Andrea Pirlo menasihatkan agar pengendali Itali, Giampiero Ventura untuk menggunakan formasi 4-3-3 dalam perlawanan play-off Piala Dunia Zon Eropah, selepas kekalahan 1-0 kepada Sweden pada awal pagi tadi.
Perlawanan kedua play-off tersebut akan diadakan di San Siro pada Isnin akan datang. Kini Itali mengundang risiko tidak melayakkan diri ke Piala Dunia, sejak kali terakhir tidak menyertai kejohanan tersebut pada 1958.
Dalam perlawanan pada awal pagi tadi, Ventura tidak menggunakan formasi 4-2-4 yang digemarinya, namun mengundang kritikan penganalisa bola sepak di Itali.
Sebaliknya Ventura menerapkan formasi 3-5-2 yang sinonim dengan skuad tersebut ketika era Antonio Conte dan cabaran skuad Azzurri di Euro 2016.
Walaupun cuba menukar cara mereka bermain, tidak ada perkara menarik yang ditampilkan dalam corak permainan pasukan Itali pada awal pagi tadi.
Sebaliknya perlawanan tersebut menyaksikan pemain tengah, Marco Verratti bakal terlepas perlawanan timbal balik di San Siro selepas mengutip kad kuning pada minit ke-29 perlawanan.
Pirlo dipetik sebagai berkata kepada Sky Sports Italia:
“Seperti yang kita telah saksikan aksi keseluruhan skuad dan juga Verratti, mereka tidak bermain dengan baik.”
“Verratti melakukan beberapa hantaran yang baik pada babak pertama perlawanan, namun dia seperti kehilangan arah selepas itu. Mungkin layangan kad kuning tersebut telah menyebabkan Verratti terpaksa berhati-hati.”
“Jelas sekali Verratti tidak memperagakan aksi seperti yang ditampilkannya untuk Paris Saint-Germain.”
Memandangkan Verratti akan terlepas perlawanan kedua menentang Sweden pada Isnin hadapan, Pirlo punyai sedikit nasihat untuk membantu Ventura.
“Saya berpendapat mereka lebih wajar beraksi dengan corak permainan menyerang. Beraksi di dalam sistem 4-3-3 akan memberikan lebih banyak ruang untuk Lorenzo Insigne.”
“Insigne memiliki kebolehan untuk beraksi dan menewaskan pertahanan lawan di kawasan akhir serangan (final third)”
“Dalam perlawanan tadi, Itali kehilangan banyak bola di bahagian tengah disebabkan cara 2 penyerang kita bermain. Akhirnya kita kerap menghantar bola ke bahagian sayap untuk menewaskan mereka.
“Sudah pasti dalam perlawanan kedua nanti, ia akan menjadi lebih sukar untuk bahagian serangan mencari ruang. Sweden akan lebih bertahan di perlawanan kedua nanti. Ini bermakna Itali hanya boleh memecahkan pertahanan mereka hanya dengan hantaran pantas.”
“Itali wajib menjaringkan 1 gol terlebih dahulu. Kualiti bola sepak yang ditampilkan turut perlu diperbaiki. Pemain harus bekerja keras, dan mereka akan merasa lebih tekanan. Tetapi untuk perlawanan kedua nanti, ia pasti sesuatu yang berbeza,” jelas Pirlo.
Buat penyokong Azzurri, apa pendapat anda mengenai formasi 4-3-3 yang dicadangkan oleh Pirlo? Siapakah yang akan melengkapkan kesebelasan utama Itali jika Ventura memilih formasi 4-3-3?