Bekas pengurus Bayern Munich, Carlo Ancelotti membuat keputusan untuk menolak tawaran mengendalikan skuad kebangsaan Itali menurut laporan media tempatan.
Itali tidak mempunyai jurulatih sepenuh masa sejak pemecatan Gian Piero Ventura selepas juara dunia empat kali itu gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun.
Ancelotti yang dipecat oleh Bayern Munich pada September tahun lalu sudah bertemu Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) di Rome, minggu lalu.
Tetapi media Corriere dello Sport melaporkan meskipun pengurus berusia 58 tahun ditawarkan jawatan berkenaan, dia menolaknya selepas mengambil masa beberapa hari untuk membuat pertimbangan.
Ancelotti turut dikaitkan dengan Arsenal selepas pengurus kelab bola sepak Inggeris itu, Arsene Wenger meletakkan jawatan pada penghujung musim ini.
Carlo Ancelotti has rejected the Italy job. Arsenal now on high alert. The times claim Sarri is Arsenal's No.1 choice with Ancelotti and Allegri as the back ups. The report also claims that Arsenal are NOT going for Enrique. #afc
— Sash ~ (@ltarsenal) April 29, 2018
Pernah mengendalikan Chelsea, Real Madrid, AC Milan, Juventus, Roma dan Paris Saint-Germain, pengendali kelahiran Itali itu memiliki tiga trofi Liga Juara-Juara di atas namanya.
Dia turut memenangi kejuaraan liga di Itali, Perancis, Jerman dan England.
Pesuruhjaya FIGC Alessandro Costacurta yang dilatih oleh Ancelotti di AC Milan pada tahun 1980-an dilantik untuk mencari pengganti Ventura dan berkata, tarikh akhir bagi pelantikan itu kekal pada 20 Mei.
Antara nama yang turut disebut-sebut ialah jurulatih Zenit St Petersburg Roberto Mancini, bos Chelsea Antonio Conte dan bekas jurulatih Leicester yang kini mengendalikan kelab Perancis, Nantes, Claudio Ranieri.
Jurulatih skuad bawah 21 tahun Itali, Luigi Di Biagio mengambil alih tugas mengemudi Itali secara sementara.