Analisis Taktikal: Selangor 1-3 Pahang

Pahang menamatkan kemarau 9 tahun tanpa kemenangan di Shah Alam apabila menewaskan Selangor 3-1 semalam. Selangor memperolehi gol seawal 5 minit menerusi tandukan Robert Cornwaithe. Pada separuh masa kedua, Pahang tampil garang apabila menjaringkan 3 gol jaringan Zesh Rehman, Matias Conti dan Hafiz Kamal.

Kesebelasan utama

Pahang mengekalkan semua kesebelasan utama mereka yang seri 1-1 menentang JDT di Kuantan pada minggu lepas. Ini bermakna, tiada tempat untuk Azidan Sarudin.

Dengan kehadiran Zesh Rehman untuk melindungi pertahanan tengahnya, Hafiz Kamal diberi tugas untuk merancang serangan. Pada musim lepas dan awal musim ini, tugas tersebut diberikan kepada Azidan manakala Hafiz diberi tugas melindungi pertahanan tengah.

Selangor vs Pahang - Football tactics and formations



Sebelum perlawanan, Utusan Malaysia melaporkan Shahrom Kalam, Raimi Md Nor, Guilherme dan Hadi Yahya tidak dapat bermain kerana masalah kecederaan. Namun dalam perlawanan semalam, 3 daripada mereka bermula sebagai kesebelasan utama dengan Guilherme masuk dari bangku simpanan.

K. Gurusamy mendapat peluang yang jarang-jarang beliau dapat untuk bermula sebagai pemain kesebelasan utama. Raimi Md Nor pula bermain di posisi bek kiri.

Pelan serangan Pahang

Selepas gol pendahuluan dari Selangor yang dijaringkan Robert Cornwaithe melalui sepakan percuma Andik Vermansyah, Pahang mula mendominasi perlawanan.

Ketika pertemuan mereka di Kuantan, Pahang menumpukan majoriti serangan mereka melalui Dickson Nwakaeme di tengah dan R. Gopinathan di sayap kiri. Tetapi di Shah Alam semalam, Pahang lebih banyak menumpukan serangan mereka di sayap kanan melalui Azammudin Akil.

Perubahan taktikal Pahang ini mungkin ada kaitannya dengan persembahan Azrif ketika menentang Gopinathan di Kuantan. Di Kuantan, Azrif bergelut pada separuh masa pertama sebelum berjaya mengekang bahaya Gopinathan.

Baca: Analisis Taktikal: Pahang 1-1 Selangor

Di Shah Alam semalam, Pahang banyak menyerang bek kiri Selangor, Raimi Md Nor, pula menerusi Azammudin Akil.

Pada separuh masa pertama, Azammudin dan bek kanannya, Matthew Davies, kerap mencipta situasi 2v1 di kawasan Raimi. Ditambah pula dengan larian Davies yang tak dirantai oleh Hazwan Bakri, Azammudin menghasilkan banyak hantaran lintang ke kotak penalti Selangor.

Cuma dengan hantaran lintang Azammudin yang lebih baik, mungkin Pahang boleh menjaringkan gol. Pada separuh masa pertama, hantaran lintang beliau banyak ditujukan kepada Conti dan Nwakaeme yang dikawal ketat oleh pertahanan tengah Selangor.

Maka disebabkan itu, hantaran-hantaran lintang tersebut banyak dikeluarkan oleh Robert Cornwaithe dan Shahrol Kalam.

Selepas gol, Selangor menjadi pasif

Satu perkara yang pasti dikesali oleh Mehmet Durakovic tentang perlawanan semalam, adalah kepasifan dan kenaifan taktikal Selangor selepas gol Cornwaithe.

Selepas gol awal Cornwaithe, Selangor lebih banyak berkampung di kubu sendiri. Pertahanan tengah Selangor tidak meninggalkan ruang yang banyak di belakang mereka. Pemain tengah Selangor juga lebih banyak bermain di kawasan kubu mereka sendiri.

Tidak ada salahnya Selangor mahu mempertahankan 1 gol mereka sehingga tamat perlawanan. Cuma apa yang salahnya adalah Selangor meninggalkan ruang yang terlalu besar antara jentera tengah dan serangan mereka.

selangorpahang2

selangorpahang3

Ini mungkin ada kena mengena dengan taktikal hantaran panjang Durakovic. Dengan kelebihan 1 gol, Selangor banyak melancarkan serangan melalui hantaran panjang ke Afiq dan Hadi.

Sekali lagi, tidak ada salahnya dengan taktikal Selangor ini. Cuma apa yang salahnya adalah Selangor tidak menggunakan hantaran pendek dan servis pemain sayap mereka walaupun selepas taktikal hantaran panjang mereka gagal dan mudah dikawal oleh Razman Roslan dan Damion Stewart.

selangorpahang1

Akibatnya, Afiq Azmi dan Hadi Yahya kelihatan terasing dari pemain tengah mereka. Tiada seorang pun antara mereka berdua yang turun untuk mengutip bola di zon tengah (seperti apa yang dilakukan Nwakaeme untuk Pahang).

Servis Andik dan Hazwan juga tidak digunakan sepenuhnya apabila Selangor bermain hantaran panjang.

Pemain tengah, K. Gurusamy dan Nazmi Faiz pula tidak dapat memberi hantaran tepat ke jentera serangan kerana jarak antara jentera tengah dan serangan yang terlalu jauh. Akibatnya, Selangor mudah hilang penguasaan bola.

Separuh masa kedua

Pada separuh masa kedua, Pahang menaikkan tempo perlawanan untuk mencari gol penyamaan. Hantaran-hantaran mereka dilakukan dalam tempo yang tinggi. Mereka juga masih mengekalkan tekanan terhadap bek kiri Selangor .

Jika pada separuh masa pertama, Azammudin menyasarkan hantaran lintangnya kepada Conti, pada separuh masa kedua beliau mempelbagaikan hantaran lintangnya pula.

Usaha ini menghasilkan gol penyamaan Pahang.

Berpunca daripada larian Azammudin yang menewaskan Raimi, Azammudin kemudiannya membuat hantaran lintang ke ruang di belakang Conti pula. Nwakaeme yang pada mulanya mahu mengambil hantaran lintang tersebut membiarkannya untuk singgah ke laluan Zesh Rehman untuk gol pertama Pahang.

Fungsi Nwakaeme

Seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini, Nwakaeme pula akan turun ke zon tengah untuk mengutip bola.

Disebabkan Selangor memberi ruang yang besar antara jentera tengah dan serangan mereka, Nwakaeme sentiasa mempunyai ruang untuk menerima bola.

Walaupun selepas menerima bola beliau akan dikawal ketat, kebolehan Nwakaeme menarik pertahanan Selangor ke arahnya berjaya membuka ruang kepada pemain lain.

Pada separuh masa pertama, Gopinathan hanya perlu berdepan dengan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad, apabila menerima hantaran Nwakaeme yang dikerumuni pertahanan Selangor. Percubaan Gopinthan dinafikan Hamsani.

Pada separuh masa kedua, Nwakaeme yang dikawal ketat berjaya melepasi kawalan Azrif dan Cornwaithe. Larian beliau mencipta situasi 2v1 di hadapan gol Selangor dengan Conti menanti di hadapan gol untuk gol kedua Pahang.

Ditambah dengan kenaifan taktikal Selangor yang meninggalkan banyak ruang antara jentera tengah dan serangan mereka, Nwakaeme bebas menerima bola, memulakan larian di tengah dan menggelecek melepasi beberapa pemain Selangor.

Beliau sendiri mempunyai sekurang-kurangnya 2 peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi ketumpulan penyudahnya menafikan peluang tersebut.

Pahang memberi tekanan intensif ketika kehilangan bola

Satu lagi perubahan ketara Pahang pada separuh masa kedua adalah kerajinan pemain mereka melakukan tekanan (pressing) sebaik sahaja kehilangan bola. Hasilnya, Pahang banyak merampas kembali bola di kawasan middle third padang dan melancarkan serangan balas.

Beraksi sebagai pemain tengah yang lebih ofensif, Hafiz Kamal mempunyai lesen untuk menyerang balas. Dan majoriti serangan balas Pahang pada separuh masa kedua melibatkan larian lewat (late runs yang sinonim dengan box-to-box midfielder) Hafiz Kamal dari kawasan tengah ke kotak penalti.

Hasilnya Hafiz berjaya menjaringkan gol ke-3 Pahang. Berpunca daripada pressing yang berjaya, gol ke-3 terhasil menerusi hantaran R. Gopinathan dan larian lewat Hafiz.

Selangor 1-3 Pahang #LigaSuper2015

Posted by bazookapenaka.my on Saturday, July 4, 2015



Kesimpulan

Selangor menikmati rentetan kemenangan menerusi perancangan taktikal Durakovic sebelum ini. Tetapi menentang Pahang yang selesa mendominasi hantaran panjang yang dilakukan pemain Selangor untuk Afiq (kemudian Guilherme) dan Hadi, Durakovic gagal meberikan Selangor plan B.

Bagi Pahang, kemenangan ini bermakna mereka akan dicop menjadi pasukan yang perlu ditewaskan dalam Liga Super. Gandingan Hafiz – Rehman juga lebih banyak memberi manfaat kepada Hafiz Kamal berbanding ketika beliau digandingkan dengan Azidan dahulu.

Baca juga: Adakah Pahang Merupakan Stoke City versi Malaysia?

Sumber: TV3, BPTV

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Jangan lupa download apps Semuanya BOLA di Google Play Store untuk menerima notifikasi artikel terbaru daripada kami!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN