Pasukan La Liga, Barcelona sebelum ini pernah menolak tawaran yang cukup lumayan buat pemain muda mereka iaitu Ansu Fati.
Fati yang menjadi harapan baharu untuk masa depan Barcelona mencuri tumpuan ramai pihak sejak beliau mula melakukan penampilan bersama-sama kelab itu.
Jadi tidak hairanlah jika ada kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain tersebut.
€150 juta
Menurut mantan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, ketika era pemerintahan beliau sebuah kelab Premier League telah datang untuk mendapatkan Fati.
Mereka menawarkan tawaran sebanyak €150 juta untuk mendapatkan Fati pada ketika itu namun ianya ditolak oleh Barcelona.
Bartomeu bagaimana pun tidak mendedahkan nama kelab Premier League tersebut.
Beliau kemudiannya mengatakan yang keputusan untuk menolak tawaran lumayan tersebut adalah disebabkan kerana untuk menjaga sturktur kelab dari segi faktor kesukanan.
“Ianya akan memberikan keuntungan secara terus kepada Barcelona pada musim 2020/2021 tetapi faktor kesukanan mengatasi peluang dalam ekonomi.”
Faktor kesukanan yang dimaksudkan Bartomeu berkemungkinan adalah dari sudut kompetitif Barcelona sebagai sebuah pasukan.
Barcelona pada ketika itu pastinya tidak mahu kehilangan pemain muda berpotensi tinggi mereka.
Penjualan Fati pada masa itu pastinya akan menjadikan pasukan lawan lebih kuat dan melemahkan Barcelona.
Dan memandangkan ianya adalah dari Premier League, ianya secara tak langsung akan membantu pasukan itu untuk menjulang kejuaraan domestik dan Eropah.
Tetapi siapakah kelab itu?
Berdasarkan pengamatan penulis, hanya ada tiga kelab sahaja yang boleh dikaitkan dengan perpindahan Fati ini.
Tiga kelab itu adalah Manchester City, Chelsea dan Manchester United.
Pengaruh Pep Guardiola dan corak permainannya yang hampir serupa dengan Barcelona sambil kantung City yang lumayan membuatkan kelab itu adalah calon kuat kepada kelab misteri itu.
Malah dengan kecenderungan Guardiola untuk mendapatkan pemain dari La Liga seperti Rodri dan Ferran Torres menguatkan lagi sebab kenapa City adalah kelab itu.
Sementara bagi Chelsea dan United pula, kedua-dua kelab ini sama seperti City yang dilihat sebagai pasukan yang mempunyai kantung duit yang besar.
Jadi tidak hairan jika secara senyap, ketiga-tiga pasukan ini cuba mendapatkan Fati sebelum ini.