Prestasi memberangsangkan yang dinikmati pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini, Manchester City sudah pasti membuka mata banyak pihak dan ramai beranggapan skuad bimbingan Pep Guardiola ini sukar untuk digugat. Perkara tersebut turut diakui rakan sejawatan Guardiola di Chelsea, Antonio Conte.
Manchester City yang kini selesa berada di puncak liga dengan mengumpul 49 mata, sudah mencatatkan 16 kemenangan dan 1 seri pada musim sudah menghampiri pertengahan persaingan sekaligus mencatatkan rekod 15 kemenangan berturut-turut dalam EPL.
Pengendali berusia 48 tahun kelahiran Lecce, Itali itu percaya bahawa skuad The Cityzens tersebut mampu untuk mendominasi saingan bola sepak England, Eropah dan seterusnya dunia.
”Ini (Manchester City) adalah sebuah pasukan yang hebat tetapi mereka juga hebat pada musim lalu,” kata Conte.
”Kemudiannya ketika jendela perpindahan dibuka, mereka telah mencapai sasaran pertama dan mewujudkan sebuah pasukan yang sangat penting.”
”Kami perlu memberikan perhatian dan bukan hanya di England kerana Manchester City telah membina sebuah pasukan yang kuat untuk mendominasi Eropah dan juga dunia.”
”Manchester City merupakan sebuah pasukan yang bagus untuk mempunyai rekod 15 kemenangan berturut-turut. Saya rasa mereka juga bertuah kerana banyak perlawanan yang dimenangi oleh mereka menerusi jaringan di minit akhir perlawanan.”
”Apabila anda mempunyai rentetan kemenangan seperti ini, anda begitu bertuah tetapi mereka layak dan kami mesti menghormatinya.”
Conte juga tidak berselindung bahawa kemungkinan skuad bimbingannya sangat sukar untuk mengejar pendahulu liga tersebut.
”Apabila anda beraksi 16 perlawanan dan tewas pada 4 perlawanan, berdasarkan pengalaman saya, anda tidak boleh mencabar kejuaraan,” ujar Antonio Conte lagi.
Walaupun kelihatan begitu selesa ditangga teratas ketika ini, lawan yang bakal ditemui pada perlawanan liga pagi ini (1.30 pagi) sudah pasti tidak akan memberikan cabaran yang mudah kepada City apabila bakal menanti kunjungan Tottenham Hotspur di Stadium Etihad.
Chelsea pula yang menghuni tangga ketiga dengan 35 mata akan berdepan Southampton di laman sendiri jam 11.00 malam ini.