Ketika Selangor FC baru sahaja meraih kemenangan dalam Piala Sultan Selangor (PSS) 2024 dengan menewaskan Pilihan Singapura 2-1, kegembiraan di kalangan penyokong mereka jelas terpancar. Namun, tidak semua pihak berkongsi kegembiraan itu.
Terdapat sebilangan penyokong Selangor sendiri yang mempersoalkan kewajaran menganjurkan PSS di tengah-tengah kalendar musim 2024, selain kewajaran menurunkan pemain-pemain utama.
Bagaimanapun pendapat mereka tidak mencapai arus perdana. Ia tidak popular. Bahkan ditempelak dan dipertikai oleh sebahagian penyokong Selangor yang lain.
Keutamaan Atau Nostalgia?
Sebelum musim 2024/2025 bermula, Selangor FC sepatutnya sudah mengetahui bahawa liga akan berjalan dari Mei 2024 hingga April 2025, Piala FA pula dari Jun 2024 hingga Ogos 2024 dan Liga Juara-Juara Asia (ACL2) akan bermula pada September 2025.
Jadi, persoalannya, mengapa PSS perlu dianjurkan di tengah musim, bukannya sebelum musim liga bermula? Dan lebih membingungkan, mengapa PSS dijadualkan berlangsung seminggu sebelum final Piala FA? Tambahan pula, final Piala FA menjanjikan slot Asia yang sangat penting untuk pasukan.
Adakah pihak pengurusan Selangor FC tidak menjangkakan pasukan akan layak ke final sebelum musim bermula? Adakah trofi Piala FA tidak menjadi buruan mereka?
Bayangkan, Selangor siap memohon kepada MFL untuk mempercepatkan perlawanan LS9 menentang Sabah kepada malam Selasa (13 Ogos). Ini semata-mata untuk mempersiapkan pemain skuad utama bagi menghadapi PSS empat hari kemudiannya.
Dimanakah keutamaan Selangor FC? PSS atau liga?
Adakah tradisi lebih penting daripada maruah dan prestasi pasukan dalam pertandingan utama?
Adakah wajar untuk mengadakan pertandingan seperti PSS ketika liga sedang berjalan, yang memaksa jadual liga dipercepatkan seperti yang berlaku pada minggu ke-9 (LS9)? Nasib baik Selangor berjaya menewaskan Sabah dalam perlawanan itu dan tiada pemain utama cedera, tetapi risiko yang diambil jelas mengundang persoalan.
Sejarah Berulang?
Ini bukan kali pertama Selangor FC melakukan kesilapan dalam menentukan keutamaan mereka. Pada musim 2016, ketika mereka sedang berusaha untuk layak ke pusingan 16 dalam Piala AFC, perlawanan penentuan menentang Tampines Rovers diadakan pada hari Selasa (10 Mei). Namun, pada Sabtu sebelumnya (8 Mei), Selangor FC telah membariskan pemain utama mereka untuk menang PSS pada tahun itu.
Itupun menang menerusi sepakan penalti penentuan.
Tampines Rovers, sebaliknya, tidak menyertakan pemain utama mereka dalam PSS, memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan Piala AFC. Akibatnya, Selangor FC tewas 0-1 dan gagal melayakkan diri ke pusingan 16, sementara Tampines berjaya, kerana pemain mereka lebih cergas dan fokus pada perlawanan penting.
Sejarah ini menunjukkan betapa pentingnya perancangan bijak dan keutamaan kepada pertandingan yang lebih besar dan lebih penting. Nostalgia dan sejarah sememangnya penting, tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan maruah pasukan dan prestasi dalam pertandingan yang berprestij.
Fokus Pada Musim, Bukan Persembahan
Pandangan sebilangan penyokong Selangor ini turut dikongsi oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Cuma bezanya, baginda menyuarakan pandangannya mengenai kejohanan tersebut dengan satu komen sarkastik di laman Instagram: “FIFA iktiraf tak piala ni?”
Secara sinis, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut menyatakan minat untuk membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) menyertai pertandingan ini jika ia diiktiraf oleh FIFA.
Pandangan baginda ini mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada peminat bola sepak Malaysia. Namun, jika diamati dengan teliti, DYAM Tunku Mahkota Ismail sebenarnya mempersoalkan kewajaran Selangor FC menganjurkan Piala Sultan Selangor 2024 di tengah-tengah musim – seminggu sebelum final Piala FA 2024, salah satu pertandingan terpenting dalam kalendar bola sepak Malaysia.
Tetapi seperti biasa, apabila pihak lain menyuarakannya, ia takkan mendapat perhatian. Apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail sendiri yang menyuarakannya, ia menjadi isu negara.
Kritikan DYAM Tunku Mahkota Ismail dan sebahagian kecil penyokong Selangor ini bukanlah berkisarkan soal penganjuran Piala Sultan Selangor sangat. Tetapi ia lebih kepada pemasaan dan keterlibatan pasukan utama dalam acara tersebut ketika musim liga sedang berlangsung.
Jika PSS hanya melibatkan pemain veteran yang sudah bersara dan pemain simpanan (sebagai medan untuk mendapatkan match sharpness), ia tidak akan menjadi masalah, malah ia akan disokong.
Namun, apabila pasukan utama terlibat dalam perlawanan persembahan seperti ini di tengah musim, risiko kecederaan dan keletihan pemain meningkat, sekaligus menjejaskan prestasi pasukan dalam pertandingan utama seperti Piala FA dan ACL2.
Selangor FC perlu mengambil pengajaran daripada sejarah 2016. Keutamaan perlu diberikan kepada pertandingan yang memberi impak besar kepada maruah dan prestasi pasukan, bukan sekadar meraikan sejarah. Dalam dunia bola sepak yang semakin kompetitif, keupayaan untuk menentukan keutamaan yang betul boleh menjadi perbezaan antara kejayaan dan kegagalan.