Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail senada dalam satu entri yang disiarkan di media sosial facebook sebentar tadi.
Kedua-duanya menjelaskan situasi terkini penyerang import, Mohammed Ghaddar dan perjuangan pasukan Kelantan dalam Liga Malaysia amnya.
Berdasarkan kenyataan tersebut, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan bahawa Ghaddar telah bertemu secara bersemuka dengan beliau.
Ghaddar Rayu Dilepaskan
Pertemuan tersebut pastinya berkisar kepada isi hati penyerang berasal dari Lubnan tersebut dan juga berkenaan masa depannya dengan pasukan Kelantan.
Walaupun kencang khabar angin mengaitkan penjaring terbanyak Liga Super itu dengan pasukan JDT, Tan Sri Annuar Musa tetap masih berdiam diri untuk melakukan sebarang pengesahan.
“Ghaddar menjelaskan kepada saya kedudukan sebenar beliau. Nasihat saya mudah sahaja. Kepada pemain, jadilah (bersikap) profesional. Jelaskan kepada KAFA secara jujur dan patuhi kontrak. Jangan ikut pintu belakang,” ujar beliau dalam entri tersebut.
Pemain Dan Pasukan Harus Punyai Etika
Kem Kelantan bagaikan dilanda ribut akibat spekulasi perpindahan pemain menjelang jendela perpindahan yang akan dibuka mulai esok.
Media sosial termasuk aplikasi Whats App juga tersebar dengan perkhabaran 3 pemain pasukan Kelantan termasuk Ghaddar akan berpindah meninggalkan pasukan berkenaan.
Penasihat KAFA itu juga menasihatkan pasukan dan kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain pasukan Kelantan untuk bersikap profesional.
“Kepada pasukan dan kelab yang berminat (untuk memancing pemain Kelantan) pun begitu. Berundinglah secara rasmi dan telus (dengan KAFA) bila tiba masanya (jendela perpindahan).”
“Saya percaya tidak sukar untuk setiap pemain, pasukan dan kelab yang bertanding untuk mengikuti peraturan ini. Dengan demikian, kita akan menjadikan liga bola sepak kita lebih berperaturan, teratur dan profesional”, tegas Tan Sri Annuar Musa lagi.
“Patah tumbuh hilang berganti”, kata beliau untuk menutup bicara dalam kenyataan tersebut. Pemain datang dan pergi. Mungkin itulah maksud yang ingin disampaikan oleh beliau.
Zahasmi Ismail Bersependapat
Kontroversi dan permasalahan yang melanda pasukan Kelantan pada musim ini adalah satu cabaran berat buat pengendali, Zahasmi Ismail.
“Memahami situasi dan mempercayai situasi adalah sesuatu yang berbeza. Berpegang pada prinsip kepercayaan bahawasanya tanggungjawab dan amanah mesti bergerak seiring.”
“Ambo (saya) diamanahkan (untuk) membentuk satu pasukan, walaupun semua sedia maklum pasukan itu terdiri daripada individu yang begitu banyak perbezaan antara satu sama lain.” ujar Zahasmi dalam satu entri di Facebook.
Zahasmi Ismail menegaskan bahawa pasukan Kelantan pada musim ini akan berhadapan dengan segala cabaran untuk terus bertahan dalam saingan Liga Malaysia.
Dalam entri tersebut, Zahasmi turut menyeru agar penyokong terus memberikan sokongan kepada skuad The Red Warrior.
“Bertahan demi negeri yang tercinta. Bertahan demi penyokong yang sentiasa dihati ambo” ujar beliau dengan penuh keazaman.
Minggu akan datang dijangka minggu yang sibuk buat pengurusan dan barisan kejurulatihan KAFA di bawah kendalian Zahasmi Ismail.
Walaupun belum ada sebarang pengesahan sehingga artikel ini ditulis, kami percaya kemungkinan untuk pendaftaran keluar dan masuk pemain untuk pasukan dari pantai timur ini adalah tinggi.