Penjaga gol muda, Andriy Lunin menjadi pemain pertama yang menyertai Real Madrid di era pengurus baharu Julen Lopetegui dengan nilai perpindahan dianggarkan sekitar €14 juta.
Lopetegui merupakan pengurus baharu Los Blancos berikutan peletakan jawatan Zinedine Zidane selepas membantu mereka meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Malah penyertaan Lopetegui ke Real Madrid tempohari diselubung kontroversi apabila dia dipecat oleh Sepanyol, dua hari sebelum mereka memulakan kempen Piala Dunia.
Real Madrid melalui kenyataan menerusi laman web rasmi kelab menyatakan mereka telah berjaya menandatangani pemain muda tersebut dengan kontrak selama 6 tahun.
Comunicado Oficial: Andriy Lunin.https://t.co/edPUeJZnyh#RealMadrid pic.twitter.com/h6QAUxQDm4
— Real Madrid C.F. (@realmadrid) June 22, 2018
Lunin yang berusia 19 tahun itu berpindah ke Bernabeu dari Zorya Luhansk FC, sebuah kelab di Liga Premier Ukraine. Sepanjang bersama kelab tersebut, dia telah membuat 51 penampilan.
Penampilan sulungnya bersama kelab tersebut adalah pada musim 2016/17 dan telah membantu kelab tersebut meraih kedudukan ke-3 dan ke-4 liga sepanjang dua musim.
Dia juga beraksi di Liga Europa ketika bersama Zorya Luhansk dan antara yang mencuri tumpuan adalah semasa membuat clean sheet ketika menewaskan kelab La Liga, Athletic Bilbao.
Menariknya, penjaga gawang muda yang juga merupakan antara prospek penjaga gol terbaik Eropah ini juga telah meraih dua kaps antarabangsa bersama Ukraine.
Dia telah menjadi penjaga gol termuda yang membuat penampilan bersama Ukraine ketika terikat 1-1 menentang Arab Saudi dan juga menang 4-1 ke atas Albania baru-baru ini.
Penyertaanya ke Real Madrid pastinya untuk menjadi pesaing jersi nombor satu kepada Keylor Navas walaupun Los Blancos turut dikatakan menaruh minat kepada beberapa lagi penjaga gol.
Antara yang menjadi sasaran Real Madrid adalah penjaga gawang yang berpengkalan di Liga Premier Inggeris (EPL) iaitu David de Gea di Manchester United dan Thibaut Courtois (Chelsea).
Dengan penyertaan Lunin ini, pastinya United dan Chelsea sudah boleh menarik nafas lega walaupun belum dapat dipastikan samaada dia merupakan calon segera untuk skuad utama.
“Ketika ini saya tidak mahu fikirkan tentang menjadi penjaga gol nombor 1, walaupun saya memang mahukannya.
“Tetapi apa yang saya mahukan adalah untuk berada di sini bertahun-tahun dan meraih kejuaraan UCL bersama pasukan ini,” tekad Lunin kepada media tempatan.