Sebelum ini, Victor Anichebe dikatakan menarik diri dari rundingan untuk menyertai Melaka United di saingan Liga Malaysia 2020 selepas mengetahui isu tunggakan gaji Shukor Adan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Damian Yeo berpendapat tindakan bekas pemain, Shukor Adan memfailkan afidavit kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menuntut bayaran gaji tertunggak sebagai tidak adil kepada persatuan itu.
“Kena faham, bukan kita tak mahu bayar, tetapi ia mengambil masa,” kata Damian kepada Melaka Kini.
“Pelbagai kata diberikan kepada saya termasuk hanya ‘bising’ di media sosial, ‘so what’?
“Kamu hanya Shukor Adan yang dah berumur 40 tahun, anak Melaka tetapi bila umur hampir mencecah 40 tahun baru datang ke Melaka, ia tidak adil,” katanya.
Damian yang mengakui dirinya beremosi mengenai perkara ini turut mendedahkan perancangan Melaka United untuk membawa masuk pemain import turut terjejas.
Ini selepas beberapa pemain import yang berada dalam proses rundingan menarik diri selepas mengetahui kemelut ini.
“Mesti lari, saya tidak akan bagitahu siapa, tetapi antaranya ialah bekas pemain Everton, Victor Anichebe yang sedang kita runding.
“Walaupun agak mahal, terus terang saya cakap ia berada dalam bajet MUSA, kerana kita tidak mengambil pemain import kelima, jadi bajetnya dapat kita tumpukan terhadapnya.
“Sekarang, MUSA terpaksa mendapatkan pemain import lain,” jelasnya lagi.
Mohd Shukor sebelum ini memfailkan afidavit kepada FAM untuk menuntut gaji beliau ketika bersama Melaka United, selepas sebelum ini usaha beliau berbuat demikian dipertikaikan.
Victor nafikan ada berundingan dengan Melaka United
Berita tentang penarikan diri oleh Victor Anichebe itu telah diberikan respon oleh tuan badan.
Pihak Foxsports Asia telah mendapatkan komen pemain itu. Dan ternyata beliau menaafikan perkara itu.
Bercakap kepada Foxsports Asia, Anichebe berkata:
“Ia tidak benar, saya tidak pernah sekalipun bercakap dengan pasukan itu dan saya tidak tahu mengenai apa yang berlaku kepada mereka yang perlu mengaitkan nama saya. Itu sahaja apa yang boleh saya cakap.”
Jadi, Anichebe yang mana satu dimaksudkan oleh pasukan Melaka United sebelum ini? Adakah Victor Anichebe yang lain?