Kualiti hebat yang dimiliki Richarlison membuatkan pengendali Everton, Carlo Ancelotti percaya bahawa pemain kelahiran Brazil itu mampu untuk menjadi antara peledak berbisa dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dua musim beraksi bersama The Tofees selepas berhijrah dari Watford, Richarlison berjaya menjaringkan 29 gol yang menyaksikan 26 jaringan daripadanya terhasil dalam kempen EPL.
Sehubungan dengan itu, Ancelotti melihat potensi besar yang ada dalam diri Richarlison yang boleh dipertingkatkan lagi dan beliau dalam pada itu turut mencabar pemain tersebut supaya meledakkan minimum 30 jaringan pada saingan liga musim hadapan.
”Saya merasakan Richarlison tersilap kerana mengatakan sasarannya [jaringan] pada musim hadapan adalah 20 gol.”
”Sasaran itu tidak seharusnya 20 gol buat dirinya. Ia sepatutnya paling minimum dengan 30 gol,” ujar Ancelotti menurut laporan Goal.
”Saya pernah memiliki pemain yang mampu untuk menjaringkan 60 gol dalam satu musim. Tidak penting untuk saya menamakannya [Cristiano Ronaldo mencipta 61 gol dalam semua kejohanan untuk Real Madrid pada musim 2014/15].”
”Tetapi walaupun di England, Didier Drogba telah menjaringkan 29 gol dalam satu musim Liga Perdana Inggeris sahaja. Jadi, sasaran buat Richarlison 30 gol, bukannya 20,” tambah Ancelotti lagi.
Menurut laporan sebelum ini, pemilik nama penuh Richarlison de Andrade itu pernah menyuarakan hasratnya untuk bergelar legenda di Everton.
”Sejak saya tiba di sini, saya sentiasa mengatakan bahawa saya mahu mencatatkan kemenangan untuk Everton. Saya mahu membantu serta meletakkan kelab ini kembali di kedudukan yang baik serta memenangi piala bersama Everton.
”Saya ingin mencapai sasaran tersebut dan mahu diingati sebagai pemain hebat dalam sejarah kelab ini.”
Kredit featured image: Everton FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Everton: