Malaysia menang 3-0 ke atas Myanmar dalam aksi yang disaksikan lebih 83,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Myanmar lebih fizikal
Satu perkara yang jelas, dalam perlawanan ini para pemain Malaysia kerap ditewaskan dengan mudah oleh pemain Myanmar dalam aspek duel fizikal termasuk Mohamadou Sumareh. Walaupun Myanmar rata-rata menurunkan para pemain muda dan berberapa pemain remaja, mereka jelas lebih mantap dalam dalam aspek fizikal.
Namun dalam kedudukan 2-0, Myanmar terpaksa mencari gol dan pada fasa ini, barulah Malaysia mendapat ruang yang lebih besar untuk bergerak. Pasukan Myanmar kelihatan semakin ‘shut down’ pada separuh masa kedua.
Serangan balas Myanmar
Satu perkara yang merisaukan Malaysia dalam perlawanan ini adalah aspek serangan balas Myanmar yang seringkali kelihatan terlalu mudah untuk sampai ke ‘final third’.
Mereka cuba menyerap asakan Malaysia di zon mereka dan tidak agresif untuk mematikan serangan Malaysia di garisan tinggi.
Myanmar cuba mencari Aung Thu secara aktif dalam serangan balas mereka. Beberapa kali mereka mewujudkan situasi 3 vs 3, 4 vs 3 ataupun 4 vs 4 ketika serangan balas. Bahagian kiri pasukan Malaysia adalah ruang utama mereka menyerang balas kerana Syazwan Andik lambat untuk turun selepas pergi menyerang ke zon yang sangat tinggi.
Mereka memiliki pemain tengah yang cepat melakukan transisi kepada serangan segera (fast break attack).
Namun begitu, Myanmar sangat lemah dalam aspek penyudah. Beberapa hantaran akhir mereka gagal berhubung dengan rakan mereka. Seterusnya 2 peluang mereka melakukan gol dinafikan oleh Farizal Marlias.
Shahrul Saad juga menjadi bek tengah paling cemerlang apabila melakukan banyak hadangan penting. Malaysia perlu menggariskan aspek ‘reshape’ dalam sesi latihan pasukan selepas ini.
Improvisasi Malaysia
Malaysia memperbaiki aspek pivot dalam fasa transisi. Syamer Kutty lebih aktif terlibat dalam serangan ketika fasa serangan. Sebelum ini 2 pivot Malaysia agak statik dan terpinga-pinga untuk naik.
Namun begitu, Syamer perlu memperbaiki aspek kreativiti, visi dan juga hantaran akhir beliau. Dari segi keterlibatan dalam serangan beliau banyak memberikan sokongan.
Seterusnya, Safawi Rasid berjaya memainkan peranan beliau dengan lebih baik sebagai pemain sayap tradisional. Beliau sebelum ini kurang terlibat dalam aspek serangan apabila bermain sebagai pemain sayap kiri – kerana beliau lebih selesa dengan peranan inverted winger.
Dalam perlawanan ini, Safawi Rasid lebih aktif mencipta peluang gol kepada penyerang utama. Dan ketika beralih ke sayap kanan, beliau berjaya memenangi penalti. Tidak lupa juga, sepakan penjuru beliau sangat baik dan mencetuskan bahaya.
Seterusnya, sokongan daripada Syahmi Safari di ‘width’ sebelah kanan terus menjadi antara kekuatan Malaysia. Syahmi memiliki keupayaan untuk melakukan hantaran lintang dan masuk ke kawan lebih dalam di tengah.
Pada separuh masa kedua, ketika Myanmar cuba mencari gol, Malaysia berjaya memanipulasi ruang dengan baik. Jika Malaysia lebih tajam, kita mampu mendapat lebih banyak gol. Kemasukan Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri juga berjaya menaikkan semula tempo di bahagian serangan.
Rumusan
Myanmar hadir ke perlawanan ini dengan pendekatan lebih pasif kerana mereka tahu, keputusan seri sahaja sudah cukup untuk mereka layak. Myanmar cuba menyerap asakan di bawah dan melancarkan serangan balas. Mereka beberapa kali menyerang balas namun tiada penyudah.
Malaysia lebih komitmen untuk menyerang. Malaysia memperbaiki aspek kreativiti dalam perlawanan ini berbanding dengan beberapa perlaawanan sebelum ini. Pemain lebih ‘decisive’ dalam membuat keputusan bila di zon serangan.
Gol penalti oleh Zaquan sebelum rehat boleh dikatakan ‘decisive’ kerana ia memberikan tekanan kepada Myanmar. Positifnya, Malaysia terus memburu gol ke-3 bukannya terlalu pasif untuk bertahan pada kedudukan 2 gol di hadapan.
Namun beberapa aspek harus diperbaiki terutama sekali aspek transisi bertahan di mana Malaysia tidak cukup cepat untuk ‘regroup’ dan ‘reshape’.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Shahrul Saad (Malaysia)
Beliau antara sebab kenapa Malaysia tidak dibolosi dalam perlawanan ini. Melakukan beberapa pintasan dan bentesan penting.