Selangor didominasi dari segala aspek oleh Pahang sebelum tumbang 0-2 kepada pelawat, Pahang dalam perlawanan Liga Super yang menghiburkan (untuk penyokong Pahang) di Stadium Selayang malam tadi.
Perlawanan yang mendapat perhatian penyokong Selangor (kerana kepulangan Andik Vermansyah dan Amri Yahyah) ini bertukar menjadi pertunjukan ngeri buat mereka, selepas Selangor mempamerkan persembahan buruk di depan 8,000 penyokong setia mereka.
Selangor yang turun dengan sistem 3-4-3 kebiasaan mereka, membariskan Julian Mineiro di tengah bersama Saiful Ridzuwan.
Andik dan Amri pula berpasangan dengan Forkey Doe di bahagian trio serangan.
Pahang juga tampil tanpa kejutan dengan formasi 4-4-2. Selepas digugurkan semasa final Piala FA 2017, Azam Azih kembali berpasangan dengan Syamim Yahya di tengah.
Yamil Romero pula terus diberikan kepercayaan untuk berpasangan dengan Matheus Alves di bahagian serangan.
Selangor hilang idea seawal minit 20
Selangor memulakan perlawanan dengan baik terutamanya melalui gerakan lincah Amri Yahyah di kawasan sayap kiri.
Bagaimanapun sebaik sahaja Pahang mula mendapat rentak, ketika itulah bermulanya keluhan penyokong Selangor. Satu demi satu serangan Selangor berjaya dipatahkan oleh Pahang.
Sebaik merampas bola, Pahang susah untuk melepaskan penguasaan bolanya. Tempo hantaran Pahang terlalu laju untuk dibendung Selangor. Dalam pertarungan 1v1, Pahang sentiasa mendominasi – terutamanya Sumareh yang berkali-kali membuli K. Kannan dan Rizal Fahmi.
Bagaimanapun ketumpulan penyudah Alves pada minit 34′, 37′, 39′ dan 42′ menyebabkan jaringan kekal 0-0.
Selangor mula main long ball
Melihat kesukaran jentera tengah mereka yang sukar menyimpan bola lebih daripada 5 hantaran, pertahanan Selangor mula mengepam hantaran-hantaran jauh kepada Forkey Doe. Tetapi tiada satu pun hantaran jauh tersebut yang berjaya menghadiahkan peluang serangan kepada Selangor.
Satu-satunya peluang Selangor untuk menjaringkan gol adalah melalui set-pieces Andik (gambar bawah).
Dan Ugo Ukah mempunyai peluang berbuat demikian pada minit 41. Bagaimanapun tandukannya tepat ke dakapan Wan Azraie.
Separuh masa kedua milik Pahang
Pada separuh masa kedua, P. Maniam cuba mengubah nasib Selangor dengan memainkan Amri Yahyah di tengah bersama Saiful Ridzuwan. Julian Mineiro yang bermain di posisi itu pada separuh masa pertama dipindahkan ke bahagian serangan.
Tetapi seperti separuh masa pertama, Pahang jelas pasukan yang lebih dominan. Sama ada dari aspek pertahanan, tengah, serangan dan transisi permainan mereka.
Sekali-sekala, Selangor cuba mengancam dengan serangan-serangan balas dan set-pieces. Tetapi ternyata Muslim Ahmad, Heo Jae-won dan Wan Azraie berada dalam prestasi terbaik mereka pada malam tadi.
Mineiro dan Forkey Doe masing-masing mempunyai peluang untuk membuka jaringan pada minit 61 dan 71. Tetapi ia mudah dinafikan 3 pemain Pahang yang kami sebutkan tadi.
Sumareh terlalu sukar untuk Selangor
Pada minit 71, Matheus Alves dihidangkan peluang keemasan hasil larian kencang dan hantaran lintang Mohamadou Sumareh di sayap kanan. Tetapi percubaan penyerang kelahiran Brazil itu tidak menepati sasaran.
3 minit kemudian, Sumareh mencipta carbon copy peluang tadi dari sayap kanan. Kali ini Alves tidak membuat aebarang kesilapan untuk menanduk masuk gol pertama perlawanan.
Tersentak dengan gol tersebut, P. Maniam mengarahkan anak buahnya untuk bertukar ke sistem 4 pemain pertahanan.
Kali ini, Razman Roslan bermain sebagai bek kanan. K. Kannan di bek kiri. Ukah dan Rizal berpasangan di pertahanan tengah.
Maniam mungkin boleh menukar sistem permainan Selangor. Tetapi selagi Selangor gagal menangani impak Sumareh, selagi itulah Pahang akan terus mendominasi.
Dan pada minit 83′, itulah yang terjadi. Kegagalan benteng Selangor menangani fizikaliti dan skil Sumareh menyebabkan Alves diberi ruang dan masa yang cukup untuk menjaringkan gol ke-2 Pahang.
Barangkali hampa kerana gagal menangani Sumareh, Halim Zainal bertindak memijak Sumareh dalam satu pergelutan bola di tengah padang.
Pengadil yang mengesan insiden itu terus memberikan kad merah kepada pemain tengah Selangor tersebut.
Kad merah itu bagaikan paku terakhir untuk keranda Selangor. Mempunyai kelebihan 1 pemain, Pahang menguasai perlawanan (dengan pemain gantian Saifulnizam Miswan bermain di tengah) sehinggalah wisel tamat perlawanan dibunyikan.
Kredit gambar: Pahang FA
Pemain terbaik perlawanan: Matheus Alves (Pahang)
Kepada penyokong-penyokong Selangor Darul Ehsan!
Anda boleh mendapatkan jersi Selangor 2017 yang asli (player issue) secara online di laman e-dagang Semuanya BOLA. Malah kami juga ada jersi penjaga gol Selangor musim 2017! Klik link di bawah untuk mula membeli:
SBX – Selangor 2017
SBX – Selangor 2017
SBX – Selangor 2017
Dapatkannya cepat-cepat! Ini kerana stok cepat habis!
Mulakan gaya hidup aktif anda bersama SBX, laman e-dagang Semuanya BOLA.