Keputusan seri tanpa jaringan yang diraih Juventus ketika menentang AS Roma sudah cukup untuk memberikan mahkota kejuaraan ke-7 berturut-turut buat skuad bimbingan Massimiliano Allegri dalam saingan Serie A.
Pada bulan lalu, Juventus hanya memiliki kelebihan satu mata di hadapan Napoli selepas skuad yang dibimbing Maurizio Sarri itu menumpaskan Juventus 1-0.
Namun, kekecewaan melanda kem Napoli selepas mereka hanya mampu mencatatkan keputusan seri bertemu Torino dan kecundang ditangan Fiorentina untuk kembali membuka ruang buat Juventus bagi jauh meninggalkan mereka.
Kemuncak persaingan terhenti awal pagi tadi selepas Juventus mengesahkan kejuaraan walaupun Napoli menang 2-0 keatas Sampdoria di tempat lawan.
Bagi tonggak pertahanan Juventus, Andrea Barzagli, beliau memuji cabaran hebat yang diberikan SSC Napoli pada musim ini yang menjadikan persaingan merebut gelaran lebih menarik.
”Kami memahatkan nama dalam buku sejarah selepas mengharungi musim yang luar biasa,” Barzagli bercakap kepada Mediaset Premium.
”Ia tidak mudah untuk dikecapi, tetapi kami melakukan tugasan dengan hebat dan sekarang masa untuk meraikannya bersama penyokong kami.”
”Kejayaan terbaru Scudetto ini merasa seperti yang terbaik tetapi kemenangan tujuh tahun berturut-turut adalah sangat bersejarah.”
”Napoli menikmati musim yang baik dan mungkin kedua-dua pasukan layak untuk memenangi kejuaraan tetapi bersama-sama kami membuatkan Serie A sekali lagi menjadi lebih menarik.”
”Perbezaannya mungkin kami lebih konsisten berbanding mereka.”