Ketika ini banyak pertandingan yang dapat dilihat memberikan peluang buat pemain amatur untuk terlibat dengan lebih serius dalam bola sepak seperti Klang Valley League, Selangor Champions League dan sebagainya.
Menjadi seorang pemain amatur yang aktif dalam bola sepak membuatkan anda menggalas tanggungjawab berat yang melibatkan emosi bagi menjadikan pasukan anda sebuah pasukan yang baik.
Dalam usaha untuk membawa pasukan anda sebagai antara yang terbaik, pastinya pelbagai perkara yang bermain di minda sebelum mahupun ketika menghadapi sebarang perlawanan.
Tidak mustahil pemikiran negatif akan terbit dalam minda anda sekiranya akibat daripada terlalu memikirkan untuk mencapai impian itu.
Emosi negatif secara tidak langsung akan menjurus kepada ‘mental koyak’ yang pasti akan lebih memburukkan lagi keadaan.
Berikut adalah 4 perkara yang perlu anda hentikan daripada berfikir untuk mengelakkan ‘mental koyak’:
1) Hentikan dari berfikir untuk menjadi pemain yang sempurna
Tiada pemain bola sepak yang sempurna walaupun di peringkat dunia. Masih terdapat beberapa perkara yang menjadi kelemahan buat seseorang pemain.
Sekiranya anda merasakan diri anda mahu menjadi sempurna, ianya memberikan peluang lebih besar untuk anda kecewa dengan diri sendiri sekiranya tidak mencapai apa yang dihajatkan dalam permainan.
Jangan biarkan perkara ini menghantui diri anda kerana anda hanya perlu untuk berusaha bagi memperbaiki diri dari kesilapan yang dilakukan.
2) Hentikan dari berfikir anda yang mengawal segalanya
Setiap pemain hanya perlu fokus pada tugas mereka sendiri tanpa perlu terlalu memikirkan soal lain terutamanya melihat kesalahan rakan sepasukan.
Perkara ini akan menjadi masalah yang besar sekiranya emosi anda terganggu dengan perkara ini.
Apabila anda merasakan semua perkara perlu dikawal oleh diri anda, ianya akan membuatkan anda hilang fokus pada permainan dan sering salah menyalahkan sesama sendiri.
Berikan tumpuan pada matlamat asal anda dan juga pasukan serta kawal diri untuk mencapai apa yang ingin dikecapi.
3) Hentikan dari berfikir anda tahu semua benda dan tidak boleh ditegur
Sebagai pemain anda perlu terima pendapat dan juga teguran dari orang lain.Teguran yang diberikan adalah untuk pembelajaran anda bagi terus berusaha menjadi lebih baik.
Masih terdapat kekurangan yang anda tidak dapat kesan namun, dapat dilihat oleh orang di sekeliling anda.
Dapatkan pendapat daripada rakan sepasukan untuk memberikan lebih ruang buat anda bagi muhasabah diri dan memperbaiki kelemahan yang wujud.
4) Hentikan dari berfikir kesilapan yang dilakukan sebagai kegagalan peribadi anda
Pemain berfikir bahawa kesilapan dilakukan berasakan dia telah gagal sebagai pemain, maka dia akan mula mempersoalkan dirinya dan meragui kemahiran atau kebolehannya.
Belajar dari kesilapan yang dilakukan agar tidak mengulanginya dan membantu pasukan dalam mencapai matlamat yang ingin dicapai.
Terlalu memikirkan perkara negatif akan membuatkan emosi anda terganggu dan secara langsung akan membuatkan prestasi anda terjejas akibat perkara tersebut.