Angel Gomes Lengkapkan Perpindahan Ke Lille Selepas Tinggalkan United

Angel Gomes Lille

Pemain muda England, Angel Gomes telah sah menyertai kelab Perancis, LOSC Lille selepas kontraknya bersama Manchester United tamat baru-baru ini.

Pemain tengah menyerang itu menandatangani kontrak selama lima tahun dan terus dipinjamkan kepada kelab Portugal, Boavista untuk kempen 2020/21, umum kelab Ligue 1 tersebut dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan di akaun media sosial mereka.

Gomes menyertai akademi Manchester United seawal usianya lima tahun dan beraksi di setiap peringkat umur pasukan berkenaan sehinggalah beliau menjadi pemain pertama yang lahir pada era 2000-an beraksi bersama skuad utama dengan menggantikan Wayne Rooney pada perlawanan terakhir musim 2016/17.

Ia bermakna beliau menjadi pemain termuda sejak Duncan Edwards melakukannya pada 1953 untuk membuat debut di peringkat senior tidak lama selepas menerima anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan Jimmy Murphy.

Walaupun Ole Gunnar Solskjaer mahu pemain berusia 19 tahun itu terus kekal bagi menggilap potensi dan meneruskan perkembangannya di Old Trafford, faktor persaingan dengan beberapa nama besar menyebabkan Gomes melihat tiada lagi tempat buatnya.

Sepanjang tiga musim sejak menembusi skuad utama, beliau diberi peluang untuk beraksi 10 perlawanan sahaja dan hanya tiga kali diturunkan dalam kesebelasan utama – semuanya dalam saingan Liga Europa musim ini.

Nasibnya tidak sama seperti beberapa graduan akademi United yang lain seperti Marcus Rashford, Mason Greenwood, Scott McTominay dan Brandon Williams yang semuanya berkembang ibarat kuntuman bunga yang mekar indah.

Dengan ketibaan Bruno Fernandes dan ura-ura kemasukan Jack Grealish, sudah tentu beliau mula mempersoalkan di mana lagi ruang dan peluang bagi menyakinkannya untuk terus kekal lebih lama di Manchester.

Kredit Foto: LOSC Lille

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manchester United, Gomes dan Lille:

Leave a Reply