Pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger dilihat semakin hampir untuk tidak bersama-sama kelab itu pada musim hadapan.
Beliau yang menjadi tunjang kepada kekuatan skuad Thomas Tuchel jelas sekali dimahukan oleh Chelsea untuk kekal di kelab itu untuk tempoh lebih panjang.
Namun begitu, ianya tidak begitu mudah buat Chelsea untuk kekalkan pemain tersebut.
Sebelum ini, Chelsea ada melakukan percubaan untuk menyambung kontrak Rudiger namun sehingga kini usaha tersebut tidak berjaya.
Rudiger dikhabarkan meminta €10 juta untuk kontrak baharu, namun apa yang Chelsea boleh tawarkan kepada beliau adalah cuma €6.5 juta sahaja.
Menanti sebarang kemungkinan
Apa yang berlaku kepada Rudiger dan Chelsea ini bukanlah satu perkara yang tidak diperhatikan oleh kelab-kelab lain.
Situasi yang tidak menentu antara dua pihak telah membuatkan gergasi bola sepak Eropah kini bersedia untuk mengambil kesempatan dengan menyambar Rudiger.
Bayern Munich dan gergasi La Liga, Real Madrid dikatakan bersedia untuk mendapatkan Rudiger jika pemain itu tidak mahu kekal dengan Chelsea.
Bayern dilihat sebagai destinasi pilihan bagi pemain-pemain utama Jerman dan jika mereka benar menawarkan kontrak, Rudiger pastinya tertarik dengan apa yang diberikan.
Sementara bagi Real, mereka mahukan kestabilan di bahagian pertahanan dengan membawa pemain senior di posisi itu.
Walaupun visi mereka mahu membina skuad yang ditunjangi pemain muda, tetapi kehadiran pemain senior seperti Rudiger amat penting untuk bertindak sebagai jeneral di padang.
Jika situasi antara Rudiger dan Chelsea tidak dapat diselesaikan sebelum 1 Januari 2022, dua kelab ini pastinya sudah mula mendekati pemain itu untuk disambar di akhir musim.
Kontrak Rudiger bersama Chelsea akan tamat pada akhir musim ini.