3 hari lepas, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat kejutan apabila mencalonkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres FAM ke-54 yang akan berlangsung pada Julai depan.
Bercakap kepada Kosmo, Annuar Musa akui terkejut dengan pencalonan itu dan masih belum membuat keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak.
“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada KLFA kerana memberikan kepercayaan kepada saya apabila mencalonkan saya untuk bertanding jawatan Presiden FAM.
“Saya sendiri akui masih terkejut tetapi buat masa ini, saya mahu pertimbangkan dahulu dan masih belum membuat keputusan.
“Banyak perkara saya perlu lihat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang baru sahaja selesai. Jadi, saya juga ada komitmen lagi dan seperti saya katakan tadi, saya perlu berfikir dahulu.
“Sama ada saya bertanding atau sebaliknya, jawapan itu dibuat sebaik saya ada ilham selepas berehat untuk beberapa hari sebaik habis bahang PRU-14 ini,” katanya.
Selain Annuar Musa, 2 lagi calon turut akan bertanding merebut jawatan itu iaitu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi yang mendapat pencalonan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).
Berdasarkan rekod, Annuar pernah menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM Mac tahun lalu yang menyaksikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menang tanpa bertanding.