Masih lagi dengan kisah Gianluigi Buffon yang dibuang padang pada perlawanan bertemu Real Madrid pagi semalam.
Bekas rakan sepasukan Buffon di Juventus dan Itali, Andrea Pirlo turut bersimpati dengan nasib yang diterima penjaga gol legenda itu.
Pirlo yang beraksi untuk Juventus bermula tahun 2011 hingga 2015 menyifatkan beliau turut akan bertindak dengan cara yang sama sekiranya perkara tersebut terjadi terhadap dirinya.
Pada perlawanan di Santiago Bernabeu tersebut, Buffon jelas berang dengan keputusan pengadil perlawanan, Micheal Oliver yang memberikan sepakan penalti buat tuan rumah ketika perlawanan semakin hampir untuk ditamatkan lalu dilayangkan kad merah.
Buffon turut meluahkan rasa kesalnya dengan mengatakan Oliver sebagai ‘tiada hati tetapi dalam dirinya ada tong sampah’.
Pirlo tampil untuk mempertahankan penjaga gol berusia 40 tahun itu.
”Keinginannya untuk menang sentiasa kekal,” ujar Pirlo dalam satu sidang media bagi mengumumkan satu perlawanan testimoni akan diadakan pada 21 Mei nanti.
”Sepakan penalti tersebut sepatutnya tidak begitu mudah untuk diberikan. Jika pengadil itu lebih bijak, dia boleh membiarkannya.”
”Jika saya berada di padang itu semalam, ianya juga akan membakar saya untuk melakukan perkara sedemikian (seperti Buffon). Apabila anda bermain seperti itu dan kalah dengan perlawanan hanya tinggal 10 saat sahaja lagi, ianya akan membuatkan anda gila.”
”Kekalahan seperti itu akan berlalu seiring dengan masa. Persaingan liga masih belum berakhir dan kekecewaan itu akan kekal tetapi anda juga perlu berfikir mengenai saingan liga.”
Pada perlawanan tersebut, Gianluigi Buffon bertindak cemerlang menafikan asakan demi asakan yang dilakukan para pemain Real Madrid sepanjang 90 minit perlawanan.
Itulah bola sepak, ada ketika nasib tidak menyebelahi kita walaupun hanya tinggal beberapa saat sahaja lagi masa perlawanan yang tinggal.