Selepas gagal mendapatkan Nabil Fekir sebelum Piala Dunia 2018 dari Lyon, Liverpool bertindak pantas mengikat pemain tengah Stoke City, Xherdan Shaqiri.
Shaqiri menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia 2018 bersama negaranya, Switzerland. Adakah Shaqiri adalah pengganti Fekir secara langsung?
Pada harga £13.5 juta, Shaqiri boleh dianggap sebagai pembelian yang berjaya di jendela perpindahan bola sepak moden.
Tatkala Fekir lebih berperanan sebagai No.10 atau mana-mana posisi di bahagian serangan, kami berpendapat Shaqiri adalah pemain yang lebih versatil.
Sistem Jurgen Klopp
Sepanjang tempoh dua musim lalu, Klopp cenderung menggunakan formasi 4-3-3 di dalam taktikal gegen pressing.
Namun dengan ketibaan Fabinho dan juga Naby Keita, Klopp sedang berusaha mencipta lebih stabiliti di setiap posisi pasukannya khususnya ketika bertahan.
Formasi 4-2-3-1 mungkin akan menjadi pilihan lebih jelas pada musim ini, dengan kehadiran Keita/Fabinho/Henderson di bahagian tengah.
Tetapi sistem permainan oleh Klopp membuatkan pemain tidak rigid berada di satu-satu posisi. Ia boleh berubah kepada 4-3-3 yang tampak mempunyai persamaan kepada 4-2-3-1, atau pun 3-4-3 ketika Andrew Robertson diarahkan untuk maju ke hadapan untuk melakukan serangan ketika dalam permainan.
Pemain sayap kiri
Pembelian Shaqiri dilihat sebagai back-up kepada rangkaian tiga penyerang sedia ada milik Liverpool.
Namun ketibaan pemain ini memberi lebih banyak impak kepada Sadio Mane.
Selepas Philippe Coutinho berhijrah ke Barcelona, pemain sayap Senegal ini mengambil alih peranan utama Coutinho sebagai perancang utama pasukan. Tanggungjawab baharu ini menyaksikan Mane semakin menyerlah pada musim lalu.
Mane cenderung untuk melakukan larian dari sayap kiri ketika bersama bola, sebelum melakukan larian ke dalam ke bahagian tengah (cut-inside).
Berbeza dengan posisi asal di bahagian tengah serangan, Mane lebih kerap mencipta ruang untuk digunakan oleh Mohamed Salah dan Roberto Firmino. Peranan sebegini adalah peranan asal Mane.
Ketibaan Shaqiri untuk posisi sayap kiri membenarkan Mane memberi fokus sebagai perancang utama pasukan Liverpool, sekaligus memberikan lebih banyak kebebasan buat pemain antarabangsa Senegal itu.
Di dalam sistem Klopp, Shaqiri masih lagi bebas bergerak di segenap ruangan serangan. Namun posisi sayap kiri dilihat sebagai posisi asal yang paling logik buat pemain antarabangsa Switzerland itu.
Pemain tengah menyerang
Ia mungkin agak janggal memberikan peranan kepada Shaqiri di bahagian tengah. Apatah lagi pemain ini dikenali sebagai pemain sayap yang memiliki kepantasan.
Tetapi Shaqiri bukan sahaja memiliki kepantasan. Pada musim lalu Shaqiri menjaringkan 0.23 gol untuk setiap 90 minit perlawanan untuk Stoke, membuktikan dirinya turut boleh disandarkan untuk memburu gol.
Selain dari jaringan gol, aspek kreativiti Shaqiri juga terbukti apabila mencipta 0.2 bantuan gol untuk setiap 90 minit perlawanan sepanjang kempen musim 2017/18.
Dari segi konteks nilai pasaran, Shaqiri menghasilkan lebih banyak bantuan gol daripada Wilfred Zaha yang dinilai pada harga £60 juta, atau pun bintang Watford yang menjadi buruan Tottenham Hotspur pada nilai harga £40 juta.
Rekod OPTA pada musim lalu turut merekodkan Shaqiri mencipta purata 2 hantaran kunci untuk setiap 90 minit perlawanan. Harus diingat Stoke adalah sebuah pasukan yang bergelut dari penyingkiran pada musim lalu.
Ini bermakna Shaqiri berpotensi beraksi lebih baik apabila dikelilingi oleh rakan sepasukan yang lebih mantap. Sebagai contoh ketika bersama Inter Milan, purata hantaran kunci yang direkodkan oleh Shaqiri ialah 3.53 untuk setiap 90 minit perlawanan.
Walaupun dikenali sebagai seorang pemain sayap, data ini membuktikan Juergen Klopp mempunyai pilihan untuk menjadikan Shaqiri hub kreativiti untuk mencipta peluang buat Mane, Firmino dan juga Salah.
Rangkaian 3 pemain tengah
Ini mungkin bukan posisi utama mengapa Klopp memilih untuk membawa Shaqiri ke Anfield. Tetapi bersama Stoke pada musim lalu, Shaqiri kerap digunakan di bahagian tengah.
Di atas kertas, ianya seperti 4-1-4-1. Namun ketika permainan, ianya akan menjadi 3-4-3, dengan pemain sayap kiri, Andrew Robertson cenderung melakukan larian di bahagian sayap untuk mmbantu serangan.
Ini membenarkan Shaqiri bebas bergerak dari garisan lebih rendah ketika fasa menyerang, dan bertindak seperti pemain tengah ketiga.
Ia membenarkan Shaqiri untuk melakukan hantaran secara diagonal untuk melebarkan permainan, atau pun memilih untuk menggunakan kepantasan untuk menewaskan pertahanan lawan, sekaligus memecahkan garisan pertahanan lawan.
Peranan sebegini bermakna Shaqiri lebih berperanan sebagai seorang pemain tengah kotak-ke-kotak, dan membenarkan beliau memiliki penguasaan bola yang lebih banyak untuk bergerak lebih bebas.
Di dalam sistem serangan Liverpool, Shaqiri dibenarkan untuk membantu rangkaian 3 penyerang, namun dituntut untuk berada di garis rendah (deep area) ketika fasa bertahan.
Shaqiri mungkin bukan pemain yang dikenali dengan kebolehan untuk bertahan. Namun kehadiran pemain seperti Fabinho dan juga Naby Keita, Liverpool memiliki lebih dari cukup perlindungan untuk membenarkan bahagian tengah dari dibocori.
Rumusan
Pada usia 26 tahun, kita harus akui pembelian Xherdan Shaqiri oleh Liverpool dari Stoke adalah pembelian yang berbaloi.
Ia seakan-akan melengkapkan stabiliti yang Klopp tercari-cari di dalam pasukan ini selama lebih daripada dua musim sebelum ini.
Kehadiran Shaqiri memberikan lebih banyak pilihan variasi taktikal selain daripada menambah squad depth untuk Liverpool berhadapan dengan musim baru yang mencabar pada musim hadapan.