Analisis: Kepentingan Wayne Rooney & Jordan Pickford Dalam Revolusi Bola Sepak Everton

Musim 2017/18 baru sahaja melalui 2 perlawanan. Selepas pelaburan kepada pemain yang boleh dianggap bijak oleh hierarki di Everton, tidak sukar untuk mentafsirkan harapan dan jangkaan di Goodison Park.

Keputusan seri menentang Manchester City mungkin sudah cukup memuaskan penyokong Everton sebelum ini.

Namun selepas kemasukan muka-muka baharu dalam usaha hierarki mereka mentransformasikan pasukan, siapa yang boleh menyalahkan kekecewaan penyokong Everton apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1?

(Photo credit should read OLI SCARFF/AFP/Getty Images)

2 daripada pemain yang dibawa masuk, salah seorang ialah pemain veteran dan seorang lagi adalah prospek muda berkualiti tiba membuka laluan untuk revolusi di Goodison Park.

Wayne Rooney dan Jordan Pickford, kedua-duanya beraksi pada awal Selasa lalu sambil disaksikan oleh pengurus England, Gareth Southgate.

Kedua-duanya pasti mengharapkan untuk berada di dalam skuad England untuk tugasan antarabangsa bertemu Slovenia dan Malta pada penghujung bulan ini.

Di antara kedua-dua pemain tersebut, Pickford mungkin mempunyai lebih peluang untuk tersenarai. Mengambil kira prestasi semasa Joe Hart di West Ham, tempat di kesebelasan utama adalah kemungkinan.

Manakala Wayne Rooney turut berpeluang tersenarai jika terus menunjukkan kualitinya di atas padang.

Veteran: Wayne Rooney

Bekas kapten England itu tidak mungkin akan mengembalikan prestasinya pada 2007 sehingga 2010, termasuk ketika membantu Manchester United memenangi 3 gelaran EPL secara berturut-turut di antara 2007-2009.

Bekas kapten Manchester United itu juga tidak mungkin akan mengulangi prestasinya pada musim 2013/14- musim terakhir Rooney berjaya mencetak lebih dari 15 gol semusim.

(Photo by Paul Keevil/Action Plus via Getty Images)

Namun bersama Everton, Rooney tampil dalam keadaan fizikal yang lebih baik berbanding beberapa musim kebelakangan ini di Old Trafford.

Pemain ini kelihatan seperti sudah mampu menyesuaikan diri kepada kekurangan dan limitasi kemampuannya. Tidak ada lagi larian secara solo yang bersungguh-sunguh secara bersendirian untuk memburu gol.

Kali ini Rooney tidak lagi berniat untuk memenangi sesuatu perlawanan secara bersendirian. Rooney berevolusi dalam cara dirinya melihat sesuatu perlawanan untuk memastikan dirinya boleh kekal kompetitif.

Jaringan kemenangan ketika menentang Stoke menjadikan Rooney sebagai tajuk utama akhbar.

(Photo by Jan Kruger/Getty Images)

Tetapi itu bukan sumbangan mutlaknya dalam perlawnan tersebut. Di atas padang, Rooney menunjukkan contoh terbaik kepada rakan sepasukan yang lain.

Perlawanan ibarat pertempuran pada ketika Rooney berhadapan dengan Darren Fletcher, bekas rakan sepasukannya di United.

Kelibat beliau sentiasa ada untuk membantu barisan pertahanan menanduk keluar gerakan-gerakan set pieces yang Stoke cuba lakukan.

Bertemu Manchester City, Rooney melakukan jarak larian tertinggi (10.93km) berbanding rakan sepasukan yang lain. Pecutan terpantas beliau ialah pada 30.77 kph, hanya sedikit perlahan berbanding pemain muda seperti Dominic Calvert-Lewin dan Mason Holgate.

(Photo by Tony McArdle/Everton FC via Getty Images)

Namun Rooney mencatatkan jumlah pecutan terendah di kalangan semua pemain kecuali 3 pertahanan tengah Everton dengan hanya 45 larian.

Dari statistik tersebut, kita boleh andaikan Rooney sudah lebih bijak untuk mengawal sumber tenaganya dan hanya memberikan keupayaan maksimum pada ketika yang memerlukannya untuk melakukan sedemikian.

Kesimpulannya, Rooney lebih menggunakan kepintaran bola sepak berbanding keupayaan tubuh badannya. Rooney seringkali mendapatkan bola di kawasan deep area, dengan tenang menyimpan bola dan bertindak seperti seorang pemain pivot yang mencari ruang sebelum melakukan hantaran.

Walaupun peranan dan sumbangannya kali ini tidak sama seperti di United, Rooney telah menjadi pemain baharu yang boleh digunakan oleh Ronald Koeman dengan cara lain untuk Everton.

Prospek: Jordan Pickford

Jika mengambil kira hasil akhir dan kualiti yang dimiliki oleh Jordan Pickford satu hari nanti, maka nilai perpindahan £30 juta adalah menguntungkan.

Tidak ramai penjaga gol seusia Pickford boleh menyesuaikan diri dengan selesa untuk tanggungjawab sebagai penjaga gol utama di dalam pasukan.

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Tidak ada keraguan Pickford memiliki kualti seorang penjaga gol berkelas dunia. Pickford adalah seorang shot-stopper berkualiti tinggi dan bijak membaca pergerakan bola. Kebolehannya menerjah masuk kepada sekumpulan pemain untuk menangkap bola tinggi di udara menarik perhatian.

Lebih daripada itu, ada aspek lain yang menarik perhatian analisa kami. Salah satu aset dalam permaianan Pickford ialah kebolehannya untuk melakukan hantaran bola jauh, seakan-akan seorang deep-lying midfielder yang berpengalaman!

Pickford adalah seorang penjaga gol berkaki kiri, dan mempunyai tangan kiri yang tangkas, namun boleh menggunakan kedua-dua tangannnya.

(Photo by Tom Dulat – UEFA/UEFA via Getty Images)

Dalam kejohanan Euro B-21 yang lalu, keupayaan Pickford melakukan hantaran jauh mencari rakan sepasukan di kawasan lawan terserlah.

Ball-playing goalkeeper? Tidak. Pickford adalah seorang penjaga gol konservatif yang memiliki kebolehan footwork yang bagus dan ia adalah sesuatu yang mengujakan untuk melihat seorang penjaga gol muda memiliki kebolehan teknikal yang hebat seperti itu.

Beberapa ketika dahulu Joe Hart adalah pilihan automatik di dalam kesebelasan utama skuad England. Namun Southgate lebih terbuka dalam isu pemilihan. Posisi penjaga gol bukan lagi slot automatik buat Hart.

Hart mengambil tindakan berani untuk ke Torino pada musim lalu. Tidak ramai pemain Inggeris yang berani beraksi di luar negara, apatah lagi ke Itali.

(Photo by Jan Kruger/Getty Images)

Jujurnya, Hart tidak melalui musim yang produktif di Serie A dan tidak menunjukkan peningkatan prestasi walaupun beraksi di luar England.

180 minit beraksi sebagai penjaga gawang West Ham, Hart sudah melepaskan 7 gol. Adalah tidak wajar menyalahkan Joe Hart seorang untuk gol-gol tersebut, namun ia juga tidak akan mengesahkan tempat di dalam kesebelasan utama pilihan Gareth Southgate.

Rumusan

Seperti yang dikatakan tadi, musim 2017/18 baru berusia 2 perlawanan dan Everton masih mempunyai musim yang panjang di hadapan.

Sudah tentu kelab Merseyside ini ingin melakukan impak dalam kesemua pertandingan domestik dan juga UEFA Europa League (UEL) pada musim ini.

Apabila pasukan mempunyai pemain dengan kualiti seperti Wayne Rooney dan Jordan Pickford, anda tahu mereka mempunyai potensi dan kualiti yang diperlukan.

Hakikatnya, memiliki potensi dan mengejar kejuaraan liga adalah 2 perkara berlainan.

Tetapi siapa yang boleh meramalkan hasil akhir di pengakhiran musim?

Satu perkara yang pasti: Rooney dan Pickford, seorang adalah veretan berpengalaman, seorang lagi adalah prospek berpotensi tinggi. Kedua-duanya adalah pelaburan bijak oleh Everton.

 

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Sumber:

1. IAIN MACINTOSH, ESPN FC (2017): Rooney spearheading Koeman revolution as Pickford shows promise; http://www.espnfcasia.com/club/everton/368/blog/post/3185981/rooney-spearheading-koeman-revolution-as-pickford-shows-his-promise

2. CHRIS BEESLEY, Liverpool Echo (2017): Analysis: Everton goalkeeper Jordan Pickford proves his worth;http://www.liverpoolecho.co.uk/sport/football/football-news/analysis-everton-goalkeeper-jordan-pickford-13198614

3. Adam Smith, Sky Sports (2017): Is new Everton goalkeeper Jordan Pickford worth £30m? We check the stats; http://www.skysports.com/football/news/11671/10921062/is-new-everton-goalkeeper-jordan-pickford-worth-30m-we-check-the-stats

4. WhoScored.com: Wayne Rooney; https://www.whoscored.com/Players/3859/Show/Wayne-Rooney

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN