Quantcast

BERITA

Angkara Luqman Hakim, Peminat Bola Sepak Di Malaysia Dilanda ‘Demam KV Kortrijk’

Kerana Luqman Hakim Shamsuddin, peminat sukan bola sepak di Malaysia seperti sudah dilanda ‘demam KV Kortrijk’.

Ia seperti wabak baharu yang melanda peminat bola sepak di dalam negara selepas penyerang sensasi skuad Bawah-18 tahun negara itu sah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Belgium itu.

Menurut sumber, Luqman akan berlatih bersama Cardiff City terlebih dahulu sehingga usianya genap 18 tahun pada Mac 2020, untuk sebelum dibenarkan menyertai kelab Belgium tersebut.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan di sebuah hotel di ibu kota pada pagi tadi.

Kegembiraan peminat bola sepak dan rakyat Malaysia amnya mengenai perkhabaran ini amat jelas sekali.

Media sosial rasmi KV Kortrijk kini mulai diikuti menyebabkan jumlah pengikut KV Kortrijk di pelbagai platform media sosial kelab tersebut meningkat dengan mendadak.

Di Facebook misalnya, tinjauan awal kami pada tengah hari tadi menunjukkan pengikut KV Kortrijk adalah sekitar 44,000. Jumlah tersebut telah meningkat sekitar 10,000 pengikut pada ketika artikel ini ditulis – mencecah angka lebih 58,000 setakat 4.30 petang.

Rata-rata yang meninggalkan komen di akaun Facebook kelab tersebut juga adalah dari kalangan rakyat Malaysia.

Angka pengikut dari Malaysia di pelbagai platform media sosial milik kelab tersebut dijangka akan terus meningkat selepas ini.

Akaun Twitter KV Kortrijk turut menerima lambakan pengikut baharu dari Malaysia.

Menyedari perkara tersebut, KV Kortrijk berkongsi satu kicauan grafik yang menunjukkan mereka sedang rancak menerima peminat baru dari negara ini.

Pengguna media sosial dari Asia Tenggara termasuk dari Malaysia sememangnya dikenali sebagai antara pengguna yang aktif di dunia. Laporan pada 2018 menunjukkan hampir 70% populasi dari negara ini, bersamaan dengan lebih 23 juta penduduk memiliki akaun Facebook.

Walaupun demikian, di dalam keterujaan kita mengenai perkhabaran Luqman Hakim menyertai KV Kortrijk, besar harapan kami agar pengikut-pengikut baharu kelab tersebut menjaga tatasusila masing-masing, sesuai dengan budaya kesopanan dan hormat-menghormati yang menjadikan Malaysia dikenali di seluruh dunia.