Jurulatih Chelsea, Antonio Conte sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan penampilan semula Eden Hazard sebagai kesebelasan utama Chelsea menentang Leicester City pada Sabtu ini sehingga perlawanan Liga Juara-Juara minggu depan.
Walaupun masih belum membuat sebarang penampilan bersama skuad utama The Blues, Hazard sudah turun membarisi kesebelasan utama Belgium ketika perlawanan menentang Gibraltar yang menyaksikan beliau bermain perlawanan penuh dan turut menjaringkan satu gol.
Kini, pemain tersebut yang sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan retak tulang buku lali kanan itu sedang menjalani latihan bersama Chelsea bagi persiapan menghadapi Leicester City di King Power Stadium.
Antonio Conte tidak mahu tergesa-gesa untuk menyenaraikan Hazard di kesebelasan utama pasukan dalam masa terdekat ini dan berfikir untuk meletakkan pemain berusia 26 tahun itu di bangku simpanan terlebih dahulu ketika bertemu Leicester bagi dimasukkan pada babak kedua perlawanan.
Chelsea akan menentang kelab dari Azerbaijan, Qarabag pada perlawanan sulung Liga Juara-Juara Eropah di Stamford Bridge, mungkin pada perlawanan ini Hazard akan diletakkan sebagai kesebelasan utama Conte.
The Blues bakal menghadapi bulan yang padat pada September ini apabila akan beraksi sebanyak 7 perlawanan dalam masa 21 hari tetapi pengurus dari Itali itu mahu Hazard bersedia pada perlawanan sukar bertemu Arsenal dan Manchester City pada 17 dan 30 September itu.
Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di laman sendiri buat Chelsea.
Bercakap mengenai sasarannya musim ini, Hazard berkata: ”Sekarang saya berada di dalam keadaan yang baik. Saya boleh terus meningkatkan segalanya, kerana pemain terbaik di dunia juga perlu meningkatkan prestasi kerana bola sepak memerlukan peningkatan setiap masa.”
”Saya boleh menjaringkan lebih gol, membuat banyak bantuan gol, menggelecek dengan lebih lagi dan lebih memahami bola sepak. Saya mahu meningkatkan semua aspek tersebut.”
”Dalam Liga Perdana Inggeris hampir lima atau enam pasukan mampu untuk memenangi liga. Setiap minggu anda perlu bersedia untuk bersaing kerana setiap minggu anda boleh tewas.”
”Sekiranya anda bersedia, anda akan memenangi perlawanan,jika tidak anda akan tewas. Mari kita lihat pada akhir nanti pasukan mana menjadi yang terbaik,” tegas Hazard.
Sumber :
Evening Standard (2017) – https://www.standard.co.uk/sport/football/antonio-conte-eden-hazard-chelsea-starting-xi-return-arsenal-man-city-title-clashes-a3628201.html