Media di UK melaporkan Anthony Martial semakin hampir untuk bersetuju dengan kontrak baharu selama lima tahun untuk terus kekal di Old Trafford.
Menurut Sky Sports, perkembangan positif di dalam perbincangan di antara kedua-dua pihak (Martial dan Manchester United) akhirnya berjaya menemu persetujuan – setelah bintang muda Perancis itu menolak tawaran kontrak baharu pada Oktober lalu.
Perubahan Martial
Manchester United sebelum ini mengaktifkan klausa yang terdapat di dalam kontrak Martial untuk memaksa pemain itu kekal di Old Trafford sehingga 2020.
Pemain berusia 23 tahun itu menampilkan prestasi yang baik pada musim ini – dan merupakan penjaring terbanyak Manchester United dengan sembilan gol di semua pertandingan setakat ini.
Bekas pengurus, Jose Mourinho sebelum ini dilaporkan sanggup membiarkan Martial dijual pada musim panas lalu – sebelum mengubah pandangan tersebut setelah beberapa prestasi memberangsangkan dari Martial.
Walaupun dikritik oleh Mourinho pada awal musim, pihak pengurusan tertinggi di Old Trafford sentiasa menaruh keyakinan terhadap Martial yang pernah menjadi pemain muda termahal dunia ketika tiba dari Monaco pada 2015.
Solskjaer beri keyakinan
Martial terus menunjukkan kemampuan beliau di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer – dan merupakan pilihan utama bersama Marcus Rashford untuk mengetuai jentera serangan Manchester United.
Bercakap kepada ITV, Martial dipetik sebagai berkata: “Segalanya berjalan dengan baik sekali pada ketika ini. Sekiranya ianya berterusan, mengapa tidak [Solskjaer dikekalkan]?”
“Ia adalah perkara yang menakjubkan untuk bekerja dengan seorang pengurus yang pernah beraksi sebagai seorang penyerang. Beliau [Solskjaer] memberikan banyak tunjuk ajar, terutama untuk posisi ketika berada di hadapan gol, dan juga teknik penyudah.
“Beliau juga menasihatkan saya untuk beraksi berdasarkan kemampuan yang saya ada, dan untuk tidak memberikan tekanan berlebihan kepada diri sendiri untuk membenarkan saya ekspresikan kemampuan di atas padang.”
Menurut Martial lagi, Solskjaer juga merupakan seorang pengurus yang tahu untuk bertegas dengan pemain di bawah kendalian beliau sekiranya perlu – namun bijak untuk mengadaptasikan kaedah disiplin tersebut untuk diterima oleh pemain dengan baik.