Juara Piala FA 2017, Kedah kini sedang giat mencari penyerang import baharu bagi menggantikan Pablo Pallares untuk menguatkan jentera serangan pasukan itu.
Baru-baru ini bekas penyerang import JDT, Paulo Rangel dilaporkan menjadi sasaran skuad itu untuk dibawa masuk pada pintu perpindahan kedua Liga Malaysia 2018 yang dibuka secara rasmi sejak kelmarin.
Menurut laporan daripada Kosmo, dua lagi calon pemain import kini berada dalam perhatian skuad Helang Merah iaitu Andrija Kaluderovic (pemain kelab Wellington Phoenix FC pada Liga Australia) dan bekas pemain Kuantan FA kelahiran Montenegro, Zarko Korac.
Sumber daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menjelaskan ketiga-tiga pemain itu masih dalam pertimbangan persatuan dan rundingan sedang berjalan.
“Belum ada pengesahan siapa yang akan dibawa masuk menyertai Kedah sama ada Paulo Rangel atau dua lagi calon tersebut,” katanya.
Bulan lepas, KFA menilaikan lima pemain import di posisi serangan iaitu antaranya penyerang kelab Liga Utama Thailand dari pasukan Suphanburi FC, Sylvano Dominique Comvalius yang berusia 30 tahun.
Namun begitu, Sylvano dilihat gagal memikat wakil daripada KFA yang hadir untuk melihat pemain itu apabila penyerang tersebut tidak diturunkan berikutan tidak cergas dalam aksi menentang Ratchaburi FC di Suphanburi Municipality Stadium.
Bekas penyerang import Kedah, Ken Ilso yang kini beraksi bersama Pulau Pinang di saingan Liga Premier juga turut disebut-sebut berada dalam radar Lang Merah.
Ilso membuktikan keupayaannya pada musim lalu apabila berjaya menjaringkan 24 gol pada 26 penampilan bersama pasukan Kedah.
Kedah giat mencari penyerang import baharu kerana Pablo Pallares yang dibawa masuk dari Sepanyol pada musim ini dilihat gagal mempamerkan aksi yang menyakinkan para penyokong skuad helang merah.