Pemain terbaharu pasukan Kedah yang berasal dari Indonesia, Andik Vermansah tidak sabar membuat penampilan pertamanya dalam perlawanan unifi Liga Super Malaysia 2018 menentang PKNP FC pada hari ini.
Namun begitu, Andik mengakui dia perlu bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana sedar Kedah mempunyai ramai pemain yang berkualiti.
“Saya sedar Kedah mempunyai ramai pemain berkualiti dan sebagai pemain baharu, saya juga perlu bersaing menampilkan aksi terbaik.
“Saya tidak sabar untuk beraksi dalam kesebelasan utama bagi pertemuan dengan pasukan PKNP FC Ahad ini dan melakukan yang terbaik bagi membalas kepercayaan semua pihak.
“Dengan semangat membara pemain dan percaturan ketua jurulatih, saya yakin Kedah akan bangkit untuk mencari tiga mata pertama musim ini di Stadium Negeri, Batu Kawan,” katanya kepada Berita Harian.
Andik turut menjelaskan sebab-sebab dia memilih untuk menyertai pasukan Kedah walaupun mendapat tawaran daripada 5 kelab dari Liga Indonesia.
“Sebagai kelab bola sepak yang mempunyai ramai pemain senior dan pemain muda berbakat, saya berasa kagum dan inilah yang membuatkan saya menerima tawaran untuk beraksi bersama Lang Merah.
“Pengalaman beraksi beberapa kali menentang Kedah dalam pertembungan liga sewaktu bersama Selangor juga memberi gambaran lebih luas mengenai kehebatan pasukan dari utara ini.
“Selain itu saya juga kagum dengan penyokong setia Kedah yang membanjiri stadium sewaktu perlawanan dan kita boleh lihat pada aksi final Piala Malaysia tahun lalu,” jelasnya.
Sementara itu, pengendali Kedah, Ramon Marcote menyifatkan Andik seorang pemain yang serba boleh dan mampu beraksi di mana-mana posisi di bahagian serangan.
“Dia seorang pemain serba boleh dan mampu beraksi di beberapa posisi seperti sayap, serangan mahupun sebagai pemain nombor 10. Dia akan beraksi di mana-mana posisi yang diperlukan mengikut taktikal.
“Dengan kualiti yang dimiliki khususnya kepantasan dan kemahiran menggelecek selain pengalaman luasnya beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini, saya harap dia dapat membantu pasukan ini.
“Mengenai prospek untuk dia beraksi bertemu PKNP FC hari ini, dia ada peluang sama seperti pemain lain. Apa pun, ia bergantung kepada keadaan terlebih dahulu,” katanya