Bahang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/18 semakin hangat dirasakan apabila beberapa hari sahaja lagi anda dapat menyaksikan pertembungan hebat antara Real Madrid bertemu Liverpool di Kiev.
Pentas final bukanlah asing bagi Real Madrid kerana dalam tempoh lima tahun terakhir ini, Los Blancos sudah empat kali melangkah ke perlawanan akhir.
Bagi Liverpool pula, aksi final musim 2006/07 merupakan penampilan terakhir skuad The Reds bagi mengintai kejuaraan, namun hampa apabila tewas ditangan AC Milan.
Menjelang aksi menarik itu, pertahanan Liverpool, Andrew Robertson melaungkan amaran buat rakan sepasukannya supaya tidak terlalu memberikan fokus terhadap Cristiano Ronaldo pada perlawanan nanti.
Walaupun Ronaldo, yang sudah menikmati pelbagai kejayaan dalam kariernya kecuali mendakap trofi Piala Dunia, Robertson beranggapan Real Madrid masih mempunyai banyak lagi ancaman yang perlu dipandang serius.
”Ia merupakan cabaran yang hebat tetapi masalah apabila berhadapan skuad Real Madrid ini adalah kesemua pemain mereka merupakan pemain yang menakjubkan.”
”Sekiranya anda hanya fokus kepada Ronaldo, kemudiannya pemain lain yang akan muncul. Tetapi kami sudah mempunyai perancangan permainan dan telah melihat kepada kekuatan serta kelemahan mereka.”
Pemain kelahiran Glasgow, Scotland ini sudah pasti teruja dengan peluang yang bakal diberikan dan mahu menggunakan kesempatan yang diberikan kepadanya selepas memilih untuk berhijrah ke Liverpool pada Julai 2017 dari Hull City.
”Bola sepak penuh dengan turun dan naik tetapi apabila bersara mereka akan selalu mengatakan, ‘saya berharap saya akan lebih menikmatinya’. Sekarang saya bakal beraksi bersama salah satu kelab terbesar dunia dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.”
”Sudah tentu masih terdapat tekanan yang dihadapi, tetapi anda perlu menikmatinya.”