Seperti yang kita ketahui, Antonio German adalah antara pemain import yang ditukarkan oleh pasukan pada hari terakhir jendela perpindahan Rabu lalu.
Pemain import kelahiran United Kingdom itu hanya bertahan selama tiga perlawanan sejak diumumkan oleh FA Selangor sebagai pemain asing pasukan itu Januari lalu.
Penyerang berusia 27 tahun itu kemudiannya digantikan dengan Sandro da Silva- bekas penyerang Kedah pada musim lalu-tindakan yang dianggap drastik daripada pengurusan Selangor.
Tidak puas hati
Melalui akaun Instagram miliknya, Antonio meluahkan perasaan tidak senang beliau berkenaan pengguguran daripada skuad Selangor.
“Selepas 3 bulan di Malaysia, ringkasnya saya diberitahu dipaksa keluar ‘untuk keselamatan diri saya’. 10 perlawanan di pra musim, 7 gol dan 3 bantuan gol dihasilkan. 3 perlawanan sahaja pada musim ini, dan saya satu-satunya pemain yang menjaringkan gol dari permainan terbuka.
“Selepas perlawanan pertama, penyokong mulai mensasarkan saya. Saya menjadi satu-satunya pemain yang dicemuh di atas padang. Saya turut menerima banyak dm [mesej] dari penyokong yang mengarahkan saya kembali ke negara asal.
“Sebagai satu-satunya pemain berkulit hitam di dalam pasukan, saya masuh menerima cemuhan dan mesej berbaur kebencian walaupun masih bermain dengan baik.
“Ada juga penyokong yang terus memberikan kata-kata sokongan dan mahu saya tidak mengendahkan segala cemuhan. Terima kasih kepada mereka. Tetapi kita ini manusia, dan ianya amat menyedihkan perkara sebegini masih berlaku pada 2019.
“Saya telah dipaksa meninggalkan pasukan dengan alasan ini, dan ia amat menyedihkan. Terima kasih kepada anda yang sentiasa positif!” Ujar German dalam kenyataan di laman Instagram beliau.
Terima kasih Antonio
Amat menyedihkan apabila seseorang pemain asing mempunyai pengalaman buruk sebagaimana yang dialami oleh Antonio German. Sepanjang bersama Selangor, pemain itu telah menjaringkan satu gol untuk pasukannya, dalam perlawanan menentang Felda United.