Pertahanan Chelsea, Andreas Christensen mengubah fikiran untuk meninggalkan Chelsea apabila memilih untuk kekal di Stamford Bridge, menurut laporan Goal.
Musim ini, pemain antarabangsa Denmark itu kurang mendapat perhatian oleh pengurus pasukan, Maurizio Sarri. Setakat ini, beliau hanya berpeluang beraksi 14 perlawanan sahaja, dan dua darinya adalah untuk saingan Liga Perdana Inggeris(EPL).
Berbanding pada musim lalu ketika pasukan dibimbing oleh Antonio Conte, Christensen menjadi pilihan utama mengetuai benteng pertahanan pasukan dan telah tampil sebanyak 40 perlawanan semusim.
Hal tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai masa depannya, sekaligus mendorong diri beliau untuk ‘angkat kaki’ meninggalkan Chelsea.
Ubah fikiran
Christensen menceritakan bahawa ada dua kelab Eropah membuka tawaran kepadanya pada perpindahan Januari lalu. Namun, sebarang perpindahan tidak menjadi kenyataan disebabkan beliau memilih untuk kekal selepas mendapati kelab masih memberikan perhatian kepadanya.
“Pada masa itu (perpindahan Januari), ada dua pilihan yang sangat jelas dan kemudian ada saya. Saya hanya perlu membuat keputusan dengan menunjukkan bahawa diri saya sudah bersedia mengambil kesempatan yang datang (terima tawaran).”
“Banyak perbincangan diadakan mengenai perpindahan tersebut, tetapi dengan segera saya menjelaskan bahawa kelab masih memberikan perhatian kepada saya untuk terus diberikan peluang bermain.”
“Sudah tentu saya gembira mendengarnya, jadi saya perlu terus membuktikan kemampuan diri saya. Saya berasakan, saya telah bermain dengan baik dalam beberapa kesempatan terakhir dan saya hanya boleh berharap dapat kembali diberi peluang itu semula.”
Risau
Ditanya apakah beliau tidak risau sekiranya beliau masih terus berada dibangku simpanan sehingga akhir musim ini, katanya beliau sedia menghadapi risiko itu kerana itu adalah pilihannya selepas yakin dengan perbincangan antara dia dan pihak kelab.
“Tentu sahaja saya sangat risau. Namun, ketika kelab meyakinkan saya bahawa saya masih diperlukan, saya kembali yakin dan boleh menerimanya.”
“Saya sudah berada di kelab ini selama bertahun-tahun dan saya masih gembira di sini. Pertimbangkan keinginan untuk berpindah, hanya semata-mata kerana kurang mendapat peluang bermain. Tetapi saya melihat ke hadapan[positif] dan saya dapat terima dengan keadaan ini,” jelas Christensen.