Analisis Taktikal: PDRM 1-3 Kelantan

Kelantan mencatat kemenangan 3-1 ke atas PDRM dalam perlawanan pertama di bawah kendalian Zahasmi Ismail selepas Azraai Khor meletakkan jawatan. Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang.

Tetapi gol daripada Austin Amutu, Jonathan McKain dan Erwin Carillo meletakkan Kelantan selesa sebelum Faizal Abu Bakar menjaringkan gol saguhati PDRM.

Kesebelasan utama

Tidak banyak pertukaran drastik dalam kesebelasan utama Kelantan yang dibuat oleh Zahasmi Ismail kecuali mengembalikan Noor Hazrul – sebelum ini diletakkan di posisi bek kiri – di bek kanan. Fitri Omar mengisi posisi bek kiri.

pdrmkelantan0

Di bahagian serangan, Austin Amutu kembali bermain di posisi kegemarannya sebagai penyerang selepas menghabiskan masa bermain sebagai pemain sayap kanan di bawah Azraai Khor. Ini bermakna tiada tempat untuk Erwin Carillo selain di bangku simpanan.

PDRM pula rancak melakukan perubahan kepada kesebelasan utama yang tewas 1-2 kepada JDT minggu lepas. Tiada tempat untuk Jaime Celestino pada minggu ini, bermakna Shahurain Abu Samah bergandingan dengan Ezrie Shafizie di bahagian tengah.

Pemain pertahanan, Arman Fareez, yang membentuk rangkaian tiga pertahanan tengah dalam formasi 3-5-2 pada minggu lepas digantikan oleh V. Thirumugan. PDRM bermain dalam formasi 4-4-2 pula.

PDRM berubah ke lopsided 4-4-2

Walaupun bermain dalam formasi 4-4-2, PDRM masih mengekalkan identiti back three mereka. Berbanding V. Thirumugan yang lebih bebas untuk naik membantu serangan dari posisi bek kanan, bek kiri PDRM, Nizam Rosdi pula lebih konservatif dalam posisinya.

Nizam jarang naik seperti Thiru dan seolah-olah membentuk back three bersama-sama Muslim Ahmad dan Afif Amiruddin.

PDRM dilihat seperti bermain dalam sistem 4-4-2 yang lain fungsinya di bek kiri dan kanan (lopsided).

pdrmkelantan7

Kelantan kompak ketika bertahan

Satu perkara yang paling jelas tentang Kelantan pada 10 minit pertama perlawanan adalah bentuk kompak dan sempit jentera tengah mereka ketika PDRM memegang bola.

Dengan pertahanan PDRM, Muslim, Afif dan Nizam yang meninggalkan ruang yang banyak di belakang mereka (pushing up defensive line) untuk membolehkan PDRM menyerang.

Manakala Kelantan lebih berhati-hati dan tidak banyak meninggalkan ruang di belakang Amirizwan Taj dan Jonathan McKain.

Paling menarik adalah 4 pemain jentera tengah mereka yang sentiasa mengekalkan bentuk kompak dan sempit ketika PDRM mula menyerang. Wan Zack dan Wan Zaharulnizam – kedua-duanya pemain sayap – sentiasa rapat dengan Norhafiz Zamani dan Badhri Radzi.

Ini membuatkan Kelantan nampak seperti bermain dengan 4 pemain tengah.

pdrmkelantan8

Bentuk kompak jentera tengah Kelantan ini menyebabkan PDRM kerap hilang bola di tengah-tengah padang (middle third) kerana situasi 4v2/4v3 yang memihak 4 pemain Kelantan selalu berlaku.

Apabila Kelantan dapat merampas bola, mereka dengan mudah dapat melancarkan serangan balas. Pada minit 1′, Gilmar mempunyai peluang hasil daripada serangan balas ini. Pada minit ke 5′, Kelantan sudah menjaringkan gol hasil jaringan Amutu. Juga hasil daripada serangan balas ini.

pdrmkelantan10

pdrmkelantan11

Pelan serangan PDRM

Ketika 20 minit pertama perlawanan, PDRM banyak menyerang dari tengah melalui:
1. hantaran pendek ke Ashfaq Ali yang selalu turun ke zon tengah untuk mengutip bola sebelum memulakan gelecekan.
2. hantaran panjang ke Dramane Traore yang bertindak sebagai target man.

Bagaimanapun kedua-dua pelan serangan PDRM selalu tak menjadi kerana bentuk kompak yang sentiasa dikekalkan oleh 4 pemain tengah Kelantan. Ezrie dan Shahurain bergelut untuk membekalkan hantaran kepada Ashfaq Ali apabila terpaksa berhadapan dengan 4 pemain tengah Kelantan.

Ini menyebabkan PDRM lebih banyak beralih ke pelan kedua iaitu membekalkan hantaran panjang terus kepada Traore. Pelan ini juga tidak menjadi kerana McKain dan Amirizwan sendiri boleh bersaing di udara dengan Traore, walaupun organisasi pertahanan mereka juga sebenarnya belum cukup baik lagi.

Hanya selepas mereka menyerang melalui kawasan sayap, barulah PDRM dapat mencipta peluang gol terutamanya melalui sayap kanan yang dikemudi Faizal Abu Bakar sambil dibantu oleh Thirumugan.

Di kiri, Haziq Fikri agak terasing kerana tidak dibantu oleh Nizam Rosdi yang lebih defensif.

Pelan serangan Kelantan

Sebelum gol Amutu, PDRM menyerang dengan agresif. Pertahanan tengah mereka meninggalkan ruang yang banyak di belakang mereka untuk membolehkan pemain serangan mereka memberikan tekanan kepada pertahanan Kelantan.

Kelantan bermain agak defensif dan hanya berpeluang menyerang PDRM melalui serangan balas yang laju dan melakukan hantran panjang ke ruang di belakang Afif dan Muslim dengan harapan Amutu atau Gilmar dapat menewaskan kelajuan mereka.

Bagaimanapun selepas gol Amutu, PDRM mula menjadi lebih defensif. Tidak banyak ruang yang ada di belakang Muslim dan Afif. Ini menyebabkan Kelantan mula menguasai perlawanan.

Tekanan terhadap jentera pertahanan Kelantan sudah mula kendur dan mereka sudah boleh melakukan hantaran-hantaran pendek dan merancang serangan dari belakang.

Ketika ini, Kelantan banyak menggunakan servis Wan Zack dan Wan Zaharulnizam sebagai pemain sayap untuk menyerang bek kiri dan kanan PDRM, Thiru dan Nizam, sebelum membuat hantaran lintang sehingga menghasilkan banyak peluang – antaranya peluang bicycle kick Amutu pada minit 37′.

Serangan sepakan sudut

Dalam buku Soccer Tactics and Skills karangan Charles Hughes (1987), majoriti gol daripada sepakan sudut dapat dijaringkan jika mempunyai 3 faktor ini:
1. Near post (kawasan tiang paling hampir dengan bola)
2. Inswing (lencongan ke dalam)
3. Simple (penyudah yang ringkas)

Jika anda perhatikan aturan serangan sepakan sudut Kelantan, Jonathan McKain adalah pemain Kelantan yang akan menyerang kawasan near post. Ini bermakna mengikut buku di atas, McKain adalah pemain paling berbahaya dalam sepakan sudut Kelantan.

Apabila Wan Zaharulnizam menghantar bola inswing yang sempurna dari sepakan sudut sebelah kanan ke kawasan near post, tak hairanlah McKain dapat menjaringkan gol ke-2 Kelantan di hujung separuh masa pertama.

Bukan sahaja gol tersebut berpunca daripada kelekaan Dramane Traore yang gagal mengikat larian McKain, malah setiap aspek gol McKain sebenarnya menepati 3 faktor sepakan sudut yang sempurna jika mengikut buku Soccer Tactics and Skills.

Separuh masa kedua

Entah mengapa, kualiti permainan kedua-dua pasukan merosot pada separuh masa kedua.

Kedua-dua pasukan hanya mampu membuat hantaran panjang ke target man masing-masing (Gilmar bagi Kelantan, Traore bagi PDRM) sambil mengharapkan pasangan penyerang mereka (Carillo bagi Kelantan, Ashfaq bagi PDRM) untuk menyambar sentuhan (flick) daripada target man mereka.

Kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola kerana tiada pasukan yang dapat mengekalkan penguasaan bola lebih daripada 4-5 hantaran.

Malah, penjaga gol kedua-dua pasukan juga lebih berminat untuk membuat sepakan gol (goal kick) yang jauh terus kepada target man mereka daripada merancang serangan daripada belakang seperti yang banyak dilakukan oleh Kelantan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, strategi sepakan gol jauh kepada target man ini membuahkan hasil tak disangka kepada Kelantan.

Bermula daripada sepakan gol Khairul Fahmi, sepakan gol tersebut dikuis oleh kepala Gilmar ke laluan Carillo yang terus merembat jauh untuk gol ke-3 Kelantan pada minit 67′.

Bagaimanapun pada pandangan kami, gol itu juga disumbang oleh kesilapan Afif Amiruddin. Beliau sepatutnya kekal di satu garisan sama dengan Muslim Ahmad dan membiarkan Carillo masuk ke perangkap ofsaid, daripada mengikuti larian Carillo.

pdrmkelantan12-compressed

Kesimpulan

Kemenangan ini adalah permulaan baik bagi Kelantan di bawah Zahasmi Ismail. Bagaimanapun mereka perlu mencontohi persembahan pada separuh masa pertama sahaja, bukan persembahan keseluruhan mereka pada separuh masa kedua.

Bagi PDRM, mereka tampak tumpul tanpa kehadiran Mamadou Sumareh dan Jaime Celestino. Cubaan Azman Adnan untuk memberi peluang kepada pemain muda seperti Haziq Fikri untuk menggantikan Sumareh wajar dipuji. Tetapi Azman perlukan kemenangan untuk membolehkan beliau terus memberi peluang kepada bakat muda PDRM.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN