Tampil sebagai naib juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United berhadapan dengan juara Swizterland, Young Boys di tempat lawan untuk perlawanan pembukaan Kumpulan F, UEFA Champions League pada musim ini.
Mood di dalam kem United begitu positif selepas kemenangan 4-1 ke atas Newcastle United pada hujung minggu lalu. Young Boys kendalian David Wagner juga memperolehi keputusan positif, menang 4-0 ke atas Zurich.
Formasi pasukan
Pasukan tuan rumah memulakan aksi dengan sistem 4-1-4-1, di mana Wagner terkenal dengan permainan menggunakan kekuatan di pemain sayap. Ia bagi membenarkan Young Boys menggunakan pemain yang memiliki kepantasan seperti Silvan Hefti, Ulisses Garcia, Christian Fassnacht, dan pemain sayap dari Cameroon, Nicolas Ngamaleu.
Manchester United pula bermula dengan sistem 4-2-3-1. Sistem dual pivot setakat ini adalah sistem yang paling membuahkan hasil buat Ole Gunnar Solskjaer.
🚨 𝐓𝐄𝐀𝐌 𝐍𝐄𝐖𝐒 🚨
Ole has named his first side of our 2021/22 #UCL campaign 👊#MUFC
— Manchester United (@ManUtd) September 14, 2021
Berbeza dengan perlawanan menentang Newcastle United yang menggandingkan Nemanja Matic dan Paul Pogba di bahagian itu, Solskjaer kali ini mempertaruhkan gandingan Fred dan Donny Van de Beek.
Kita akan bercerita lebih banyak mengenai sistem Ole Gunnar Solskjaer di dalam analisis ini kerana ia menjadi punca turning point dalam perlawanan ini, selain dari kad merah yang diterima Aaron Wan Bissaka.
Permulaan cemerlang Man United
Manchester United memulakan perlawanan ini dengan baik sekali. Mereka memiliki barisan pertahanan yang stabil, disokong oleh Fred dan Van de Beek di hadapan.
Mereka memberikan tekanan awal setiap kali kehilangan bola, untuk memenangi kembali penguasaan secepat mungkin, dan recycle-kan kembali bola untuk berada di kawasan final third serangan untuk menghadirkan ancaman kepada Young Boys.
Situasi tersebut dapat dilihat pada awal permainan sehingga membenarkan Manchester United mendahului 1-0 pada minit ke-13 perlawanan melalui jaringan Cristiano Ronaldo.
Bagaimanapun keadaan berubah apabila Manchester United terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Aaron Wan-Bissaka dilayangkan kad merah pada minit ke-35 perlawanan.
Kesilapan taktikal Soslkjaer?
Layangan kad merah itu nyata mengubah pendekatan Manchester United selepas itu apabila Jadon Sancho dikeluarkan untuk memberi laluan kepada Diogo Dalot.
Tindakan dan perubahan awal oleh Solskjaer di sini boleh difahami kerana beliau sedar akan ancaman Young Boys dari posisi sayap, dan mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan-Bissaka.
Situasi pada babak kedua sebaliknya menimbulkan tanda tanya. Donny van de Beek turut dikeluarkan dan digantikan dengan Raphael Varane.
Ini bermakna untuk baki 45 minit perlawanan, Solskjaer cuba untuk mempertahankan kelebihan 1-0 yang dimiliki Manchester United dengan memperkenalkan lima pemain pertahanan.
Walaupun niat untuk bertahan itu tampak relevan, ia juga bermakna tindakan ini membenarkan/menggalakkan Young Boys untuk melakukan asakan.
Tindakan mengeluarkan Van de Beek juga menyebabkan shape/bentuk dual pivot sudah tidak ada sekaligus mendedahkan bahagian barisan akhir serangan terdedah kepada ancaman serangan Young Boys selama 45 minit. Lihat rajah di atas dan ruang yang ditinggalkan setiap kali Young Boys cuba melakukan asakan.
Jika pada awal permainan, kehadiran Fred dan Van de Beek digunakan untuk melakukan pressing seawal mungkin untuk membantu mendapatkan bola, situasi tersebut sudah tidak ada apabila Varane dimasukkan.
Secara tidak langsung keadaan ini menjejaskan compactness pasukan. Ada masanya Manchester United bertahan dengan huru hara, dan sukar untuk mendapatkan kembali penguasaan bola.
Malah sekiranya memenangi penguasaan bola sekali pun, sukar bagi Manchester United untuk mengatur serangan kerana hilangnya barisan/line/shape di tengah.
Penutup
Membenarkan Young Boys melakukan serangan bertali arus nyata memakan diri buat Manchester United. Young Boys berjaya melakukan lima percubaan tepat, dan menyempurnakan dua daripadanya.
Salah satu adalah hasil hantaran lintang yang gagal dibaca dengan baik oleh Raphael Varane pada minit ke-66 perlawanan. Satu lagi gol berpunca dari kesilapan Jesse Lingard – yang berpunca dari masalah teknikal seperti yang berlaku di Rajah 3.
Ia ibarat tactical error atau pelan B yang tidak berkesan dari Ole Gunnar Solskjaer dalam perlawanan ini.