Jika Kekal Di Liga Malaysia, Adakah Andrew Nabbout Akan Ke Rusia?

Adakah Andrew Nabbout akan tersenarai ke Piala Dunia 2018 jika masih kekal beraksi bersama Negeri Sembilan? Satu persoalan menarik yang mungkin boleh difikirkan bersama.

Jodohnya bersama Negeri Sembilan tidak lama, hanya beberapa bulan sahaja. Negeri Sembilan ketika itu bersaing di 100Plus Liga Premier dan dalam misi untuk kembali ke Liga Super.

Menuju pertengahan musim, walaupun memberikan aksi cemerlang, Nabbout digugurkan tanpa sebarang alasan kukuh. Dia telah meledak 8 gol dalam 12 aksinya.

Ditawar menyarung jersi Lubnan

Anak kepada warganegara Lubnan ini pernah beberapa kali ditawarkan untuk menyertai kem Lubnan pada 2013 oleh Giuseppe Giannini namun ianya telah ditolak oleh Nabbout.

Lahir dan membesar di Melbourne, Australia, membuatkan Nabbout sangat mahukan aksi bersama skuad kebangsaan Australia, satu misi yang sukar buatnya.

Nabbout
Foto: Goal

Ketika itu dia beraksi bersama Melbourne Victory di A-League. Dia menerima tawaran melalui email, bertanya samaada dia mahu menyertai kem Lubnan sebagai persediaan Piala Asia 2015.

“Saya mengucapkan terima kasih atas tawaran tersebut tetapi saya tidak mahu menolak kemungkinan untuk beraksi bersama Australia. Saya rasa saya masih berpeluang.

“Tetapi jika tidak, mungkin satu masa nanti saya akan mempertimbangkannya jika peluang itu masih ada,” jelas penyerang berusia 25 tahun itu kepada Herald Sun.

Menyertai Negeri Sembilan

Musim keduanya di Melbourne Victory agak sukar. Di bawah kendalian jurulatih baharu iaitu Kevin Muscat, dia hanya mendapat 19 penampilan semusim.

Bagaimana dia mahu memikat pengurus Australia jika masa beraksinya terhad? Usahanya untuk mendapat aksi bersama Melbourne Victory berakhir apabila dia digugurkan pada Mei 2015.

Nabbout dipetik berkata kepada Players Voice AU, dia telah mengalami kemurungan ketika bersama Melbourne Victory sehingga memaksanya merujuk kepada ahli psikologi.

“Isteri saya, Sam meyakinkan saya untuk berjumpa dengan ahli psikologi, melalui PFA Australia. Dia menemani saya setiap sesi dan ini membantu saya menangani masalah kemurungan,” jelasnya.

Nabbout
Foto: ESPN

Kemudian, ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan, Gary Phillips dengan bantuan ejen, Tony Ralis telah membawa Nabbout bersama 3 orang pemain berdarah Australia ke bumi Malaysia.

Nabbout boleh dikatakan adalah pemain kesukaan penyokong kerana kerap kali meraikan gol dan kemenangan bersama mereka selain rekod jaringannya yang baik.

Negeri Sembilan pula berada di posisi ketiga liga ketika itu dan boleh dirumuskan bahawa mereka sedang meningkat dan berada di kemuncak prestasi untuk meraih promosi.

Namun, menjelang saingan Piala Malaysia 2016, Nabbout telah digugurkan oleh Negeri Sembilan dan atas kenyataan Phillips kepada ESPN, mereka mahu memperbaiki pasukan.

Luahan Nabbout mengenai penggugurannya

“Malaysia merupakan pengalaman yang menarik kerana saya belajar bahawa di sana, politik menjadi faktor yang lebih berpengaruh berbanding prestasi anda di padang.

“Saya boleh bermain dengan cukup baik dalam perlawanan, tetapi jika saya terlepas satu peluang, mereka akan mengeluarkan saya,” ceritanya kepada Players Voice AU.

Dari kenyataannya itu menggambar sedikit kekecewaan akibat pengguguran tersebut. Semua sedia maklum, apa yang diceritakannya itulah wajah Liga Malaysia.

Nabbout
Foto: Goal

Selepas digugurkan oleh Negeri Sembilan, Nabbout berazam mahu membuktikan bahawa keputusan yang diambil oleh pihak pengurusan Negeri Sembilan itu silap.

“Yang paling lucu adalah saya kekal sebagai penjaring terbanyak mereka sehingga penghujung musim, biarpun mereka membawa masuk pemain lain menggantikan saya,” ujarnya.

Namun, tuah manusia tiada siapa yang tahu, tidak seperti tuahnya seekor ayam. Sejurus digugurkan, dia mendapat tawaran kembali ke A-League untuk bersama Newcastle Jet.

Dia merupakan penjaring terbanyak bersama Newcastle Jet dengan 8 gol dan turut disebut-sebut oleh media tempatan untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

Selepas dua musim, Nabbout telah berhijrah ke Urawa Red Diamonds pada Mac 2018 dan kini telah membuat 8 penampilan.

Adakah dia akan ke Rusia jika kekal di Negeri Sembilan?

Dia hanya tersenarai dalam skuad Australia selepas pengurus baharu, Bert van Marwijk mengambil alih. Penampilan antarabangsa pertamanya adalah pada Mac 2018.

Nabbout
Foto: Getty Images

Dan dia telah terlibat dalam keempat-empat perlawanan persahabatan sepanjang 2018 dan telah meledak satu gol ketika menewaskan Republik Czech.

Hanya empat pemain yang kekal tersenarai dalam semua perlawanan di bawah van Marwijk. Dan ini memungkinkan dia adalah calon kegemaran pengurusnya itu.

Adakah dia akan dipanggil menyarung jersi Australia jika kekal di Malaysia? Bagi penulis, besar kemungkinan, tidak. Australia mungkin akan terlepas pandang akan kelibatnya.

Prestasinya bersama Newcastle Jet selepas meninggalkan Negeri Sembilan adalah kuncinya. Dia kembali menjadi sebutan ramai dan pihak media juga mahukan dia disenaraikan.

“Andrew Nabbout, saya telah lihat aksinya di Newcastle. Saya dapat banyak maklumat mengenainya dan saya rasa dia mampu cipta kelainan,” ujar van Marwijk kepada Sydney Morning Herald.

Nabbout
Foto: Getty Images

Selain itu, pengurus Perancis, lawan mereka dalam aksi pembukaan hari ini, Didier Deschamps turut menyatakan Nabbout adalah senjata utama Australia di jentera serangan.

Walaubagaimanapun, faktor penyumbang yang perlu kita akui adalah disebabkan tindakan Negeri Sembilan menggugurkannya, telah menjadi motivasinya untuk berikan yang lebih baik.

Selain itu, dia kembali mendapat sentuhan jaringan ketika bersama mereka. Ini diakuinya kepada Goal yang menyatakan dia akhirnya mula membentuk dan mendapat kepercayaan diri.

“Ia menyedarkan saya mengenai kekuatan saya dan bekerja keras bersama mereka setiap minggu. Dan ia adalah liga yang sesuai kerana standard liga itu tidak setinggi di Australia,” jelasnya.

Penutup

Selain Nabbout, seorang lagi yang pernah beraksi bersama pasukan di Malaysia adalah Dimitri Petratos yang beraksi di Kelantan, eksklusif untuk saingan Piala AFC.

Walaubagaimanapun, Nabbout lebih istimewa kerana dia beraksi di liga. Dan kejayaannya untuk bersama Australia di Piala Dunia, sedikit sebanyak turut disumbang oleh tindakan Negeri Sembilan.

Wajar berbangga? Tidak sama sekali dan rasanya tidak perlu. Malaysia hanyalah pusat transit untuk Nabbout kembali memperbaiki diri dan sentuhannya.

Dan dia adalah calon kegemaran untuk diturunkan oleh van Marwijk dalam aksi pertama Australia di Piala Dunia 2018 menentang Perancis pada lewat petang ini.

Apa yang hendak dikongsi penulis adalah bagaimana pemain yang langsung tidak dikenali beberapa tahun lalu sehingga merantau ke Liga M, kini bangkit untuk tersenarai ke Piala Dunia.

Dan sesuatu yang perlu dilihat kembali oleh kita adalah isu pengguguran pemain yang seperti ‘menyalin pakaian’ atas faktor pemain tersebut tidak bagus selepas hanya beberapa aksi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN