Anuar Abu Bakar: Legenda Liga Malaysia Dari Johor Yang Turut Mencipta Nama Bersama Selangor

“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Mungkin itulah bidalan paling tepat untuk menggambarkan nama Anuar Abu Bakar yang pernah mewarnai wajah Liga Malaysia satu ketika dahulu. Tanyakan kepada mereka yang mengikuti perkembangan saingan bola sepak domestik sejak 1990 an. Kelibat anak jati Johor ini pasti masih segar diingati antara penyerang prolifik yang pernah dilahirkan negara.

Anak jati Johor

Berasal dari Muar, Johor, Anuar Abu Bakar dilahirkan pada 28 April 1971. Karier bola sepak Anuar bermula bersama Johor FA pada 1991. Saingan bola sepak domestik negara pada ketika itu masih dikenali sebagai Liga Semi Pro. Dan Johor pada ketika itu memiliki penyerang import hebat seperti Ervin Boban, Abbas Saad dan juga Alistair Edwards. Anuar menyerlah dengan cara beliau tersendiri untuk memikat hati penyokong.

Dikenali sebagai supersub – antara yang terbaik pernah dihasilkan di Liga Malaysia – Anuar adalah pemain yang sering dimasukkan oleh jurulatih, Michael Urukalo untuk mengubah perlawanan dengan jaringan-jaringan minit akhir.

Karier Anuar bermula bersama Johor, Kredit Gambar: Retro Bola Sepak.

Karier beliau bersama Johor paling diingati pada musim 1991. Bukan sahaja Johor menafikan Selangor di perlawanan akhir Piala Malaysia untuk muncul juara pada musim tersebut, pasukan dari selatan tanah air itu turut boleh dianggap sebagai juara mutlak bola sepak Malaysia pada 1991 setelah turut berjaya menghentikan dominasi Selangor selaku juara Liga Divisyen 1.

Selangor adalah juara Liga Divisyen 1 sebanyak dua kali berturut-turut sebelum itu sejak saingan liga mulai diperkenalkan pada 1989.

Kredit: Pemilik gambar

Perpindahan kontroversi

Pada usia 22 tahun, Anuar Abu Bakar dianggap sebagai penyerang muda yang mempunyai potensi tinggi untuk berjaya. Maka tidak hairanlah, khidmat beliau turut diintai oleh pasukan lain – termasuklah Selangor.

Pada 1993, biar pun tidak mempunyai kontrak, keputusan pemain ini meninggalkan pasukan negeri kelahirannya untuk berhijrah ke Selangor mencipta kontroversi apabila ianya dihalang oleh pihak pengurusan Johor FA.

Kredit Foto: Retro Bola Sepak

Pertikaian yang tercetus di antara Johor FA dan Selangor FA memaksa kes tersebut diheret ke Jawatankuasa Status FAM – sebelum badan induk bola sepak negara itu memutuskan Anuar tidak bersalah sebelum dibenarkan untuk beraksi dengan Selangor pada musim tersebut.

Anuar jadi Red Giant

Pada 1993 Selangor beraksi di Liga Divisyen 2 selepas tersingkir pada musim sebelumnya. Di bawah kepimpinan Dato’ Hj. Mohd Aini Taib, Selangor menghadirkan diri ke dalam saingan dengan misi untuk bangkit semula sebagai salah sebuah pasukan gergasi bola sepak Malaysia.

Digandingkan dengan Azman Adnan yang dibawa masuk dari Kuala Lumpur pada musim yang sama, Selangor muncul juara Divisyen 2 untuk kembali bersaing di pentas saingan tertinggi negara. Gandingan ‘AA’ atau Azman-Anuar dianggap sebagai pasangan serangan digeruni pada ketika itu.

Kembali ke saingan Divisyen 1 pada 1994, Selangor turut berjaya memancing Alistair Edwards dari Johor, sekaligus membentuk gandingan ‘AAA’ atau Alistair-Azman-Anuar sebagai rangkaian serangan skuad Red Giants.


Azman Adnan. Mehmet Durakovic. David Mitchell. Talib Sulaiman. Malek Rahman. Alistair Edwards. Yap Kam Choon. Azlisham Ibrahim. Anuar Abu Bakar. Kredit Foto: Chedinsphere.blogspot

Antara kejuaraan utama yang diraih oleh Anuar bersama Selangor ialah kejuaraan Piala Malaysia pada 1995 dan 1996, sebelum membantu gergasi Lembah Klang tersebut meraih kejuaraan Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia pada 1997.

Tiga kejuaraan Piala Malaysia tersebut menjadikan nama Anuar Abu Bakar setaraf legenda bola sepak Selangor yang lain seperti Azman Adnan, K. Sanbagamaran, dan lain-lain. Antara perkara yang paling diingati sepanjang karier bersama Selangor sudah pasti apabila muncul penjaring pertama pasukan Red Giants di Stadium Shah Alam  – dalam perlawanan menentang Dundee United – di Kejohanan Jemputan Mitsubishi yang diadakan sempena pembukaan stadium tersebut.

Kredit Gambar: chedinsphere.blogspot

Hijrah lagi

Pada musim 1997, Anuar bukan lagi pilihan utama pasukan Selangor yang pada ketika itu berada di bawah kendalian jurulatih dari England, Steve Wicks. Seorang lagi pemain, Rusdi Suparman turut menyerlah sebagai ‘supersub’ pada musim tersebut.

Selepas membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia 1997, Anuar mengambil keputusan untuk kembali ke Johor pada musim berikutnya – walaupun masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Selangor.

Beliau kemudiannya beraksi bersama Johor selama dua musim setelah diberikan pelepasan oleh majikan terdahulu, sebelum turut pernah menabur bakti bersama Kelantan dan Pulau Pinang pada 2002.

MPPJ FC, Juara Piala Malaysia 2002. Kredit Gambar: Chedinsphere.blogspot

Walaupun karier beliau seakan-akan sudah berada di penghujung, ia bukan penamat buat Anuar. Menyertai MPPJ FC pada 2003, beliau sekali lagi berjaya membantu pasukan yang diwakilinya untuk menjuarai Piala Malaysia pada musim tersebut – menjadikan MPPJ FC sebagai kelab pertama yang menjuarai pertandingan berprestij itu.

Ini juga bermakna Anuar memiliki lima kejuaraan Piala Malaysia sepanjang karier beliau bergelar pemain. Tiga tahun beraksi bersama kelab yang berpengkalan di Petaling Jaya itu, Anuar akhirnya memutuskan untuk bersara sebagai pemain pada 2006.

Tetap cintakan bola sepak

Walaupun tidak lagi bergelar pemain, Anuar tidak pernah meninggalkan bola sepak. Sejurus selepas bersara, beliau kembali menyertai Selangor selaku Penolong Jurulatih ketika pasukan itu dikemudi oleh Dollah Salleh.

Beliau turut mengambil peranan yang sama ketika Selangor berada di bawah kendalian Mehmet Durokovic pada 2015 – menyaksikan kejuaraan Piala Malaysia menjadi milik Selangor pada musim tersebut.

Selain daripada itu, Anuar turut pernah bergelar Penolong Jurulatih kepada PKNS FC diantara tahun 2009 sehingga 2014 dan juga jurulatih T-Team pada 2014. Selain itu, Anuar turut giat di dalam program pembangunan akar umbi bersama MBSA.

Ujian buat Anuar

Pada bulan lalu kita dikejutkan dengan perkhabaran Anuar menghidap penyakit kanser hati tahap 4. Beliau sebelum ini dilaporkan telah menerima rawatan di salah sebuah hospital pakar di Shah Alam.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah melancarkan sebuah tabung kutipan, iaitu #TabungLegendaAAB.

Menurut kemaskini terkini dari FAS, sejumlah RM33,642 telah dikutip setakat ini.

Penutup

Baru sebentar tadi kami mendapat perkhabaran Anuar Abu Bakar telah pergi selamanya meninggalkan kita. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Salam takziah buat keluarga Anuar Abu Bakar, dan semoga tabah menhadapi dugaan ini.

Semoga Allah mengampuni dan mencucurkan rahmat buat beliau…

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN