Saingan Liga Super sudahpun menutup tirainya pada hari Sabtu lepas, pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah berjaya membantu Selangor menamatkan saingan di kedudukan ke enam liga.
Pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Pulau Pinang, Andik menyumbang satu gol daripada 3 gol yang dijaringkan oleh pasukan Selangor. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan itu berakhir dengan keputusan 3-1.
Namun begitu, masa depan Andik Vermansah menjadi cerah apabila pengurusan Selangor dikhabarkan akan menawarkan kontrak lanjutan untuk terus kekal beraksi bersama pasukan Selangor.
Itulah antara sebab-sebab Andik masih belum pulang ke Indonesia untuk bercuti kerana masih ada urusan untuk menguruskan kontrak lanjutan dengan skuad The Red Giants yang disertainya sejak musim 2014.
Dengan harapan semua urusan berkaitan dengan kontraknya diselesaikan dengan segera, Andik akan terus pulang ke Surabaya, Indonesia untuk bercuti dengan keluarganya.
“Selepas urusan menandatangani kontrak lanjutan selesai, saya akan dapat pulang ke Indonesia dengan lebih tenang. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu memikirkan lagi untuk menyertai pasukan lain musim depan,” katanya kepada bola.com
Andik masih selesa untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia berbanding Liga Indonesia. Hal ini kerana beliau masih trauma dengan apa yang terjadi dalam bola sepak Indonesia.
Konflik pepecahan yang berlaku dalam skuad Persebaya masih menghantuinya. Beliau dan keluarganya pernah menjadi sasaran orang yang tidak dikenali melalui surat ugutan yang mengancam keselamatan keluarganya.
Walaupun konflik itu sudah berakhir, Andik masih tidak yakin dengan keadaan bola sepak Liga Indonesia.
“Saya kira semua orang sudah tahu bagaimana keadaan bola sepak Indonesia. Setiap musim selalu ada macam-macam masalah yang boleh mengganggu perjalanan liga. Tetapi bukan bererti saya tidak akan kembali, setelah saya berasa yakin barulah saya akan pulang ke Indonesia,” jelas Andik.
Andik kini diintai oleh beberapa kelab dari Liga Indonesia sejak bulan lalu termasuk menerima tawaran daripada pasukan lamanya, Persebaya Surabaya. Namun begitu, beliau tetap memilih untuk bermain dengan pasukan Selangor.
“Saya bukan seperti kacang lupakan kulit. Tetapi mungkin untuk sementara waktu saya masih bermain di luar Indonesia, semangat Persebaya masih kuat dalam hati. Saya mencintai Persebaya seperti mana saya mencintai Selangor,” katanya.