Antoine Griezmann akhirnya menjawab persoalan mengenai masa depannya apabila mengesahkan akan kekal bersama Atletico Madrid pada musim hadapan.
Griezmann mengumumkan keputusan tersebut melalui sebuah rancangan dokumentari di televisyen berjudul ‘La Decision’.
Penyerang berusia 27 tahun itu berkata beliau mahu perkara mengenai masa depannya dijelaskan sebelum bermulanya kempen Piala Dunia bersama Perancis yang akan menentang Australia dalam perlawnan pembukaan.
Sepanjang beberapa bulan yang lalu, Griezmann dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, setelah pada musim sebelumnya turut dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sebelum tampil mengesahkan beliau akan kekal bersama Atletico.
Griezmann menyertai Atletico dari Real Sociedad pada 2014, dan telah menjaringkan 112 gol di dalam semua pertandingan untuk kelab tersebut.
“Saya telah memutuskan untuk kekal,” ujar Griezmann di akhir rancangan berbahasa Sepanyol itu.
Pada Mei lalu, Atletico telah mengeluarkan kenyataan menyatakan mereka tidak senang dan ‘bosan’ dengan cubaan Barcelona untuk mendapatkan Griezmann.
Sebelum itu, Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu mendakwa telah bertemu dengan Griezmann pada awal musim.
Pertemuan tersebut mengundang laporan oleh Atletico kepada FIFA kerana cuba memikat Griezmann menggunakan saluran yang salah.
Griezmann yang masih memiliki baki kontrak untuk kekal di Madrid sehingga 2022 kemudiannya berkata di dalam akaun Twitter:
“Penyokong saya, pasukan saya, rumah saya,” sejurus selepas pengumuman untuk kekal dilakukan.
Ia pasti sesuatu yang mengujakan buat penyokong Atletico Madrid untuk mendengar pengumuman dari Griezmann ini.
Kelab tersebut turut mengesahkan telah mencapai persetujuan awal untuk mendapatkan pemain sayap Monaco, Thomas Lemar untuk saingan pada musim hadapan.