod kemenangan 54.17%) yang mengubah nasib Felda United dari pasukan pertengahan liga ke tangga ke-3 Liga Super sememangnya mengagumkan kami. Nidzam Adzha tidak kurang hebatnya dengan rekod kemenangan sebanyak 66.67% – ke-3 tertinggi daripada kalangan 24 ketua jurulatih lain.
Pemain Import Terbaik
Daripada senarai 95 pemain import yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17, agak sukar untuk kami memilih antara Matheus Alves (Pahang) dan Gonzalo Cabrera (JDT) sebagai pemain import terbaik musim 2017.
Kami akhirnya memilih Alvesberdasarkan jumlah gol (25) dan bantuan gol yang dilakukan penyerang Brazil ini berbanding Cabrera (15 gol).
Liridon Krasniqi mungkin tidak banyak menjaringkan gol. Tetapi kehadiran beliau amat penting bagi Kedah untuk bermain falsafah bola sepak yang mereka inginkan DAN pada masa yang sama, memperolehi kemenangan. Kehadiran Liridon juga membolehkan pemain sayap Kedah seperti Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon menyerlah.
Perhatikan juga penyenaraian nama pemain tengah UiTM FC, Dechi N’guessan yang kami rasakan jauh lebih baik berbanding Akanni Sunday. Persembahan Lee Tuck (Negeri Sembilan) pada musim ini juga kami rasakan jauh lebih konsisten berbanding Bruno Suzuki.
Pemain Muda Harapan
Daripada senarai 30 pemain bawah-21 yang melepasi kriteria minimum pemilihan ABK17, kami merasakan Fadhil Idris (PKNP) adalah pemain yang sewajarnya memenangi Anugerah Pemain Muda Harapan.
Tiada pemain bawah-21 lain yang bermain lebih banyak perlawanan berbanding Fadhil. Pemain tengah defensif ini juga konsisten sehingga menjadi pemain wajib Abu Bakar Fadzim untuk kesebelasan utama PKNP FC pada musim ini.
Kemunculan Syahmi Safari dan penjenamaan semula Adam Nor Azlin sebagai pemain pertahanan di Selangor sehingga diberi tugas pemain kesebelasan utama juga cukup untuk meyakinkan kami untuk mencalonkan mereka sebagai Pemain Muda Harapan musim ini.
Rumusan
Berdasarkan pengalaman kami terlibat dalam ABK17 kali ini, kami berpendapat sudah sampai masanya bagi liga kita untuk menggunapakai khidmat agensi statistik perlawanan yang lebih terperinci untuk menilai calon-calon dengan lebih objektif.
Di Semuanya BOLA, kami banyak banyak bergantung kepada laporan perlawanan yang kami tulis beserta pengamatan penulis-penulis yang dibahagikan kepada dua kumpulan – Liga Super dan 100PLUS Liga Premier – sebelum membuat pencalonan.
Tugas ahli Jawatankuasa Saringan ABK boleh diperbaiki lagi dengan kehadiran statistik yan terperinci. Seperti contoh untuk kategori Penjaga Gol Terbaik, ketiadaan data jumlah aksi menyelamat membuatkan tugas mencalon bergantung kepada data jumlah clean sheets dan purata bolos setiap perlawanan sahaja.
Bagi Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik, kehadiran data peratusan bentesan berjaya, jumlah pintasan hantaran dan peratusan duel dimenangi perlu dibekalkan bagi memastikan calon yang mungkin tidak popular – tetapi layak – mempunyai peluang untuk menang.
Bagi Anugerah Pemain Tengah dan Penyerang Terbaik, data jumlah bantuan gol juga penting. Ini kerana tidak semua perlawanan direkodkan untuk kami mengira secara manual; berapakah jumlah bantuan gol yang direkodkan oleh pemain.
Benar kata penyokong – ABK17 yang dianjurkan dengan jaya dan gilang-gemilang semalam boleh diperbaiki dengan adanya data statistik untuk liga kita.