Pengurus dari Itali, Antonio Conte mendakwa terdapat konspirasi di dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menjatuhkan juara bertahan itu pada musim ini.
Konspirasi yang dimaksudkan oleh Conte berkaitan dengan penjadualan perlawanan membabitkan kelab kendaliannya.
Sebelum ini Conte pernah mempersoalkan jadual EPL, terutamanya yang membabitkan tempoh rehat yang dimiliki oleh Chelsea dan lawan yang mereka bakal hadapi.
Pada Sabtu ini, Chelsea akan menjadi tuan rumah kepada Newcastle United yang telah beraksi sehari lebih awal dalam perlawanan pada pertengahan minggu yang lalu.
Conte dipetik sebagai berkata:
“Sukar sekali untuk berfikir ia adalah kebetulan. Ini adalah kali ke-4 jadual perlawanan diatur sebegitu pada musim ini. Jika terdapat sesiapa yang mungkin cuba membuat jenaka, maka saya bukan individu yang sesuai untuk berjenaka.”
Pengendali berusia 48 tahun ini juga pernah mempersoalkan mengapa pasukan kendaliannya harus berhadapan dengan Liverpool selepas perlawanan menentang Qarabag di Azerbaijan yang menuntut perjalanan yang panjang.
Begitu juga ketika Chelsea berhadapan dengan Manchester City dan Watford, dua perlawanan yang masing-masing harus dilalui oleh Chelsea selepas aksi di pertandingan eropah.
Juara bertahan Chelsea berada di kedudukan ketiga EPL setakat ini dan berada 11 mata di belakang pendahulu, Manchester City. Manchester United berada di kedudukan kedua, dengan kelebihan 3 mata mengatasi kelab London tersebut.
Conte turut berkata:
“Pengaturan jadual begini pernah berlaku sekali. Kemudian ia menjadi dua kali. Untuk kali ketiga, anda akan mulai bingung mengapa ianya diatur sedemikian rupa. Dalam 14 perlawanan, ia telah terjadi sebanyak 4 kali.”
“Mungkin pasukan lain juga menghadapi situasi yang sama. Tetapi dari permulaan musim, saya hanya melihat Chelsea yang berhadapan dengan keadaan sebegini.”
“Saya bukan meminta untuk diberi kelebihan. Jika kami harus menghadapi perlawanan selamg setiap dua hari, saya bersedia melakukannya.”
“Namun demikian pasukan ini perlu mempunyai jumlah rehat yang sama dengan lawan yang bakal dihadapi. Kemudian kita sama-sama lihat hasilnya.”
“Adakah ia sesuatu yang sukar untuk berbuat demikian? Saya tidak fikir ia begitu. Tetapi buat masa sekarang penjadual perlawanan membabitkan Chelsea adalah satu kebetulan yang pelik.”
Chelsea dikatakan pernah membawa perkara mengenai penjadualan sebegini kepada pihak Premier League. Namun seorang jurucakap badan penganjur bola sepak berkenaan berkata mereka tidak akan memberi sebarang respon untuk dakwaan terbaru oleh Conte ini.