Antonio Conte tidak terlalu memikirkan nasib yang bakal dihadapinya selepas tersingkir dalam saingan separuh akhir Piala Carabao, sebaliknya mahu terus tenang dan kekal fokus bagi membimbing Chelsea.
Semua mengetahui bahawa Chelsea merupakan salah satu pasukan yang kerap dan pantas untuk menukar pengurus apabila gagal memberikan kejayaan kepada kelab mereka.
Selepas ketinggalan 15 mata dibelakang Manchester City dan tersingkir dalam Piala Carabao, masa depan Conte di Stamford Bridge kelihatan tidak menentu dengan pengendali dari Itali itu juga tidak berpuas hati dengan polisi perpindahan yang diamalkan kelab.
Bagi Antonio Conte, beliau telah melakukan kerja yang hebat musim ini dan turut mengakui beliau mengalami kesukaran dalam menjalankan tugasannya.
”Saya boleh menceritakan kepada semua bahawa saya begitu bekerja keras untuk kelab ini, untuk para pemain saya dan untuk penyokong Chelsea,” ujar Conte kepada wartawan di Pusat Latihan Cobham. ”Saya boleh menceritakan mengenainya tetapi saya melihat serba sedikit mengenai sejarah kelab ini.”
”Pada masa lalu, ianya adalah sama seperti pengurus yang lain dan saya tidak melihat perbezaan diantara mereka dan saya serta pengurus yang lain menangani situasi ini.”
”Tugas saya adalah untuk terus bekerja keras bagi kelab ini dan mempunyai rasa hormat yang besar buat tugas saya dan untuk pemain saya dan para peminat.”
”Di bawah aspek ini, saya sangat tenang dan kekal fokus untuk mencuba dan melakukan yang terbaik. Jika saya kembali mengingati permulaan musim ini, ia mungkin menjadi musim yang paling sukar buat saya. Saya rasa saya mempunyai kelebihan untuk melihat dengan sangat panjang (masa depan).”
”Tetapi kami perlu fokus dan memberikan segala-galanya, setiap hari dan kami perlu berterusan melakukan perkara ini dan tahu kita perlu menghadapi kesukaran yang hebat.”
”Jika anda mengetahuinya, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan seperti ini.”
“Satu-satunya kebimbangan saya adalah untuk bekerja, hanya untuk bekerja dengan sangat keras, tetapi jika anda melihat statistik anda dapat melihat bahawa dalam 14 tahun (terdapat 10 pengurus dipecat di kelab ini).”